Translate

08 November 2024

Isu FashionValet: Hari keempat SPRM rekod keterangan Vivy, suami



Isu FashionValet: Hari keempat SPRM rekod keterangan Vivy, suami

Astro Awani

08/11/2024


Vivy ketika tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, bagi merakam keterangan untuk hari keempat, hari ini. - Foto Astro AWANI/Abdul Wafiy Nor Azmi


PUTRAJAYA: Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar sekali lagi hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini, untuk direkod keterangan.

Pasangan itu tiba kira-kira pukul 9.13 pagi dengan menaiki kenderaan pelbagai guna berwarna hitam.

Ini merupakan hari keempat mereka hadir ke Ibu Pejabat SPRM sejak Selasa lalu bagi membantu siasatan.

Turut mengiringi mereka, peguam Shaarvin Raaj Selva Kumar.

Difahamkan, proses merakam keterangan mereka hari ini adalah berkait dengan dokumen serta beberapa transaksi didakwa meragukan.

Siasatan ke atas pasangan itu adalah berhubung laporan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet berjumlah RM43.9 juta.

Vivy dan Fadzaruddin adalah antara sembilan individu yang dirakam percakapan susulan pegawai penyiasat menyerbu empat lokasi sebelum ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki sebelum ini dilaporkan berkata transaksi mencurigakan itu dikesan sejak 2018 hingga tahun lalu, berdasarkan siasatan yang dijalankan setakat ini.

Katanya, pihaknya sudah merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) bagi membantu siasatan.

Bahagian Forensik Perakaunan SPRM masih menjalankan semakan terhadap semua dokumen yang diperoleh itu.

Terdahulu, kediaman milik pasangan suami isteri itu di Mont Kiara, Kuala Lumpur digeledah pegawai SPRM.

Antara barangan yang disita termasuk 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah, dengan nilai anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.

Turut diserbu SPRM adalah pejabat Kementerian Kewangan, Khazanah serta PNB.

Minggu lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam FashionValet kepada syarikat bumiputera, NXBT Partners pada 2023.

Jumlah itu berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 juta dan RM20 juta, untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.




Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED