KUALA LUMPUR, 9 Julai -- Kerajaan hari ini bersetuju membenarkan permohonan aktiviti pawagam pandu masuk tertakluk pada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata SOP yang perlu dipatuhi, antaranya adalah pengunjung mesti berada di dalam kenderaan masing-masing, penjualan makanan dibuat secara dalam talian dan mengambil makanan secara pandu lalu.
“Petugas RELA juga perlu ditempatkan untuk mengawal pergerakan pengunjung. Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperincikan SOP berkaitan aktiviti ini bagi rujukan semua operator yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menyentuh mengenai kepatuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dan mengeluarkan kompaun terhadap 11 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti yang melanggar SOP.
Katanya sebanyak 2,876 pasukan pematuhan melibatkan 13,545 anggota telah membuat pemantauan di 3,804 pasar raya, 5,913 restoran serta 1,316 penjaja, 1,247 kilang, 3,767 bank dan 860 pejabat kerajaan.
-- BERNAMA