Translate

21 November 2024

Dakwaan rasuah: Siasatan terhadap ADUN Sabah diteruskan, tiada usaha sekat - PM



Dakwaan rasuah: Siasatan terhadap ADUN Sabah diteruskan, tiada usaha sekat - PM

Astro Awani

21/11/2024


Anwar berkata SPRM memaklumkan bahawa ADUN-ADUN terbabit telah dipanggil bagi membantu siasatan yang dikaitkan dengan mereka. -Foto Jabatan Penerangan Malaysia


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada sebarang usaha menyekat siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah berkaitan kes rasuah yang sedang berjalan ketika ini.

Ringkasan AI

Anwar menegaskan bahawa tiada usaha untuk menyekat siasatan SPRM terhadap ADUN Sabah yang terlibat dalam kes rasuah.

Anwar menyatakan bahawa isu rasuah di Malaysia sudah menjadi sistemik dan memerlukan kerjasama semua pihak untuk diperangi.

Usaha Malaysia dalam membanteras rasuah mendapat pengiktirafan antarabangsa, termasuk kerjasama dengan kerajaan Qatar untuk merangka program antirasuah bagi negara-negara Islam.

Menurutnya, SPRM telah memaklumkan bahawa ADUN-ADUN terbabit telah dipanggil bagi membantu siasatan yang dikaitkan dengan mereka.

"Sepertimana yang telah kita jelas sebelum ini berkenaan dengan soal rasuah, memang langkah-langkah itu tegas dan memang saya tahu ia tidak mudah kerana sukar untuk memerangi rasuah bila melibatkan golongan mahakaya, kerana ramai penyokong-penyokong mereka.

"Tetapi saya telah diberi maklum oleh SPRM bahawa hal ini akan diteruskan termasuk isu-isu yang kadang-kadang berbangkit, yang terakhir melibatkan Sabah, itu yang dimaklum oleh SPRM.

"Siasatan diteruskan, ADUN-ADUN terkaitan dipanggil.

"Setakat itu sahaja yang saya boleh beri makluman tetapi tidak benar sama sekali kalau-kalau dikatakan ada usaha untuk mengekang atau menyekat.

"Begitu juga yang melibatkan orang-orang kenamaan yang besar yang lainnya," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai usaha yang diambil kerajaan dalam memerangi rasuah di negara ini.

Mengulas lanjut, Anwar (PH-Tambun) berkata isu rasuah dalam negara sudah menjadi sistemik dan 'kecelaruan teruk' serta ia dilihat di setiap agensi, jabatan, dan kementerian.

"Sebab itu, saya memerlukan kerjasama dan dukungan semua pihak kerana tiap kali dihadapkan mahkamah, perkara itu dianggap sebagai motif politik.

"Jadi ini agak sukar, sebab itu saya berulang kali, malah pagi tadi saya tanya dari segi SPRM, selagi mereka mampu mereka akan teruskan," katanya lagi.

Dalam masa, Anwar berkata usaha Malaysia dalam membanteras rasuah semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa termasuk apabila kerajaan Qatar meminta kerjasama SPRM untuk merangka program antirasuah bagi negara-negara Islam.

"Minggu hadapan, kerajaan Qatar telah meminta satu rombongan utama Menteri dan SPRM untuk bekerjasama merangka program membanteras rasuah di negara-negara Islam.

"Dan itu ditugaskan kepada SPRM dan jentera Malaysia dalam pengiktirafan," kata Perdana Menteri lagi.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED