Zainuddin Yaacob dilantik sebagai pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman yang baru berkuat kuasa 10 Ogos menggantikan Mohd Zakaria Ahmad yang bersara wajib pada 28 Jun. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Kedah, Zainuddin Yaacob dilantik sebagai pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman yang baru berkuat kuasa 10 Ogos.
Ketua komunikasi korporat polis Asmawati Ahmad dalam satu kenyataan arahan pertukaran pegawai kanan pasukan itu hari ini berkata, Zainuddin menggantikan Mohd Zakaria Ahmad yang bersara wajib pada 28 Jun.
Jawatan pengarah JSJK Bukit Aman kini dipangku timbalan JSJK Bukit Aman, Saiful Azly Kamaruddin.
Turut terlibat dalam arahan pertukaran terbaru itu ialah pegawai turus perundangan/naziran, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang Tium Ming Kung yang dilantik sebagai ketua JSJN Terengganu dengan memangku pangkat Supt.
Selain itu, pegawai turus pengangkutan, Bahagian Pengangkutan, Jabatan Logistik dan Teknologi Johor Lye Boon Choy pula akan dilantik sebagai ketua Jabatan Logistik dan Teknologi Johor dengan memangku pangkat Supt.