Translate

13 July 2020

Pesara TNB didakwa tipu syarikat RM65,000 (Video)




13/07/2020 01:55 PM

BUTTERWORTH, 13 Julai -- Seorang pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga pertuduhan menipu sebuah syarikat, empat tahun lepas.

Tertuduh, Ammeran Abu, 64, yang berasal dari Kuala Kedah, Kedah membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama, Ammeran didakwa memperdaya wakil syarikat Osmo Packaging, Ang Peng Tiong untuk menyerahkan RM10,000 bagi tujuan mengurangkan tuntutan kerugian hasil dan perbelanjaan serta caj berkaitan termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akibat mengganggu, mengubah pinda atau merosakkan pemasangan meter TNB yang dikenakan terhadap syarikat berkenaan supaya tidak melebihi RM100,000.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa mendorong wakil syarikat itu untuk menyerahkan wang masing-masing RM20,000 dan RM35,000 bagi tujuan sama.

Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di tapak parkir Wisma TNB Bandar Perda, Bukit Mertajam pada 11 pagi, antara 24 Mei hingga 8 Jun 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, serta dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ammeran turut mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan alternatif iaitu memperdaya wakil syarikat itu menyerahkan wang masing-masing RM10,000, RM20,000 dan RM35,000 bagi tujuan yang sama, di tempat dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan alternatif itu, Ammeran didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Azlan Basri menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM sekali sebulan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Hari Prassaad Rao memohon jaminan dikurangkan, atas alasan anak guamnya hanya menerima wang pencen RM300 sebulan manakala isterinya tidak bekerja, selain menanggung lima orang anak dengan dua orang masih bersekolah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, dengan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 26 Ogos sebagai sebutan semula.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED