Translate

14 November 2024

Ada pemindahan wang berjumlah RM2.6 juta ke akaun Bayu Bumiraya Sdn Bhd - Saksi



Ada pemindahan wang berjumlah RM2.6 juta ke akaun Bayu Bumiraya Sdn Bhd - Saksi

Bernama

13/11/2024


Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad (kiri) hadir bagi perbicaraan kes melibatkan 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd telah memindahkan wang berjumlah RM2.6 juta ke dalam akaun syarikat Bayu Bumiraya Sdn Bhd.

Pengurus CIMB Cawangan Tunku Abdul Rahman, Rahimi Mohamed Ramli, 48, berkata kesemua wang itu dipindahkan menerusi tujuh transaksi antara 31 Jan 2022 hingga 31 Dis tahun sama.

"Berdasarkan penyata syarikat MIE Infrastructure & Energy, saya sahkan terdapat empat transaksi melibatkan wang masing-masing berjumlah RM500,000; RM300,000; RM200,000 dan RM100,000 atas nama Bayu Bumiraya Sdn Bhd.

"Saya juga sahkan terdapat tiga transaksi pengeluaran menerusi pemindahan wang ke akaun lain masing-masing berjumlah RM500,000. Terdapat catatan ''remarks' bagi transaksi itu iaitu 'Project Fees Adam Radlan Bin Ada' dan 'Project Fees Bayu Bumiraya Sdn' dan 'PV 9060'," kata saksi pendakwaan ketiga semasa membacakan pernyataannya di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan kes Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad yang berdepan 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan projek Jana Wibawa.

Pada prosiding sebelum ini, saksi pendakwaan pertama, penolong pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) R. Harshini, 34, mengesahkan bahawa Adam Radlan ialah pengarah dan pemegang saham Bayu Bumiraya Sdn Bhd bermula tarikh lantikan pada 9 Okt 2013 hingga 25 Jan 2023.

Terdahulu, pegawai bank Public Bank Berhad Cawangan Bandar Setia Alam, Ng Choo Li, 50, mengesahkan terdapat dua transaksi pengeluaran wang masing-masing RM100,000 ke akaun Bayu Bumiraya pada 5 April 2022.

"Saya sahkan bahawa pengeluaran wang, masing-masing RM100,000 dibuat daripada akaun bank milik Nepturis Sdn Bhd melalui pindahan dalam talian sebanyak dua kali kepada syarikat Bayu Bumiraya," kata saksi pendakwaan kedua itu.

Dia turut didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Jan 2023.

Perbicaraan bersambung pada 15 Jan depan.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED