Translate

09 November 2024

Harimau belang mati digilis lori di Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli



Harimau belang mati digilis lori di Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli

Astro Awani

09/11/2024


Hasil siasatan mendapati haiwan tersebut dilanggar lori yang dalam perjalanan dari Gerik ke Jeli sekitar jam 5.30 pagi tadi. - Gambar/ Media sosial


IPOH: Seekor harimau belang mati dan tubuhnya hancur digilis lori di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa, hari ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya menerima maklumat tersebut pada jam 9 pagi tadi.

Menurutnya, beberapa kakitangan Perhilitan Gerik telah ke lokasi untuk menjalankan siasatan berhubung penemuan haiwan tersebut.




“Hasil siasatan mendapati haiwan tersebut telah dilanggar lori yang dalam perjalanan dari Gerik ke Jeli sekitar jam 5.30 pagi ini.

“Setakat ini, kita masih tidak dapat mengenal pasti jantina haiwan itu kerana karkas hancur.

“Beratnya pun kita tak boleh nak anggar, tapi kita percaya ia harimau dewasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam perkembangan sama, Yusoff berkata, pengecaman ke atas harimau tersebut sukar dilakukan kerana tubuhnya hancur akibat kemalangan itu.

“Sepatutnya kita boleh kenal ID (kumpulan) harimau ini, tapi disebabkan tubuh dah hancur, jadi sukar kita nak buat pengecaman.

“Tapi kita percaya, haiwan itu dari hutan berhampiran sama ada Hutan Simpan Temenggor, HS Gerik atau (Hutan) Royal Belum,” ujarnya.

Beliau berkata, bahagian kepala haiwan itu akan dihantar ke Institut Biodiversiti (IBD) di Pahang untuk proses pengawetan.

Difahamkan, setakat ini belum ada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana pemilik lori yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Terdahulu, tular video memaparkan seekor harimau belang dilanggar lori di media sosial sejak pagi tadi.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED