Translate

06 December 2020

Jenazah Anak, Ibu Mertua Syafiq Selamat Dikebumikan Di Pendang (1Video)

                       



Jenazah ibu mertua dan anak Syafiq Ahmad dikebumi di dalam satu liang

Jenazah anak, ibu mentua Syafiq selamat dikebumikan di Pendang

BERNAMA
06/12/2020



PENDANG, 6 Dis -- Suasana sayu menyelubungi pengebumian anak lelaki dan ibu mentua kepada pemain bola sepak kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad yang terlibat dalam kemalangan di Pulau Pinang, awal pagi tadi.

Jenazah Muhammad Aisy Saqeef Muhammad Syafiq, 22 hari, dan Zainab Wahab, 46, yang bertolak dari Hospital Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 3.30 petang tiba di Kampung Padang Pusing, dekat sini pada 5.55 petang.

Kedua-dua jenazah kemudiannya disembahyangkan oleh ahli keluarga dan penduduk kampung di rumah Allahyarhamah Zainab sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Murai dekat sini, untuk dikebumikan.

Muhammad Syafiq yang juga merupakan penyerang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berada di tanah perkuburan dilihat sugul sebelum ditenangkan ahli keluarga yang lain dan kedua-dua jenazah selamat dikebumikan dalam satu liang kira-kira 8.30 malam ini.

Dalam kemalangan tragis di Kilometer 163 Lebuhraya Utara-Selatan di Sungai Bakap pada 5.36 pagi tadi, bayi lelaki Muhammad Syafiq dan ibu mentua serta pembantu rumahnya wanita warga Indonesia Titik Sukamti, 30-an, maut di tempat kejadian.

Sementara itu, Muhammad Syafiq, 25, dan anak perempuannya Aaira Nur Saffiyya, 2, cedera ringan manakala isterinya Nur Amalina Nur Ain, 25, pula dilaporkan cedera parah namun stabil.

Sementara itu, Norain Shahadan, 50, yang merupakan bapa kepada Nur Amalina berkata arwah isterinya ada menghubunginya dua hari lalu dan meminta untuk mengemaskan rumah kerana ingin membawa balik cucu baharu mereka ke kampung.

"Saya menerima berita itu dari besan, Ahmad Ibrahim, 56, yang menghubungi saya sekitar 6 pagi tadi. Saya seperti tidak percaya apabila dimaklumkan isteri dan cucu sulung lelaki maut dalam kemalangan tetapi saya reda dengan ketentuan Allah.

"Saya hanya sempat berbual sekejap sahaja dengan isteri dan ketika itu dia maklumkan hendak pulang ke rumah apabila boleh merentas negeri selepas berada di rumah anak dan menantu mereka di Johor sejak perayaan Deepavali lalu," katanya.

Upacara pengebumian itu turut dihadiri Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman, beberapa pemain Kedah dan juga rombongan daripada Johor termasuk para pemain JDT.

FOR MORE NEWS GO TO:
Penyerang JDT Syafiq Ahmad Cedera, Bayi 22 Hari Dan Ibu Mertua Maut (1 Video)
https://bestfbkl.blogspot.com/2020/12/penyerang-jdt-cedara-bayi-22-hari-dan.html

Ayah Syafiq Sedih Tidak Sempat Melihat Cucu Lelaki Berusia 22 Hari (4 Videos)
https://bestfbkl.blogspot.com/2020/12/ayah-syafiq-sedih-tidak-sempat-melihat.html

Isteri Pemain JDT Kucup Bayi Buat Kali Terakhir Di HSJ
https://bestfbkl.blogspot.com/2020/12/isteri-pemain-jdt-kucup-bayi-buat-kali.html

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED