Translate

09 May 2024

Sultan Selangor perkenan Selangor FC tidak hadir Piala Sumbangsih, kecewa dengan MFL




 KENYATAAN DYMM SULTAN SELANGOR

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah memberi perkenan dan menyokong sepenuhnya keputusan pasukan Selangor FC untuk TIDAK HADIR ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang dijadual berlangsung pada 10 Mei 2024 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Baginda bagaimanapun menzahirkan rasa kecewa kerana pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak permohonan Selangor FC supaya menangguhkan perlawanan berkenaan.

Selaku Penaung Selangor FC, Baginda berpandangan, susulan berlakunya beberapa insiden mengancam nyawa yang melibatkan pemain dan pegawai baru-baru ini, adalah bertepatan untuk pasukan Selangor FC tidak menyertai perlawanan berkenaan yang juga merupakan aksi pertama Liga Super edisi 2024.

Baginda bertitah, keutamaan ketika ini adalah nyawa serta keselamatan para pemain, dan bukannya untuk memenangi piala berkenaan.

Titah Baginda lagi, bukan sahaja isu keselamatan, keadaan moral pasukan yang masih terganggu dan terkesan dengan insiden simbah asid yang melibatkan pemain sayap, Faisal Halim, juga harus diambil kira. Justeru, Baginda turut menyokong solidariti untuk membanteras keganasan sukan dalam apa jua bentuk #standwithfaisalhalim #stoptheviolence

Baginda mahu semua pihak memahami bahawa tahap keseriusan insiden yang melibatkan nyawa pemain sebegini adalah tidak sama dengan kes-kes sebelum ini, apatah lagi ia berlaku sangat hampir dengan tarikh perlawanan.

Baginda turut menegaskan bahawa Selangor FC sedia berdepan dengan apa jua tindakan, susulan daripada keputusan untuk tidak hadir ke perlawanan ini.

ISTANA ALAM SHAH

9 MEI 2024



MFL tolak permohonan Selangor, jadual Piala Sumbangsih kekal

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED