Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed menempelak beberapa pemimpin Umno yang terus mengeluarkan bantahan kerana tidak berpuas hati menegnai usul pada perhimpunan agung minggu lalu supaya jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.
Antara yang ditempelak Nur Jazlan ialah Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob yang juga adalah bekas perdana menteri dan Pengerusi Umno Johor, Hasni Mohammad.
Nur Jazlan Mohamed ·
RUMAH SUDAH SIAP TAPI PAHAT MASIH BERBUNYI
- Begitulah saya rasa perumpamaan yang paling sesuai kalau kita nak mengulas mengenai isu pemilihan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang sudah selepas minggu lalu. Walaupun majoriti perwakilan UMNO yang hadir pada PAU 2022 sudah buat keputusan bahawa kedua-dua jawatan utama parti itu tak dipertandingkan, tapi masih ada suara-suara sumbang yang masih tak berpuas hati.
- Malah Naib Presiden UMNO sendiri yang juga PM9, buat lain cakap lain. Ketika proses pengundian usul itu dibuat, dia boleh pula berdiri dan sokong tapi bila keluar dewan, dia buat pula sidang media dan mempertikaikannya. Sepatutnya kalau dah setuju tu duduk diam saja dan kalau tak setuju, jangan duduk gatal-gatal nak bangun dan sokong.
- Saya dapat rasa sebenarnya dia tak puas hati sebab dia satu-satunya Naib Presiden yang tak dipilih untuk jadi menteri angkat kepada negeri-negeri yang akan terlibat dengan PRN nanti. Bila Presiden UMNO sebut nama Khaled dan Mahdzir tapi nama Ismail Sabri tak ada, dia kena terima hakikat. Mungkin Presiden sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap beliau asbab macam-macam perkara yang dibuat menongkah arus sepanjang jadi PM dulu. Mungkin itulah harga yang dia perlu bayar bila selama ini terlalu mengikut telunjuk Muhyiddin berbanding arahan parti selama dia menjadi wakil UMNO sebagai PM.
- Begitu jugalah sikap Pengerusi UMNO Johor yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam yang baru berani bersuara tentang isu sama. Selama ini dia hanya ambil sikap kunci mulut dan tak keluarkan kenyataan apa-apa pasal pemilihan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden itu. Tahu-tahu saja, wakil UMNO Johor, Pandak Ahmad ketika berucap ketika sesi perbahasan ucapan dasar Presiden dengan tegas mengatakan UMNO Johor mahu dua jawatan itu dipertandingkan.
- Setahu saya sebagai Timbalan Pengerusi UMNO Johor, kami tak pernah pun dipanggil mesyuarat oleh Pengerusi UMNO Johor untuk berbincang mengenai ketetapan UMNO negeri mengenai isu berkenaan. Kenapa keputusan dibuat tanpa berbincang atau maklumkan kepada pucuk pimpinan UMNO Johor yang lain? Adakah tindakan itu juga boleh dianggap sebagai demokrasi?
- Pandak pun kata, kalau jawatan Presiden dan Timbalan tak dipertandingkan, ia akan memberikan persepsi negatif kepada orang luar. Rakyat akan tuduh UMNO tak amalkan demokrasi dan mungkin menyebabkan rakyat tak lagi menyokong UMNO. Saya nak tanya, pada 2018 dulu kesemua jawatan tertinggi UMNO dipertandingkan termasuk kerusi Presiden tapi kenapa pada PRU15 lepas UMNO kalah teruk juga. Sedangkan selepas PRU14, UMNO sudah mengamalkan demokrasi dalam parti. Kenapa rakyat tak sokong juga UMNO?
- Kalau kita lihat parti-parti lain pun macam PAS dan Bersatu, jawatan Presiden mereka pun tak dipertandingkan, adakah rakyat peduli? Masa pemilihan PKR tahun lepas pun, macam-macam kekecohan berlaku dalam parti mereka, adakah rakyat ambil kisah? Dalam DAP pun bukannya tak ada pergolakan ketika pemilihan Jawatankuasa DAP pusat, orang Cina ambil ‘port’ ke? Jadi isu pemilihan dalaman parti sebenarnya tak mempengaruhi sokongan rakyat terhadap mana-mana parti pun. Sebab rakyat tahu ianya adalah isu dalaman atau masalah rumahtangga parti itu saja. Mereka tak mahu pening kepala nak fikirkan masalah orang lain. Jadi hakikatnya, rakyat tak peduli pun apa yang berlaku dalam UMNO sebab mereka tahu mereka bukan ahli dan tak boleh mengundi untuk menentukan pucuk pimpinan UMNO. Usahlah nak guna alasan yang dangkal demi menegakkan benang yang basah.
