Warga Malaysia terkandas di Thailand mahu pulang, dapat rawatan
BERNAMA
27/12/2020
YALA, 27 Dis -- Seorang warga Malaysia yang terlantar sakit di Yala, selatan Thailand mahu pulang ke tanah air untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin setelah hampir sembilan bulan terkandas di sini.
Idris Mat Saman, 53, bersama dua anak perempuannya yang berusia 16 dan 12 tahun dari Jitra, Kedah terkandas di Thailand sejak Mac lepas apabila sempadan Thailand-Malaysia ditutup dalam usaha membendung penularan COVID-19.
Idris bersama dua anak menemani isterinya, Suemoh Jehloh, 49, yang merupakan warga Thailand, memasuki negara tersebut untuk memperbaharui visa dan menziarahi saudara mara ketika cuti sekolah pada 16 Mac.
Berikutan penutupan pintu sempadan, beliau berkata isterinya tidak boleh memasuki Malaysia.
“Kami semua terpaksa terus duduk di Yala untuk memudahkan beliau menjaga saya. Kesihatan saya semakin merosot. Saya berharap dapat pulang ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin.
“Saya mohon ihsan (pihak berkuasa agar) isteri saya dapat balik ke Malaysia untuk menjaga saya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.
Empat sekeluarga itu kini menumpang di rumah adik Suemoh di sini.
Sebelum ini, Idris merupakan penternak lembu manakala isterinya, peniaga makanan.
Idris yang menghidap penyakit kencing manis serta darah tinggi terlantar sakit sejak beberapa bulan lepas akibat serangan strok.
Sementara itu, anaknya, Nur Atiqah Najewa, 16, berkata dia mahu pulang ke Malaysia secepat mungkin untuk menyambung pelajaran dan membolehkan ayahnya mendapatkan rawatan.
“Kami sekeluarga berharap ibu dapat pulang bersama kami kerana ibu akan menjaga ayah yang sedang sakit,” katanya.
Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Muhammad Ridzuan Abu Yazid berkata pejabat konsulat sedang berusaha membantu empat sekeluarga itu.
Beliau berkata pejabat konsulat perlu membantu Suemoh membuat permohonan MyTravelPass untuk memasuki Malaysia.