Translate

30 December 2020

Polis Kelantan Rampas Bangkai Harimau Belang, Harimau Kumbang, 10 Gading Gajah

 


Polis rampas bangkai harimau, gading gajah bernilai RM500,000

Polis Kelantan rampas bangkai harimau belang, harimau kumbang, 10 gading gajah

BERNAMA
30/12/2020 


KOTA BHARU, 30 Dis -- Polis Kelantan merampas bangkai seekor harimau belang serta harimau kumbang, dan 10 gading gajah dianggarkan bernilai RM500,000 yang dipercayai cuba dijual di pasaran gelap, dalam Ops Khazanah, hari ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata Ops Khazanah yang membawa kepada serbuan keatas sebuah rumah di Kampung Bukit Tok Che Dol, dekat Tanah Merah dalam Ops pada kira-kira pukul 7.40 pagi itu turut menyaksikan polis menahan seorang suspek lelaki berumur 25 tahun disyaki terlibat dalam sindiket pemburuan haram yang aktif sejak lebih setahun.

Beliau berkata bangkai haiwan tanpa organ dalaman itu ditemukan di dalam peti sejuk beku di dalam premis berkenaan yang dipercayai dijadikan sebagai stor menyimpan hasil pemburuan haram.

"Bangkai itu dipercayai telah disimpan sejak April lepas dan kami juga menganggarkan usia kedua-dua haiwan ini sudah dewasa, mungkin lebih 10 tahun. Semua rampasan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya dalam pasaran gelap, harga bagi seekor harimau belang dan harimau kumbang masing-masing adalah RM300,000 dan RM100,000, manakala sebatang gading gajah pula dianggarkan bernilai lebih RM10,000 bergantung kepada saiz dan beratnya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 68 (1)(b) serta Seksyen 68 (2)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar iaitu masing-masing memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala denda tidak kurang RM100,000 dan tidak melebihi RM500,000 dan dipenjara tidak lebih lima tahun, sekiranya disabit kesalahan.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di Pondok Daril Naim dekat Padang Halban, Melor yang kini dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 29 Disember hingga 11 Jan, Shafien mengesahkan telah menerima satu laporan polis berkaitan penjualan daging tidak halal di negeri ini daripada Pergerakan Pemuda UMNO Bachok di ibu pejabat polis daerah Bachok, hari ini.

"Kita tidak menafikan kemungkinan ada daging yang dilaporkan itu ada terjual di negeri ini. Buat masa ini polis Kelantan turut mengumpulkan maklumat berkaitan isu berkenaan," katanya.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED