Lima individu termasuk kerabat diraja Pahang didakwa cederakan lelaki
Astro Awani
07/11/2024
Salah seorang tertuduh, Tengku Eddie Akasya (barisan belakang, dua dari kiri) tiba di mahkamah untuk mendengar sebutan kesnya pada Khamis. - Foto Sinar Harian
KUANTAN: Lima individu, termasuk seorang kerabat diraja Pahang, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan, di sini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki pada Jun lalu.
Pengakuan Tidak Bersalah: Lima individu, termasuk seorang kerabat diraja Pahang, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki pada Jun lalu.
Pertuduhan dan Hukuman: Mereka didakwa mencederakan mangsa menggunakan pisau, dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan penjara sehingga sepuluh tahun, denda, atau sebat.
Ikat Jamin dan Syarat: Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM7,000 setiap seorang dengan syarat tidak mengganggu mangsa dan melapor diri di balai polis setiap bulan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Disember 2024.
Kelima-lima tertuduh, Nik Norhisham Affendi Nik Mohd Zani, 39; Mohd Fouzi Md Nur, 44; Mohd Taufik Daud, 32; Khairul Azhar Rosli, 38; dan Tengku Eddie Akasya Tengku Abd Rahman, 20; membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.
Menurut kertas pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa dengan sengaja mencederakan Alias Awang, 44, di bahagian peha kanan menggunakan sebilah pisau.
Kejadian didakwa berlaku pada 6 Jun 2024 sekitar jam 12.20 pagi di sebuah bangsal kuda di Jalan Teluk Sisek, Kuantan.
Kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga sepuluh tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.
Kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwa Negeri, Sharizat Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam diketuai Y.Sheelan Samuagam.
Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM7,000 setiap seorang, dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Disember 2024.