Penyanyi wanita popular Kelantan ditahan di Golok
Sinar Harian
02/11/2024
Penyanyi wanita popular di negeri ini antara enam individu yang dipercayai ditahan Polis Thailand dalam serbuan di sebuah hotel di Golok, Thailand pada Jumaat. -Gambar hiasan/Freeimages
KOTA BHARU: Penyanyi wanita popular di negeri ini antara enam individu yang dipercayai ditahan Polis Thailand dalam serbuan di sebuah hotel di Golok, Thailand pada Jumaat.
Seorang penyanyi wanita popular dari Kelantan bersama lima individu lain ditahan oleh Polis Thailand di Golok dalam serbuan yang menemui 6,000 biji dadah dipercayai pil kuda.
Penyanyi berusia 20-an itu kini dalam tahanan polis Thailand untuk membantu siasatan, sementara dua suspek lain berjaya melarikan diri.
Ketua Polis Kelantan menyatakan pihaknya masih belum menerima maklumat lengkap mengenai kes tersebut tetapi akan mendapatkan maklumat lanjut.
Penahanan penyanyi berusia 20-an bersama lima lagi individu itu bagi membantu siasatan berkait rampasan 6,000 biji dadah dipercayai pil kuda.
Sumber ketika dihubungi mengesahkan penahanan penyanyi wanita berkenaan.
"Mengikut maklumat, dia kini berada dalam tahanan polis Thailand.
"Selebihnya, saya tidak boleh memberikan sebarang ulasan," katanya.
Terdahulu berita tangkapan penyanyi lagu-lagu daerah Kelantan itu tular menerusi aplikasi WhatsApp.
Mengikut maklumat tular itu, kesemua mereka ditahan selepas selesai berhibur di sebuah pusat hiburan yang terletak di bahagian bawah hotel.
Hasil pemeriksaan dilakukan Polis Thailand menjumpai sebanyak 6,000 biji dadah dipercayai pil kuda.
Bagaimanapun, dua lagi suspek yang tidak dikenali berjaya melepaskan diri dalam serbuan tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima maklumat berkaitan kes tersebut.
"Bagaimanapun, kita (Polis Kelantan) akan mendapatkan maklumat lanjut berkait kes berkenaan," katanya. -Sinar Harian