Translate

14 November 2024

Kes terowong: Hakim tegur peguam Lim Guan Eng tanya soalan sama berulang kali



Kes terowong: Hakim tegur peguam Lim Guan Eng tanya soalan sama berulang kali

Bernama

14/11/2024


Peguam RSN Rayer (kiri) yang mewakili Lim membangkitkan soalan mengenai kenyataan media Zarul Ahmad pada 2018 yang bercanggah dengan pernyataan saksinya di mahkamah. - Gambar fail/BERNAMA


KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Sesyen yang mendengar perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini menegur pihak pembelaan agar tidak mengemukakan soalan sama berulang kali.

Hakim Mahkamah Sesyen menegur pihak pembelaan agar tidak mengemukakan soalan yang sama berulang kali dalam perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut membabitkan Lim Guan Eng.

Lim Guan Eng didakwa menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan RM3.3 juta dan meminta suapan 10% daripada keuntungan projek terowong dasar laut.

Lim juga berdepan dua pertuduhan melibatkan pelupusan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta kepada syarikat pemaju berkaitan projek tersebut.

Hakim Azura Alwi berkata soalan yang dibangkitkan pembelaan telah dijawab oleh bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 65, semasa prosiding mencabar kredibiliti saksi berkenaan sebelum ini.

"Saya duduk di sini, saya sudah kumpulkan semua itu, cuma saya tengah tunggu hujahan daripada kedua-dua pihak. Tak perlu ulang-ulang soalan terutama sekali isu tentang ahli perniagaan G. Gnanaraja sebab sekarang ini kita dalam prosiding perbicaraan utama, jadi kita fokus pada pertuduhan.

"Peguam Haijan Omar pun sudah tanya panjang lebar tentang isu bayaran kepada Gnanaraja. Kita dah ada jawapan kan, kenapa nak kena tanya mengenai kes Gnanaraja lagi," tegas Azura.

Terdahulu, peguam RSN Rayer mewakili Lim membangkitkan soalan mengenai kenyataan media Zarul Ahmad pada 2018 yang bercanggah dengan pernyataan saksinya di mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah soalan tersebut kerana ia telah ditanya semasa prosiding mencabar kredibiliti Zarul Ahmad.

"Apa tujuan untuk mencabar kredibiliti saksi berkenaan kalau soalan sama ditanya semasa perbicaraan utama. Bukan apa, saya tak nak buang masa, YB Lim Guan Eng duduk di sana pun (kandang tertuduh) tak tahu berapa lama, saya takut kena gelinciran cakera (slipped disc) saja," katanya.

Rayer kemudian berkata soalan itu relevan kerana apa yang dinyatakan oleh Zarul Ahmad dalam pernyataan saksinya adalah sesuatu yang difikirkan semula.

"Dalam kenyataan akhbar, saksi berkenaan menyatakan bahawa wang dibayar kepada Gnanaraja kerana dia mempunyai hubungan erat dengan kerajaan Barisan Nasional, kononnya untuk menutup siasatan rasuah ke atas syarikat saksi itu.

"Bagaimanapun, dalam pernyataan saksi, saksi itu menyatakan bahawa wang berkenaan dibayar kepada Special Purpose Vehicle sebagai perantara untuk membayar wang rasuah kepada anak guam saya (Lim)," kata peguam itu.

Selepas ditegur Azura, peguam itu bersetuju dengannya dan bertanyakan soalan lain.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 63, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad, sebagai upah untuk membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik bagi projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED