Translate

15 December 2020

Pengamal Perubatan Alternatif Mengaku Tidak Salah Cabul Dua Wanita

                       

Pengamal perubatan alternatif mengaku tidak salah cabul dua wanita

BERNAMA
15/12/2020 


MARANG, 15 Dis -- Seorang pengamal perubatan alternatif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan mencabul dua wanita pada November lepas dan September 2018.

Rulam Akbal Abdul Manan, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan wanita berusia 31 tahun pada 8.30 malam, 22 Nov lepas di sebuah rumah di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Di bawah pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan kesalahan itu ke atas wanita sama pada 2.30 petang, 24 Nov lepas di sebuah rumah di Tepoh di sini.

Menurut pertuduhan ketiga, Rulam Akbal dituduh melakukan kesalahan yang sama terhadap seorang wanita berusia 25 tahun pada 2 petang, 9 Sept 2018 di sebuah rumah di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Kesemua pertuduhan dibuat menurut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda, atau sebatan dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 22 Feb depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh dibenarkan ikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M. Lishantini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED