Translate

10 November 2024

KDN sahkan terima permohonan Bangladesh untuk tahan pengasas Bestinet



KDN sahkan terima permohonan Bangladesh untuk tahan pengasas Bestinet

Bernama

10/11/2024


Saifuddin Nasution kerajaan Malaysia mahukan supaya Dhaka memberi penjelasan lanjut berhubung permohonan itu sama ada penahanan mereka adalah bagi tujuan ekstradisi atau bagi tujuan menjalankan siasatan lanjut. - Gambar fail


NIBONG TEBAL: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan telah menerima permohonan daripada Bangladesh yang meminta Malaysia menahan pengasas Bestinet Aminul Islam Abdul Nor dan rakannya Ruhul Amin.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata bagaimanapun kerajaan Malaysia mahukan supaya Dhaka memberi penjelasan lanjut berhubung permohonan itu sama ada penahanan mereka adalah bagi tujuan ekstradisi atau bagi tujuan menjalankan siasatan lanjut.

Beliau berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Peguam Negara Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh selepas Dhaka memaklumkan kepada Ibu pejabat Polis Bukit Aman mengenai perkara itu yang disampaikan dalam satu dokumen.

"Kita kena jelas dulu apakah objektif (penahanan), kalau objektifnya untuk tujuan merakam dan menjalankan siasatan, kaedahnya adalah Dhaka kena gunakan saluran bantuan undang-undang bersama, dan sekiranya Dhaka mahu nama-nama itu dituduh di mahkamah Bangladesh, maka Dhaka kena mohon ekstradisi.

"Kalau tujuan untuk pendakwaan, mesti diekstradisi, kalau tujuan untuk siasat cuma perlu bantuan undang-undang bersama," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Depot Tahanan Imigresen dan Kuarters di Depot Imigresen Jawi, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban.

Saifuddin Nasution berkata demikian sebagai respons kepada laporan media mengenai gesaan polis Bangladesh supaya pihak Malaysia menahan Aminul Islam dan rakannya Ruhul, berikutan kedua-duanya dikatakan menjalankan aktiviti pengubahan wang haram, pemerasan dan pemerdagangan pekerja asing.

Aminul Islam merupakan pengasas dan pengerusi Bestinet, syarikat yang mengendalikan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang digunakan kerajaan Malaysia untuk memproses kemasukan pekerja asing ke negara ini.

Difahamkan Aminul berasal dari Bangladesh, kini merupakan warga Malaysia, dan beliau tidak lagi menjadi pengerusi Bestinet, namun masih memiliki pegangan dalam syarikat itu.

Sementara itu Saifuddin Nasution berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan Bangladesh terdapat tiga warga Malaysia memperkenalkan diri sebagai 'wakil kerajaan' berkaitan siasatan pengubahan wang haram, pemerasan dan pemerdagangan pekerja asing melibatkan pekerja warga negara itu.

Beliau berkata setakat ini beliau hanya mengetahui mengenai perkara itu menerusi laporan media, dan bukan laporan secara rasmi daripada kerajaan Bangladesh.

Media sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya dua portal berita Bangladesh yang mendakwa ketiga-tiga individu tersebut melawat Bangladesh September lepas sebagai wakil kerajaan serta memberi maklumat palsu mengenai siasatan itu.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED