Translate

19 February 2021

Polis meminta kerjasama orang ramai bagi membantu mengesan suspek kes samun




Polis edar fotofit suspek kes samun, sorok bayi lelaki
BERITA HARIAN


Soffian menunjukkan fotofit suspek kes samun di sebuah flat di Jalan Van Praagh pada sidang media, hari ini. - NSTP/DANIAL SAAD




GEORGETOWN: Polis meminta kerjasama orang ramai bagi membantu mengesan suspek kes samun di sebuah flat di Jalan Van Praagh, Jelutong, di sini, Isnin lalu.

Susulan itu, polis mengedarkan lakaran wajah seorang daripada dua suspek dalam kejadian terbabit untuk perhatian awam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata fotofit lelaki dianggarkan berusia 30-an itu dibuat berdasarkan keterangan saksi utama kes.

"Orang ramai yang ada maklumat atau mengenali suspek, diminta menghubungi balai polis terdekat atau pegawai penyiasat menerusi talian 04-2825922 sambungan 228," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan disorok dalam tong dengan mulutnya disumbat kain sebelum ditampal pelekat oleh dua penjenayah yang berang apabila gagal menyamun sejumlah wang daripada ibu mangsa.

Suspek dikatakan marah kerana gagal mendapat wang tunai sebanyak RM50,000 daripada ibu bayi itu dalam kejadian samun kira-kira jam 10.30 pagi Isnin lalu di flat terbabit.


Terdahulu, suri rumah berusia 30 tahun itu didatangi dua individu didakwa memperkenalkan diri sebagai pekerja dari syarikat penghantaran yang membuat penghantaran kotak.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek dipercayai ke rumah mangsa menerusi laluan tangga.

"Ia berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lif flat terbabit yang tiada menunjukkan kedua-dua suspek menggunakannya ketika kejadian," katanya.

Beliau sekali gus menasihati orang ramai supaya berwaspada dengan individu yang mendakwa penghantar barangan ke rumah, serta tidak perlu membuka pintu sekiranya curiga dengan kehadiran mereka.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED