Translate

12 November 2024

Sultan Pahang titah undang-undang syariah negeri disemak



Sultan Pahang titah undang-undang syariah negeri disemak

Bernama

12/11/2024


Baginda bertitah setiap pembaharuan perlu selari dengan perkembangan semasa serta berdaya menangani isu-isu terkini yang timbul dalam masyarakat. - Gambar fail


KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah undang-undang syariah di negeri ini perlu disemak dan ditambah baik secara berkala serta dilaksanakan dengan konsisten.

Baginda bertitah setiap pembaharuan perlu selari dengan perkembangan semasa serta berdaya menangani isu-isu terkini yang timbul dalam masyarakat, ini termasuk usaha memperkasakan Mahkamah Syariah di negeri ini sebagai langkah penting untuk keadilan dan kesejahteraan penduduk Islam di Pahang.

"Pada hemat saya, sudah tiba masanya Mahkamah Syariah di negeri ini diperluaskan kepada empat peringkat. Selepas Mahkamah Rayuan Syariah, perlu diwujudkan satu peringkat tambahan yang dinamakan Mahkamah Utama Syariah.

"Mahkamah ini akan berfungsi mendengar rayuan dan semakan kes dari Mahkamah Rayuan Syariah. Langkah ini adalah seperti 'menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak' bagi memastikan keadilan ditegakkan dengan teliti dan berhemah," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat mencemar duli Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Ke-193 di Hotel Grand Darul Makmur di sini hari ini. Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah berharap Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri dan Jabatan Kehakiman Syariah Pahang dapat bekerjasama erat ke arah usaha berkenaan.

"Persiapan dari sudut penggubalan dan pindaan undang-undang amat penting agar cadangan ini dapat dibentangkan di Dewan Undangan Negeri pada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

"(Selain itu) Saya ingin memberikan peringatan tegas kepada semua pemegang tauliah mengajar di negeri ini agar tidak menjadikan masjid sebagai pentas politik. Masjid seharusnya menjadi tempat penyatuan dan perpaduan umat Islam, bukan ruang menyebarkan kebencian atau fitnah," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah para alim ulama dan penceramah harus menjadi contoh yang baik dan menunjukkan teladan dalam memelihara keharmonian dan ketenteraman masyarakat serta mengingatkan golongan yang telah diberikan tauliah untuk menggunakan peluang itu menyampaikan ilmu bermanfaat dengan penuh kejujuran dan amanah.

Baginda bertitah semua umat Islam bertanggungjawab memastikan masjid kekal sebagai tempat yang aman dan selamat bagi semua tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik dan menegaskan untuk tidak sama sekali menjadikan agama sebagai alat tunggangan dalam menghalalkan niat dan matlamat.

"Ingatlah, penyalahgunaan tauliah akan membawa kesan serius bukan sahaja kepada individu, tetapi juga kepada masyarakat keseluruhannya. Tauliah juga boleh ditarik sekiranya disalahgunakan bagi menjaga kesucian tujuan asal pentauliahan ini," titah baginda.

Berkenaan ajaran sesat di negeri ini, baginda bertitah Jabatan Agama Islam Pahang, Jabatan Mufti serta pihak berkuasa yang berkaitan perlu mengambil langkah proaktif, selain pencegahan dan penguatkuasaan perlu diperkasakan untuk melindungi masyarakat daripada fahaman yang menyesatkan.

"Kita perlu memperbanyakkan lagi program kesedaran secara menyeluruh melibatkan semua lapisan masyarakat agar setiap individu dari kanak-kanak sehingga golongan profesional untuk lebih peka terhadap bahana pegangan agama yang menyimpang ini," titah baginda.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED