RM2 juta "masuk poket" Ku Nan sendiri - Mahkamah
BERNAMA
21/12/2020
KUALA LUMPUR, 21 Dis -- Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa RM2 juta yang diberikan Tan Sri Chai Kin Kong kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tersimpan di dalam akaun Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) untuk manfaat dirinya dan menggunakan syarikat itu untuk berselindung bagi menerima hasil perbuatan salahnya.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan dalam penghakiman 87 halaman berkata tiada bukti yang menunjukkan Tengku Adnan telah mengeluarkan wang daripada akaun THSB untuk membayar perbelanjaan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak pada 2016, walaupun jika mahkamah menerima bahawa Datuk Rizalman Mokhtar dan Datuk Zakaria Dullah menerima wang daripada tertuduh.
Rizalman dilantik sebagai pengarah jentera PRK Sungai Besar pada masa itu manakala Zakaria adalah penyelaras bagi projek sukarelawan BN.
Mohamed Zaini berkata dakwaan Tengku Adnan mendahulukan lebih RM2 juta untuk PRK itu adalah suatu yang difikirkan kemudian.
"Oleh itu, terbukti bahawa tertuduh menggunakan Tadmansori untuk berselindung bagi menerima hasil perbuatan jenayahnya," kata hakim, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta atau penjara enam bulan ke atas Tengku Adnan, setelah mendapatinya bersalah atas tuduhan rasuah menerima RM2 juta daripada seorang perniagaan pada 2016.
Hakim itu berkata Tengku Adnan sama sekali tidak menunjukkan sumber wang yang didakwanya diberikan kepada Rizalman dan Zakaria.
"Beliau mengaku telah memberi mereka wang. Beliau berkata beliau telah meminta Tan Sri Chai membayar kepada Tadmansori, kerana beliau telah mendahulukan wangnya sendiri.
“Sekiranya demikian, beliau sepatutnya dapat menunjukkan pengeluaran wang daripada akaun bank Tadmansori. Tidak ada langsung. Tertuduh tidak memberikan penjelasan.
“Tidak ada bukti mengenai sumber wang yang didakwanya diberikan kepada Rizalman dan Zakaria. Adalah penting untuk menunjukkan bahawa wang yang didakwanya dikeluarkan pertama kali daripada akaun bank Tadmansori untuk menjustifikasi arahannya kepada Tan Sri Chai agar cek tersebut dapat dibayar kepada Tadmansori.
“Dalam penghakiman saya, tertuduh telah masukkan RM2 juta itu ke dalam poketnya sendiri," katanya.
Hakim itu berkata mahkamah tidak dapat menerima bahawa Tengku Adnan sahaja yang diamanahkan untuk mengumpulkan dana bagi dua pilihan raya kecil itu kerana kedua-dua kawasan ini tidak berada dalam kawasannya sebagai Pengerusi UMNO/ Barisan Nasional Wilayah Persekutuan.
"Beliau juga bukan bendahari seperti yang didakwa. Saya juga tidak dapat menerima keterangan Rizalman dan Zakaria termasuk lembaran anggaran yang dibentangkan.
“Saya berpendapat, keterangan mereka dibuat setelah peristiwa itu dalam usaha untuk menyokong pembelaan Tengku Adnan. Tidak ada keterangan untuk membuktikan bahawa tertuduh tahu bahawa beliau akan mendapat RM2 juta daripada Tan Sri Chai," tambahnya.
Hakim itu berkata bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu menyatakan bahawa beliau adalah seorang yang senang.
"Saya menerima pendapat tertuduh bahawa dia tidak berniat bercakap gah ketika menyatakan kekayaan dan hanya ingin menegaskan bahawa RM2 juta bukan jumlah yang akan menarik perhatiannya. RM2 juta pada pandangan saya, adalah sejumlah besar wang, bahkan bagi seorang jutawan. Adalah salah untuk berfikir bahawa orang kaya tidak mampu melakukan kesalahan untuk memperoleh keuntungan kewangan," tambahnya.
Mohamed Zaini berkata resit UMNO sahaja tidak boleh dianggap sebagai bukti yang tidak dapat disangkal bahawa RM2 juta itu adalah sumbangan politik.
"Saya keberatan menerima resit UMNO atas beberapa sebab. Pertama, saya merasa sangat luar biasa Tan Sri Chai tidak menganggap penting untuk memberitahu pegawai SPRM mengenai kewujudan resit UMNO, apabila beliau bertemu mereka beberapa kali untuk memberi kenyataan," katanya.
Hakim itu berkata resit yang dikeluarkan sebelum resit UMNO (nombor resit 376240) bertarikh 12 Nov 2018 dan yang selepasnya, (nombor resit 376242) bertarikh 16 Nov 2018. Namun, resit UMNO adalah pada 14 Jun, 2016.
"Semua resit lain dalam buku resit itu mengikut urutan, kecuali resit UMNO. Resit pertama dalam buku itu bertarikh 24 Ogos 2017 dan yang terakhir bertarikh 6 Mei 2019. Resit UMNO adalah satu-satunya yang tidak mengikut urutan," katanya.
Semasa menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai resit UMNO, Mohamed Zaini berkata tidak masuk akal bagi UMNO untuk mengeluarkan resit tersebut apabila cek tersebut tidak dimasukkan ke dalam akaunnya.
"Sekiranya wang itu benar-benar untuk UMNO, parti itu akan memberikan Tan Sri Chai atau Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), atau sebarang bentuk perakuan atas sumbangan yang didakwa diberikan itu, seperti surat misalnya dan bukan resit. Mana-mana juruaudit yang mengaudit akaun UMNO akan mempersoalkan resit UMNO, kerana tidak ada pembayaran sebanyak RM2 juta yang dibuat ke dalam akaun UMNO," katanya.
Hakim itu berkata kenyataan tertuduh bahawa pembayaran itu adalah untuk manfaat UMNO hanya dapat diterima sekiranya ada pembayaran yang sepadan dengan UMNO daripada Tadmansori.
“Tidak ada. Jejak pergerakan wang terhenti dengan Tadmansori. Malah, bukti menunjukkan bahawa Tadmansori tidak pernah ada urusan dengan UMNO. Ini disahkan oleh pekerja Tadmansori sendiri," tambahnya.
Hakim berkata Tengku Adnan mendakwa tuduhan terhadapnya tidak relevan dan merupakan tipu daya oleh parti politik saingan UMNO dan Barisan Nasional untuk menyokong mereka dengan menyasarkannya.
"Aduan tertuduh bukanlah sesuatu yang baru. Beliau bukan ahli politik pertama yang didakwa atas kesalahan jenayah yang mendakwa konspirasi politik.
“Saya melihat pada tahun 70-an. Allahyarham Datuk Harun Idris, seorang ahli politik terkenal, yang ketika itu Menteri Besar Selangor, dan semakin menyerlah dalam barisan UMNO, didakwa bersama dua yang lain atas pertuduhan menipu dan melakukan pecah amanah," katanya.
Sementara itu, ketika menjatuhkan hukuman itu ke atas Tengku Adnan, Mohamed Zaini berkata tertuduh bukanlah penjawat awam dan ahli politik pertama yang didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
"Saya tidak menafikan bahawa tertuduh telah berkhidmat untuk negara selama bertahun-tahun, dan itu adalah kriteria yang saya pertimbangkan. Pertimbangan yang paling utama dalam menentukan hukuman yang sesuai adalah kepentingan umum. Hukuman mesti mencerminkan tahap kesalahan yang dilakukan.
"Dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah antara lain mengikut duluan. Ini untuk memastikan keseragaman dalam menjatuhkan hukuman dan mengelakkan perbezaan yang hanya berfungsi untuk menghantar mesej yang salah kepada orang ramai," kata hakim.
Tengku Adnan Didapati Bersalah Atas Pertuduhan Menerima Rasuah RM2 Juta
https://bestfbkl.blogspot.com/2020/12/tengku-adnan-didapati-bersalah-atas.html
Ku Nan Gets 12 Months' Jail, Fine RM2 million
https://bestfbkl.blogspot.com/2020/12/ku-nan-gets-12-months-jail-fine-rm2.html