- Bagi mereka yang terus mempertikaikan keputusan perwakilan yang menyokong jawatan Presiden dan Timbalan tak dipertandingkan, adakah kamu nak cakap perwakilan yang hadir ini tak bijak? Adakah kamu nak kata suara perwakilan ini tak mewakili suara akar umbi sedangkan mereka ini dipilih dalam kalangan akar umbi? Adakah kamu nak mempertikaikan kewarasan para perwakilan dalam membuat keputusan sebagaimana yang Khairy dakwa suatu kegilaan kalau dua jawatan itu tak dipertandingkan? Khairy nak tuduh perwakilan gila ke? Sudahlah dia menghina para perwakilan dengan mendakwa wujud perwakilan hantu sedangkan memang sudah sah semua perwakilan yang dipilih itu sebenar berwibawa dan berintegriti.
- Lepas itu ada juga yang kata, pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan tak akan jadi punca UMNO berpecah. Yang cakap itu Ku Li, bekas Ahli Parlimen Gua Musang selama 12 penggal dan bekas pencabar jawatan Presiden yang kalah pada pemilihan tahun 1987. Lepas dia kalah, dia merajuk dan dia keluar UMNO sebelum tubuhkan Semangat 46. Dia bawa keluar beramai-ramai ahli UMNO sebab tak puas hati selepas kalah. Bukankah perpecahan itu disebabkan dia berlawan dengan Mahathir untuk kerusi Presiden? Bukankah dia juga jadi punca wujudnya Team A dan Team B dalam UMNO ketika itu? Bukankah dia yang memecahbelahkan UMNO? Jadi tak payah sembang karilah sebab semuanya sudah terbukti.
- Bagi Ahli Parlimen Sembrong pula, saya nasihatkan duduk diam-diam sudahlah lepas ini. Sudah banyak tindakan yang dia buat di belakang parti. Sign SD untuk sokong PN buat kerajaan tanpa pengetahuan Pengerusi BN dan parti. Bila sudah kantoi buat muka tak bersalah pulak. Bila nama kena petik dalam Taklimat dan Ucapan Dasar Presiden, terus buat-buat tak tahu. Kononnya tak tahu kenapa dia dicop sebagai pengkhianat. Tak perulah berlakon suci macam ahli-ahli UMNO tak tahu apa yang dia sudah buat selama ini kepada parti.
- Saya nak cadangkan juga kepada mereka yang nak sangat bertanding jawatan, bolehlah try masukkan nama untuk merebut 3 kerusi Naib Presiden yang sedia untuk dicabar. Mungkin Ismail Sabri boleh bersedia mempertahankan kerusi itu yang disandangnya sekarang. Hishamuddin pun boleh juga test market adakah dia benar-benar popular dalam kalangan ahli akar umbi dan perwakilan. Khairy pula boleh juga cuba nasib di kerusi Naib Presiden itu selepas pernah kalah dalam perebutan kerusi Presiden pada 2018 lalu.
- Saya percaya pastinya bukan setakat ahli UMNO saja yang ternanti-nantikan pertembungan epik ini, bahkan orang luar seperti yang mereka selalu sebut-sebut pun nak tahu tahap populariti jagoan politik UMNO ini.
- Isu tiada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sepatutnya sudah selesai dan tak perlu mana-mana pihak ungkit lagi. Perwakilan sudah buat keputusan, hormati dan terima sajalah. Jangan diteruskan polemik yang tak menguntungkan UMNO tapi sebaliknya semua pihak kena fokus untuk menghadapi 6 PRN nanti.
PH PUN SANGGUP TELAN LUDAH SENDIRI DEMI KEDUDUKAN DALAM KERAJAAN PERPADUAN
- Saya melihat sudah ada pemimpin dari DAP dan PKR yang mula nak tunjuk belang mereka dalam soal Kerajaan Perpaduan dan juga campur tangan dalam hal ehwal UMNO. Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Ramasamy yang sememangnya terkenal bermulut lancang dan MP Pasir Gudang, Hassan Karim yang kaki bangkang mula menyentuh isu sensitif membabitkan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid.
- Ketika pucuk pimpinan atasan PH mengambil sikap tutup mulut dan berdiam diri kerana mereka lebih memikirkan kedudukan serta kuasa dalam Kerajaan Perpaduan, pemimpin bawahan pula yang melalak.
- Macamlah dalam DAP sendiri tak ada masalah atau pergolakan seperti pertembungan antara Dinasti Lim dan kumpulan cauvinis Cina. Manakala dalam PKR pula umum sudah mengetahui tentang isu pertembungan arus antara Anwar dan Rafizi. Tapi masing-masing bersikap kunci mulut demi kekuasaan dan jawatan.
- Pemimpin utama DAP memang tahu mereka tak boleh jadi kerajaan macam hari ini kalau hanya harapkan undi daripada bukan Melayu. Sebab itulah pemimpin PH terutamanya DAP nak tackle undi Melayu dengan mengharapkan bantuan dan sokongan UMNO sehingga mereka sanggup meludah ke langit serta telan ludah sendiri. Mereka tahu tanpa kerjasama dengan UMNO mereka tak dapat bergelar menteri dalam Kerajaan Perpaduan. Sehingga mereka sanggup akur menerima kuota menteri dan timbalan menteri yang sedikit.
- PH dalam diam mengakui sememangnya mereka sudah jauh daripada sokongan pengundi Melayu terutamanya dengan ada DAP dalam gabungan itu. Survival mereka hanya bergantung kepada kerusi majoriti Cina dan kerusi campur untuk menang 80 kerusi pada PRU15 lalu. Jika mereka masih berlagak sombong dan berasa hebat, belum tentu mereka dapat jadi kerajaan lagi sekali selepas PRU16.
- Ketika kepimpinan UMNO dan ahli akar umbi parti sudah mula berlapang dan terpaksa menelan segala prejudis menerima kerjasama antara UMNO dan PH membentuk Kerajaan Perpaduan, sepatutnya pemimpin serta ahli-ahli DAP, PKR dan Amanah juga kena terus 'berpura-pura' menerima gabungan politik baru ini.
- Jangan tiru sikap kumpulan penentang minoriti dalam UMNO yang sentiasa cari jalan untuk pecahkan parti dan meneruskan agenda kerjasama dengan PN. Sebab itulah mereka sanggup buka cerita dalam kain seperti surat SD dan aku janji calon PRU15 lalu. Mereka bocorkan dan viralkan surat-surat berkenaan dengan tujuan mahu memburukkan imej Presiden dan parti UMNO. Saya percaya parti lain seperti DAP pun ada surat SD dan aku janji mereka sendiri tapi mereka tak ada sibuk-sibuk nak dedahkan kepada umum. Mereka tahu jaga hal ehwal rumah tangga sendiri.
- Kisah perjalanan para pengkhianat dalam UMNO ini sama saja. Dari zaman Ku Li sehingga kepada Mahathir dan Muhyiddin sampailah kepada geng broker PN hanya tahu membuka pekung parti sendiri untuk menjahanamkannya dari dalam. Apa yang parti buat semua tak betul tapi bila mereka bertindak menongkah arus dan membelakangkan parti seperti Perjanjian Politik Sulit antara Ismail Sabri dan Muhyiddin boleh pula. 10 SD yang ditandatangani oleh MP BN menyokong PN jadi kerajaan tanpa merujuk kepada Pengerusi BN boleh pula mereka anggap tak salah.
*NOTA KAKI
- Seorang kawan saya dari Tukri pernah pesan, kalau ada mana-mana tauke Turkish Delight yang cakap manisan dari Turki itu tak manis sangat, jangan percaya ya. Sebab itu semua hanya ayat marketing untuk lariskan jualan mereka.
- Sememangnya manisan Turkish Delight memang sedap tapi jangan makan ikut nafsu sebab boleh memudaratkan diri. Potong kaki ooooo!
- Dalam sejarah UMNO pun, genetik Turki selalu tinggalkan parti sendirian setiap kali bila kehendak mereka tak dipenuhi. Malah generasi pewaris UMNO baru yang lahir hasil UMNO lama yang diharamkan juga sudah angkat kaki tinggalkan parti seperti Mahathir dan Mukhriz. Walaupun Allahyarham bapa saya yang dikatakan sebagai Setiausaha Agong UMNO yang terbaik dalam era UMNO Baru juga tak dapat meneruskan impiannya untuk melihat parti ini makin kukuh kerana ramai pemimpin UMNO sezaman dengannya tak mahu berubah.
- UMNO perlu terima hakikat bahawa perjuangan berasaskan Islam, Melayu dan Raja mula tak relevan disebabkan kurangnya jumlah generasi X dan Z yang menerima konsep perjuangan seperti itu lagi. Generasi ini hidup dalam alam maya mengikut cita rasa mereka dan bukan dalam alam nyata yang tidak linear dan tidak semestinya yang terbaik untuk semua golongan rakyat.
- UMNO tak boleh lagi hidup dalam dunia legasi dan cara lama kerana kita tak boleh melakukan perkara sama berulang kali tapi mengharapkan keputusan yang berbeza.
- Terimalah realiti bahawa rakyat negara ini sudah terpisah kepada haluan kiri dan kanan; timur dan barat Semenanjung dan juga negara; bandar dan luar bandar; Melayu dan bukan Melayu; Islam dan bukan Islam. Dan haluan ke hadapan UMNO untuk kembali memimpin negara ini adalah untuk menarik kuasa bertentangan ini kembali ke jalan tengah seperti sewaktu Barisan Nasional ditubuhkan selepas Peristiwa 13 Mei 1969.
KINI TV