Tan Sri Annuar Musa. |
Bernama perlu bersiap siaga, kekal kompetitif dan berwibawa - Annuar
BERNAMA
4/9/2021
KUALA LUMPUR, 3 Sept -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) perlu terus bersiap siaga untuk kekal kompetitif dan berwibawa ke arah menjadi sebuah agensi berita terbaik, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata selain mendepani cabaran teknologi semasa dalam penyampaian maklumat, Bernama juga perlu sentiasa menambah baik perkhidmatan dalam menjadi lidah kerajaan yang berkesan.
"Kecemerlangan itu tidak ada ufuk, sentiasa ada ruang untuk menambah baik tetapi yang penting sekali ialah saya harap Bernama dapat turut menghayati aspirasi nasional, nilai-nilai nasional serta rancangan dan visi kerajaan, dengan itu dapat membantu menyampaikan mesej tersebut.
"Pada masa ini, kita tahu dalam konteks Keluarga Malaysia kita hendak penglibatan semua pihak (termasuk) kerajaan, pembangkang, rakyat, agensi kerajaan dan pihak swasta,” katanya selepas sesi taklimat tertutup ketika lawatan ke Wisma Bernama hari ini.
Ini adalah lawatan rasmi sulung Annuar ke Wisma Bernama selepas mengangkat sumpah jawatan Menteri Komunikasi dan Multimedia di Istana Negara pada 30 Ogos lepas.
Beliau berkata cabaran Bernama kini amat besar dengan kewujudan portal berita serta setiap individu kini berupaya menjadi pemberita berbanding sebelum ini dan hanya pemberita diiktiraf yang membuat liputan boleh dianggap sebagai profesion eksklusif.
Oleh itu, beliau mengingatkan petugas agensi berita itu mengamalkan budaya kerja terbaik supaya Bernama kekal sebagai agensi berita yang berwibawa serta mempunyai kredibiliti.
Ketibaan beliau disambut Pengerusi Bernama Senator Datuk Ras Adiba Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Datuk Mokhtar Hussain dan Ketua Pengarang Abdul Rahman Ahmad.