Kenyataan Akhbar KKM 16 Julai 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia
STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 12 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,538 kes (97.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA
Sehingga 16 Julai 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat tiga (3) kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,737 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 77 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
Ingin dimaklumkan daripada tiga (3) kes baharu yang dilaporkan, satu (1) kes adalah kes import iaitu seorang warganegara Malaysia yang telah mendapat jangkitan di luar negara. Kedua-dua kes penularan di dalam negara pula adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia dan tiada kes di kalangan warganegara Malaysia dilaporkan pada hari ini.
Perincian kes jangkitan dalam negara (2 kes) di kalangan bukan warganegara adalah seperti berikut:
- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: satu (1) kes saringan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Jalan Duta sebelum proses pemindahan ke DTI lain. Ujian saringan ke atas 26 Orang Kena Tahan (OKT) yang lain juga telah dijalankan di mana keputusannya adalah 25 negatif, manakala seorang lagi masih menunggu keputusan;
- Sarawak: satu (1) kes saringan di tempat kerja yang dijalankan oleh majikan.
Sehingga kini, terdapat tiga (3) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Satu (1) kes memerlukan bantuan pernafasan.
Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 122 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
PERBANDINGAN BILANGAN INDIVIDU YANG DISAMPEL BAGI UJIAN COVID-19 DI MALAYSIA DENGAN NEGARA LAIN
Sehingga 16 Julai 2020 jam 12 tengah hari, seramai 868,394 individu telah disampel untuk COVID-19 di Malaysia, iaitu bersamaan dengan 27.14 individu bagi setiap 1,000 populasi. Jika dilihat pula jumlah ujian yang telah dijalankan sehingga 16 Julai 2020, data awal di Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Ibu Pejabat menunjukkan bahawa Malaysia telah menjalankan 1,577,417 ujian (rt-PCR dan RTK-Antigen). Ini kerana terdapat individu yang memerlukan ujian ulangan.
Bilangan ujian yang dijalankan oleh beberapa negara jiran bagi setiap 1,000 populasi mereka adalah seperti berikut:
- Vietnam adalah sebanyak 2.7 ujian bagi setiap 1,000 populasi;
- Jepun adalah sebanyak 4.1 ujian bagi setiap 1,000 populasi;
- Korea Selatan adalah sebanyak 26.29 ujian bagi setiap 1,000 populasi;
- Singapura adalah sebanyak 79.83 ujian bagi setiap 1,000 populasi;
- Australia adalah sebanyak 114.15 ujian bagi setiap 1,000 populasi; dan
- New Zealand adalah sebanyak 87.54 ujian bagi setiap 1,000 populasi;
Bilangan ujian di Negara kita adalah setanding dengan negara Korea Selatan. Walaupun kapasti makmal untuk persampelan di Malaysia sudah bertambah sehingga 37,000 sampel sehari, namun kadar positif adalah hanya 1.01 peratus. Ini bermakna hampir 99 peratus keputusan ujian COVID-19 yang telah dijalankan adalah negatif.
Mutakhir ini, kes harian COVID-19 di Malaysia adalah rendah. Namun demikian, bagi memastikan kes-kes COVID-19 di dalam komuniti terus dipantau, KKM telah mempergiatkan aktiviti survelan. Sehingga 16 Julai 2020, secara kumulatif KKM telah melaporkan sebanyak 129 kes COVID-19 yang dikesan melalui aktiviti survelan klinikal iaitu:
- Persampelan Influenza Like Illness (ILI): 15 kes positif COVID-19 daripada 3,174 sampel (iaitu kadar positif adalah 0.47 peratus);
- Persampelan Severe Acute Respiratory Infection (SARI): 85 kes positif COVID-19 daripada 21,544 sampel (iaitu kadar positif adalah 0.39 peratus);
- Persampelan pra pembedahan: 29 kes positif COVID-19 daripada 66,081 sampel (iaitu kadar positif adalah 0.04 peratus).
KELEBIHAN DAN KEKURANGAN UJIAN COVID-19 RAPID TEST KIT ANTIGEN
Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag) mempunyai kelebihan mengesan jangkitan COVID-19 dalam jumlah yang besar dan dalam waktu yang singkat. Kelebihan ini telah dikenalpasti dapat dimanfaatkan dengan menggunakan ujian COVID-19 RTK-Ag untuk:
- Saringan pengembara yang pulang di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) terutama di PMA yang selalunya menerima jumlah pengembara yang tinggi misalnya Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA);
- Saringan pra pembedahan / pra prosedur bagi kes kecemasan dan separa kecemasan;
- Saringan bagi kes-kes Brought In Dead (BID) yang disyaki mempunyai jangkitan COVID-19;
- Saringan kes Acute Respiratory Infection (ARI) di klinik-klinik kesihatan KKM; dan
- Peluasan saringan bagi kumpulan sasar termasuk kawasan-kawasan di bawah perintah kawalan pergerakan.
Ujian COVID-19 RTK-Ag mula digunakan oleh KKM sejak 6 Mei 2020. Kit ujian RTK-Ag yang sedang digunakan ini telah melepasi penilaian teknikal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). Malah, penilaian semula teknikal yang dijalankan terhadap bekalan agihan yang terbaru menunjukkan peningkatan tahap sensitivity daripada 84.4% kepada 90% manakala tahap specificity kekal 100%.
Sehingga 15 Julai 2020, 88,048 ujian RTK-Ag telah dijalankan dan sebanyak 197 ujian telah dikesan positif COVID-19 (iaitu kadar positif 0.2 peratus). Daripada jumlah ini, 25,038 adalah saringan di semua Pintu Masuk Antarabangsa (termasuk Kuala Lumpur International Airport (KLIA), KLIA2, Johor, Kedah dan Pulau Pinang) dengan purata 357 orang disaring setiap hari dan kebanyakkannya adalah di KLIA dan KLIA2.
Manakala bagi ujian RT-PCR pula, sejumlah 829,238 telah dijalankan setakat ini.
Terdapat insiden di mana pesakit dikatakan false negative, ini adalah kerana ujian RTK-Ag mempunyai sensitivity sebanyak 90%. Ini bermakna daripada 100 orang yang disaring, mungkin terdapat keputusan false negative bagi 10 orang. Ianya merupakan satu kekangan ujian ini.
Berdasarkan siasatan yang telah dijalankan, kemungkinan besar individu yang mendapat keputusan false negative berada dalam tempoh inkubasi di mana kandungan bilangan virus (viral load) adalah rendah untuk dikesan dengan ujian RTK-Ag. Justeru, setiap individu yang disaring masih perlu menjalani tempoh 14 hari kuarantin seperti yang ditetapkan di dalam polisi pengurusan COVID-19. Sekiranya didapati bergejala, perlu dimaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terdekat untuk tindakan selanjutnya.
NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19
Pihak KKM menyeru agar orang ramai terus kekal waspada dan amalkan nasihat-nasihat kesihatan yang disarankan oleh KKM iaitu:
- Elakkan 3S / 3C: iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
- Amalkan 3W: iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), sangat digalakkan memakai alat pelitup separuh muka (penutup hidung dan mulut – facemask) di tempat awam atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
- Elakkan bersalaman / bersentuhan;
- Amalkan etika batuk dan bersin;
- Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
- Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
- Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.
Selain itu, ingatlah kepada S.O.P, iaitu:
- S: Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
- O: Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
- P: Penjarakan sosial (social distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
16 Julai 2020 @ 5.00 petang.
BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA
(SEHINGGA 16 JULAI 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)
NEGERI | BILANGAN KES BAHARU *( ) | BILANGAN KES KUMULATIF |
PERLIS | 0 | 18 |
KEDAH | 0 | 99 |
PULAU PINANG | 0 | 121 |
PERAK | 0 | 258 |
SELANGOR | 0 | 2,094 |
NEGERI SEMBILAN | 0 | 1,027 |
MELAKA | 0 | 258 |
JOHOR | 0 | 701 |
PAHANG | 0 | 365 |
TERENGGANU | 1 (1) | 112 |
KELANTAN | 0 | 157 |
SABAH | 0 | 380 |
SARAWAK | 1 | 584 |
W.P. KUALA LUMPUR | 1 | 2,448 |
W.P. PUTRAJAYA | 0 | 98 |
W.P. LABUAN | 0 | 17 |
JUMLAH KESELURUHAN | 3 (1) | 8,737 |
*( ) adalah merujuk kepada kes-kes import