Translate

13 November 2024

Malaysia sasar kekalkan pertumbuhan ekonomi bersama China, tumpu SDG



Malaysia sasar kekalkan pertumbuhan ekonomi bersama China, tumpu SDG

Bernama

13/11/2024


Tengku Zafrul berkata China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut. - Foto fail/BERNAMA


KUALA LUMPUR: Malaysia menyasar untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi yang kukuh di samping mengutamakan matlamat pembangunan mampan (SDG) dengan tumpuan khusus kepada perubahan iklim, tenaga boleh baharu dan teknologi baharu.

China telah menunjukkan kelebihan ketara dalam kesemua bidang itu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sekali gus membuktikan perkongsian perdagangan yang kukuh antara kedua-dua negara.

"Saya berpandangan China sangat menyokong dan sangat terbuka kepada kalangan syarikat dan pelabur dari Malaysia, begitu juga apabila melibatkan perdagangan dengan Malaysia. Jadi, inilah aspek yang bagi kami, sangat penting.

"Tahun depan, apabila Malaysia mempengerusikan ASEAN, kami menetapkan satu daripada keberhasilan (yang perlu dicapai), terutamanya keberhasilan ekonomi, untuk menambah baik perjanjian perdagangan barangan ASEAN dengan China justeru, ini akan meningkatkan perdagangan antara Malaysia dan China sekali lagi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara dengan saluran China Global Television Network (CGTN) yang dikendalikan wartawan, Cao Chufeng, yang turut dimuat naik menerusi akaun Tengku Zafrul di platform X malam ini.

Tengku Zafrul berkata 14 Memorandum Persefahaman (MOU) yang telah ditandatangani ketika Perdana Menteri China, Li Qiang, melawat Malaysia awal tahun ini menunjukkan hubungan dengan China yang amat erat, terutama dalam perkhidmatan perniagaan kepada perniagaan, khususnya melibatkan bidang digital.

"Malaysia akan menggiatkan lagi bidang ini malah, jika anda meneliti dari segi pelaburan, pelaburan digital adalah antara pelaburan terbesar ke dalam negara, dan kami juga merupakan satu daripada pengeksport terbesar dalam sektor elektrik dan elektronik," katanya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED