Translate

05 November 2024

Dewan Arena Square terbakar, dipercayai libatkan penggunaan bunga api tanpa kebenaran



Dewan Arena Square terbakar, dipercayai libatkan penggunaan bunga api tanpa kebenaran

Bernama

05/11/2024


kebakaran berlaku semasa satu acara sambutan hari jadi dianjurkan seorang individu yang telah menyewa dewan itu daripada Majlis Perbandaran Teluk Intan. - Foto JBPM Perak


IPOH: Penggunaan bunga api tanpa kebenaran dipercayai telah menyebabkan Dewan Arena Square, Jalan Raja di Teluk Intan terbakar, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata dalam kejadian 11.18 malam itu, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berkenaan satu insiden kebakaran itu, sebelum polis dan pihak bomba segera ke lokasi kejadian untuk memadamkan api.

Beliau berkata siasatan awal yang dijalankan bersama pihak forensik bomba daerah Hilir Perak mendapati, kebakaran kemungkinan berpunca daripada percikan bunga api yang ditembak ke arah bumbung dewan, lalu mengakibatkan kebakaran berlaku di bumbung dewan berkenaan.

Ahmad Adnan berkata pihaknya mendapati, kebakaran berlaku semasa satu acara sambutan hari jadi dianjurkan seorang individu yang telah menyewa dewan itu daripada Majlis Perbandaran Teluk Intan, melibatkan kira-kira 500 tetamu, selain penganjur menyediakan pelbagai jenis mercun serta bunga api untuk digunakan tetamu.

"Semakan mendapati penganjur tidak memiliki lesen yang sah untuk penggunaan bunga api dan mercun. Pada 4 Nov, lebih kurang 3 petang, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Hilir Perak telah berjaya menangkap suspek yang merupakan penganjur acara tersebut," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Ahmad Adnan berkata suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 24 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori di sebuah syarikat itu, akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, manakala anggaran jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai diingatkan bahawa penggunaan mercun dan bunga api tanpa lesen, adalah satu kesalahan yang boleh mendatangkan risiko keselamatan, justeru dinasihatkan tidak menggunakan mercun atau bunga api tanpa kebenaran, bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini.

"Individu yang didapati bersalah jika disabitkan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan hendaklah juga didenda.

"Individu yang didapati bersalah di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki, mengawal atau menggunakan bahan letupan tanpa lesen boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

-- BERNAMA




Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED