Pejabat Ketua Pembangkang dinaik taraf setara pejabat Menteri
ASTRO AWANI
Oktober 12, 2021
Pejabat Ketua Pembangkang dinaik taraf setara pejabat Menteri
Perdana Menteri telah menyerahkan surat pengesahan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menaik taraf status Pejabat Ketua Pembangkang dengan kemudahan setara pejabat Menteri. -Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menyerahkan surat pengesahan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menaik taraf status Pejabat Ketua Pembangkang dengan kemudahan-kemudahan yang setara dengan pejabat Menteri.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke melalui laman akaun Facebook miliknya selepas menghadiri mesyuarat kedua Jawatankuasa Pemandu Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH), pada Isnin.
Anthony Loke Siew Fook
·
Menghadiri mesyuarat kedua Jawatankuasa Pemandu MOU Transformasi dan Kestabilan Politik di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan di Bilik Mesyuarat Parlimen petang tadi.
Mesyuarat hari ini turut dihadiri oleh YAB Perdana Menteri Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pembangkang YB Dato' Seri Anwar Ibrahim
Mesyuarat membincangkan perkembangan pelaksanaan agenda-agenda pembaharuan yang dipersetujui bersama. Beberapa pindaan Perlembagaan Persekutuan akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen yang akan datang.
Sebelum mesyuarat bermula, YAB PM telah menyerahkan surat pengesahan kepada Ketua Pembangkang untuk menaiktaraf status Pejabat Ketua Pembangkang dengan kemudahan-kemudahan yang setara dengan Pejabat Menteri
Sumber Facebook lokesiewfook
"Sebelum mesyuarat bermula, Perdana Menteri telah menyerahkan surat pengesahan kepada Ketua Pembangkang untuk menaik taraf status pejabat Ketua Pembangkang dengan kemudahan-kemudahan yang setara dengan pejabat Menteri.
"Mesyuarat ini akan diadakan pada hari Isnin setiap dua minggu. Mesyuarat seperti ini membawa satu budaya politik yang baharu untuk negara kita.
"Walaupun ada perbezaan politik di antara parti, kita tetap boleh duduk bersama untuk berbincang dan mencari titik persamaan demi kepentingan negara," katanya.
Pada 13 September lalu, kerajaan Persekutuan dan PH melakar sejarah apabila julung kali memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.
MoU itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.
Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, mesyuarat itu membincangkan perkembangan pelaksanaan agenda-agenda pembaharuan yang dipersetujui bersama.
"Beberapa pindaan Perlembagaan Persekutuan akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen yang akan datang," jelasnya.