Translate

02 May 2024

Papagomo didakwa hasut, datangkan kebencian terhadap Agong



Papagomo didakwa hasut, datangkan kebencian terhadap Agong

Bernama

02/05/2024
Wan Muhammad Azri ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR

Papagomo didakwa hasut, datangkan kebencian terhadap Agong

Wan Muhammad Azri ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR

KUALA LUMPUR: Blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghasut yang mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Wan Muhammad Azri, 41, yang juga bekas Exco Pemuda UMNO didakwa telah menerbitkan penerbitan menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart Superstore Sdn Bhd menghadap Sultan Ibrahim di laman Twitter atau X miliknya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang, di sini pada pukul 12 tengah hari, 29 April lepas mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.







Pertuduhan ke atas Wan Muhammad Azri dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat, Mohd Sabri Othman dan Abdul Malik Ayob manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Logen Eskander Abdullah.

Terdahulu Khairul Azreem tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, namun memohon mahkamah menetapkan jumlah yang tinggi sekiranya jaminan dibenarkan, mengambil kira faktor penerbitan hasutan yang dilakukan melibatkan Yang di-Pertuan Agong.

"Kami juga memohon perintah larangan bersuara (emgag order/em) supaya tertuduh tidak mengeluarkan sebarang komen mengenai kes ini bagi mengelak perjalanan kes dikacau ganggu. Perintah ini perlu sebagai langkah berjaga-jaga untuk memastikan tiada sebarang komen menimbulkan provokasi dibuat," katanya.

Bagaimanapun Muhammad Rafique berkata pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guamnya adalah kesalahan yang boleh dijamin, dan beliau memohon jaminan dibenarkan atas alasan Wan Muhammad Azri menanggung isteri dan lima anak.

"Mohon mahkamah mengenakan jumlah jaminan RM10,000 seperti yang dikenakan terhadap Badrul Hisham Shaharin (Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu) atau Chegu Bard yang didakwa di bawah akta sama tiga hari lepas (29 April) bagi mengekalkan keseragaman dalam kes ini," katanya yang turut membantah permohonan perintah larangan bersuara.

Siti Aminah membenarkan Wan Muhammad Azri diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, dan mengenakan syarat tambahan perlu melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai.

"Perintah larangan bersuara tidak dibenarkan dan mahkamah tetapkan 23 Mei untuk sebutan semula kes," katanya.

Pada 29 April lepas, Badrul Hisham Shaharin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menghasut dan mengeluarkan kenyataan fitnah yang akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED