Translate

14 November 2024

TPM Zahid tiba di Abu Dhabi, lawatan rasmi pertama ke UAE



TPM Zahid tiba di Abu Dhabi, lawatan rasmi pertama ke UAE

Nazri Kahar

13/11/2024


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selamat tiba di Abu Dhabi, bagi memulakan lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu (UAE). - Foto DPMO


ABU DHABI: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selamat tiba di sini, bagi memulakan lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Lawatan ini merupakan lawatan rasmi pertama Ahmad Zahid ke UAE sejak menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 3 Disember 2022 .

Ketibaan beliau menerusi pesawat khas di Al Bateen Airport, Abu Dhabi disambut oleh Menteri Tenaga dan Infrastrukur UAE, Mohamed Al Mazrou.

Turut sama menyambut ketibaan Ahmad Zahid ialah bakal Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) , Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin.

Sejurus tiba di hotel penginapan di Emirates Palace di Abu Dhabi, beliau terus mempengerusikan mesyuarat pre-council bersama pegawai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, serta pegawai kedutaan Malaysia.

Sebelum itu ketika ditemu bual bersama media Malaysia, Tengku Sirajuzzaman berkata UAE merupakan antara pelabur asing terbesar di Malaysia di kalangan negara Asia Barat.

"Malaysia menggalakkan agar pelabur UAE terus aktif meneroka peluang pelaburan dalam projek bernilai tinggi di Malaysia.

“Pelaburan utama semasa UAE di Malaysia termasuk Mubadala Petroleum, Lulu Hypermarket, Medini Development dan Landmark Group.

"Manakala, pelaburan Malaysia di UAE adalah RM1.4 billion (USD375.9 million) dan syarikat Malaysia yang beroperasi di UAE termasuklah Petronas, TNB, UEM, Eversendai Corporation, Shing Yang Shipping and Marrybrown.

"Antara bidang berpotensi yang boleh diterokai bersama dengan UAE ialah farmaseutikal, ekonomi digital dan hijau, kecerdasan buatan, elektrik & elektronik, bahan kimia dan aeroangkasa," katanya.

Beliau menambah, semasa lawatan ini juga, Ahmad Zahid dijadualkan untuk merasmikan program penyertaan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) di Middle East Organic and Natural Product Expo bertempat di Dubai World Trade Centre pada 18 November 2024.

Penyertaan Malaysia akan mengukuhkan status MIHAS sebagai pameran perdagangan yang diiktiraf di peringkat global, dan dalam masa yang sama, meletakkan Malaysia sebagai pemain terkemuka dalam landskap halal antarabangsa.

UAE adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import kedua terbesar dari rantau Asia Barat.

Dari Januari hingga September 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan UAE meningkat sebanyak 16.03 peratus kepada RM32.85 bilion (USD7.5 bilion) berbanding RM28.31 bilion (USD6.5 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2023.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED