Ditipu penjual durian, pengguna disaran lapor KPDN
Bernama
10/07/2024
MELAKA: Orang ramai yang berdepan penipuan jualan durian diminta segera membuat aduan berbanding menularkan kejadian itu di media sosial agar tindakan segera dapat diambil.
Ringkasan AI
Orang ramai diminta membuat aduan kepada KPDN Melaka jika mengalami penipuan jualan durian, bukan menularkannya di media sosial, untuk membolehkan tindakan segera diambil.
KPDN Melaka akan menjalankan siasatan dalam tempoh 24 jam setelah menerima aduan dan akan mendakwa peniaga yang terbukti menipu serta menyita durian yang dijual.
Sejak musim durian bermula, KPDN Melaka telah memeriksa 28 premis dan mendapati kebanyakan peniaga meletakkan tanda harga yang kecil dan kurang jelas, namun setakat ini hanya nasihat diberikan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar berkata, tindakan itu juga bertujuan memastikan bukti berhubung penipuan yang dilakukan peniaga terbabit tidak dihapuskan.
Beliau berkata, sebaik menerima aduan berkenaan, siasatan akan dijalankan dalam tempoh 24 jam dan sekiranya penipuan itu dapat disabitkan, tindakan pendakwaan di mahkamah akan dilakukan sebagai pengajaran selain menyita durian yang dijual.
"Setakat ini, tiada aduan yang diterima KPDN Melaka berhubung penipuan itu tetapi menerusi pemantauan di media sosial terdapat komen daripada pengguna bahawa mereka ditipu peniaga durian termasuk daripada segi harga dan promosi mengelirukan.
"Sepatutnya isu tersebut tidak ditularkan sebaliknya aduan boleh dibuat secara terus kepada KPDN Melaka menerusi pelbagai platform seperti Pejabat KPDN Melaka di Wisma Persekutuan, media sosial rasmi kami antaranya Facebook dan TikTok," katanya kepada pemberita, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian selepas melakukan pemeriksaan di premis menjual durian sekitar Cheng sempena musim raja buah itu yang turut dihadiri Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Melaka, Rohaimi Mohamed Zawawi.
Mengulas lanjut, Norena berkata, tindakan boleh diambil antaranya di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Sementara itu, beliau berkata, sejak musim durian bermula awal bulan ini, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan di 28 premis jualan di sekitar negeri susulan promosi hebat peniaga di media sosial.
"Sepanjang pemantauan yang dijalankan, kebanyakan peniaga meletakkan tanda harga terlalu kecil dan kurang jelas sehingga mengelirukan pembeli.
"Bagaimanapun setakat ini, kita hanya memberikan nasihat dan advokasi kepada peniaga terbabit agar menambah baik aspek berkenaan agar tidak dikenakan tindakan penguatkuasaan," katanya. - BERNAMA