Translate

22 November 2024

10 projek berkaitan aeroangkasa bernilai RM500 juta diluluskan sehingga 2023 - MITI



10 projek berkaitan aeroangkasa bernilai RM500 juta diluluskan sehingga 2023 - MITI

Bernama

22/11/2024


Menurut MITI, pelbagai inisiatif strategik telah digariskan menerusi MIAB 2030, Kerangka Industri Aeroangkasa dalam RMK12 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).


KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 projek pelaburan telah diluluskan bermula 2020 hingga tahun lepas dengan nilai pelaburan berjumlah RM513.4 juta dan mewujudkan lebih 700 pekerjaan dalam tempoh tersebut untuk industri aeroangkasa negara.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), pelbagai inisiatif strategik telah digariskan menerusi Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 (MIAB 2030), Kerangka Industri Aeroangkasa dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) untuk memastikan pembangunan industri aeroangkasa yang berdaya saing dan mampan.

Katanya, syarikat industri aeroangkasa Malaysia juga telah berjaya membida pakej kerja baharu untuk sektor pembuatan aeroangkasa yang bernilai RM5.7 bilion dalam tempoh dua tahun selepas pandemik COVID-19 melanda dunia.

"Perkembangan positif ini disokong oleh projek-projek pembesaran perkhidmatan sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bernilai lebih RM600 juta yang telah memasuki fasa pelaksanaan," katanya menerusi jawapan bertulis dalam laman sesawang Parlimen pada Khamis.

Ia menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berhubung langkah-langkah untuk memperkasakan pemain aeroangkasa tempatan dalam bidang MRO selepas berdepan kemasukan pesaing seperti SIA Engineering Company Ltd (SIAEC).

Menurut MITI, Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara Malaysia (NAICO Malaysia) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga telah mengembangkan kerjasama strategik bersama pihak pengeluar peralatan asal (OEM) dan pembekal Tier-1 untuk memperkukuh rantaian nilai tempatan melalui seminar dan forum rantaian nilai serta sesi padanan perniagaan berterusan.

"Sebagai contoh, pelaksanaan program MyAERO Talent Johor di SMK Kota Masai 2, Johor bertujuan menarik minat generasi muda mendalami bidang aeroangkasa," katanya. - BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED