Translate

08 November 2024

Biden seru 'peralihan kuasa yang aman dan teratur' susulan kemenangan Trump



Biden seru 'peralihan kuasa yang aman dan teratur' susulan kemenangan Trump

Bernama

08/11/2024


Biden bercakap kepada media di Rose Garden, White House, Washington, 7 Nov 2024. (Foto AP)


WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Khamis berkata rakyat Amerika berhak menerima "peralihan kuasa yang aman dan teratur" selepas calon Republikan Donald Trump memenangi Pilihan Raya Presiden kali ini, lapor Agensi Anadolu (AA).

Biden berkata beliau telah berbincang dengan Trump untuk meyakinkan bahawa beliau telah mengarahkan kakitangannya untuk memastikan peralihan itu berjalan lancar, tetapi turut mengakui rasa kecewa yang dialami oleh ramai penyokong Demokrat.

"Saya tahu bagi sesetengah orang, ini adalah masa kemenangan, itu perkara yang jelas. Bagi yang lain, ini masa kehilangan. Kempen adalah persaingan visi yang berbeza. Negara memilih satu daripadanya. Kami menerima pilihan yang dibuat oleh negara. Saya sering katakan, anda tidak boleh mencintai negara anda hanya apabila anda menang," katanya dalam kenyataan di Rose Garden.

"Saya tahu ini masa yang sukar. Anda terluka. Saya mendengar anda dan saya melihat anda, tetapi jangan lupa, jangan lupakan semua yang telah kita capai. Ini adalah kepresidenan yang bersejarah, bukan kerana saya presiden, tetapi kerana apa yang telah kita lakukan, apa yang anda lakukan, kepresidenan untuk semua rakyat Amerika," katanya.

Berbaki 74 hari dalam penggalnya, Biden berikrar untuk memastikan setiap hari dimanfaatkan sepenuhnya.

"Itulah tanggungjawab kami kepada rakyat Amerika. Kegagalan tidak dapat dielakkan, tetapi menyerah kalah tidak boleh dimaafkan," katanya.

Trump memperoleh kemenangan besar menewaskan calon Demokrat, Kamala Harris, selepas pilihan raya pada 5 Nov, melebihi 270 undi Badan Perwakilan Pemilih yang diperlukan untuk memenangi Rumah Putih. Beliau juga menjadi calon Republikan pertama yang memenangi undi popular dalam tempoh dua dekad.

Presiden Terpilih itu kini mempunyai sokongan 295 perwakilan berbanding 226 yang memilih Harris.

Negeri Nevada dan Arizona masih belum mengumumkan keputusan, namun kedua-duanya cenderung memihak kepada Trump.

Trump dijangka akan mengangkat sumpah sebagai presiden bagi penggal kedua pada 20 Jan 2025. Harris, sebagai Naib Presiden, akan menyelia upacara angkat sumpah di Capitol.


-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED