Translate

15 July 2020

#Covid-19 #Malaysia l New Cases-5 {Local-4 Imported-1 } | Active-86 | Total-8734 | Discharged-8526 | Deaths-122





Image





Kenyataan Akhbar KPK 15 Julai 2020 -Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat dua (2) kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,526 kes (97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Mapping baru BM - 15 July-01

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 15 Julai 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat lima (5) kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,734 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 86 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada lima (5) kes baharu yang dilaporkan, satu (1) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan bukan warganegara Malaysia yang dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja.

Daripada empat (4) kes penularan di dalam negara, satu (1) kes adalah bukan warganegara iaitu kes saringan bergejala di Kuching, Sarawak. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan. Tiga (3) kes lagi adalah di kalangan warganegara Malaysia, iaitu seperti berikut:

  • Selangor: satu (1) kes saringan pra pembedahan di Hospital Sungai Buloh;
  • Sarawak – dua (2) kes:
    • Satu (1) kes saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-8732);
    • Satu (1) kes saringan petugas kesihatan di sebuah pusat perubatan.

Sehingga kini, terdapat lima (5) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)Satu (1) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 122 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

GRAF-NEW-White-Update-case-number-covid-19-01 (7)

KEJADIAN BANJIR KILAT DAN LANGKAH PENCEGAHAN PENULARAN JANGKITAN COVID-19 DI PUSAT PENEMPATAN SEMENTARA (PPS).

Jabatan Meteorologi Malaysia telah menyatakan bahawa negara sedang mengalami cuaca lembap dari semasa ke semasa dan dijangka berterusan sehingga hujung Julai ini. Banjir kilat telah berlaku di beberapa kawasan di negeri Johor, Pahang, Selangor dan Melaka. Sehubungan itu, Pusat Penempatan Sementara (PPS) telah dibuka untuk menempatkan mangsa-mangsa banjir di kawasan yang terjejas. Setakat ini, 18 PPS telah dibuka di tujuh (7) daerah dan telah menempatkan seramai 1,267 mangsa daripada 303 buah keluarga.

Keadaan penghuni yang ramai di PPS boleh membawa risiko penularan jangkitan COVID-19 di kalangan mangsa dan petugas. Justeru, langkah-langkah pencegahan COVID-19 di PPS perlu diamalkan dan diberi perhatian oleh semua penghuni dan agensi yang bertanggungjawab dalam pengurusan dan kebajikan mangsa di PPS. Amalan seperti penjarakan sosial yang selamat, mencuci tangan dengan air dan sabun, etika batuk dan bersin perlu diamalkan sepanjang masa. Penghuni dan petugas juga dinasihatkan supaya mengamalkan 3W dan mengelakkan 3S iaitu kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat sepanjang masa di PPS.

KKM telah membangunkan panduan pencegahan dan pengurusan COVID-19 di PPS bermula daripada proses pemindahan mangsa ke pusat-pusat ini sehingga ke proses selepas tamat penempatan. Panduan ini boleh diguna pakai oleh semua pihak yang bertanggungjawab dalam pengurusan PPS semasa kejadian bencana. Antara cadangan yang disarankan adalah seperti berikut:

  • Semua PPS perlu meletakkan tanda menjaga jarak fizikal yang selamat di tempat-tempat yang melibatkan kawasan guna sama;
  • Semua PPS perlu menyediakan sabun dan air atau hand sanitizer. Pastikan stesen cuci tangan atau hand sanitizer disediakan di lokasi yang strategik seperti pintu masuk / keluar PPS dan di dalam PPS;
  • Penghadang / kubikel / khemah perlu dijarakkan sekurang-kurangnya 2 meter sekiranya ada;
  • Semua PPS perlu menyediakan 3 ply mask untuk kegunaan mangsa yang bergejala;
  • Semua PPS perlu memastikan poster etika batuk dan bersin, serta hand hygiene yang bersesuaian ditampal di lokasi yang strategik untuk makluman / peringatan mangsa yang ditempatkan serta anggota yang bertugas;
  • Makanan disediakan dengan pembungkusan individu / bekas makanan;
  • Semua PPS perlu memastikan keperluan mangsa terhadap bekalan air bersih dan selamat, serta sanitasi yang baik disediakan;
  • Tandas mobil sebagai tambahan kepada tandas sedia ada di PPS;
  • Sanitasi kawasan guna sama harus dilakukan kerap;
  • Ruang khas / isolasi perlu disediakan untuk mengasingkan mereka yang bergejala;
  • Mangsa banjir yang mendaftar masuk ke PPS yang mempunyai gejala dan sejarah kontak rapat / pulang dari luar negara akan ditempatkan di ruangan isolasi di PPS.

PEMATUHAN SOP DI SEKOLAH BOLEH MENCEGAH PENULARAN JANGKITAN COVID-19 DI DALAM SEKOLAH

Seperti makluman umum, pelajar sekolah menengah, tahun 5 dan 6 sudah memulakan sesi persekolahan mereka pada hari ini. Syabas diucapkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak pengurusan sekolah yang telah bertanggungjawab mengambil langkah tertentu bagi memastikan murid-murid dan kakitangan sekolah patuh kepada Prosedur Standard Operasi (SOP) yang telah ditetapkan. Ini terutama bagi mengelakkan berlakunya penularan jangkitan COVID-19 di dalam sekolah.

Pengurusan sekolah harus memastikan terdapat penjarakan sosial yang selamat (social distancing) iaitu sekurang-kurangnya 1 meter antara pelajar dengan pelajar dan antara guru dengan pelajar di dalam kelas mahupun di luar kelas. Bilangan pelajar dalam kelas juga perlu diperhatikan supaya penjarakan sosial dapat diamalkan setiap masa.

Pihak pengurusan sekolah juga dinasihati supaya menjalankan pemeriksaan suhu dan gejala bagi semua pelajar sebelum mereka masuk ke kawasan sekolah atau ke kelas. Jika dikesan terdapat murid yang tidak sihat, mereka perlu dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan. Pihak sekolah juga dikehendaki menyediakan kemudahan sinki dengan air dan sabun atau hand sanitizer, dan kerap menggunakannya dengan kaedah yang betul. Amalan etika batuk dan bersin juga perlu dipraktikkan di sekolah. Pelajar serta guru sekolah sangat digalakkan memakai pelitup hidung dan mulut semasa sesi persekolahan.

Penularan jangkitan COVID-19 dalam sekolah harus dicegah sama sekali kerana ianya boleh mengakibatkan penularan yang meluas di kalangan rakan sebaya, guru dan seterusnya  jangkitan kepada keluarga di rumah, dan kemudiannya ke komuniti. Oleh itu, kepatuhan kepada segala nasihat dan saranan daripada KKM adalah penting bagi tujuan melindungi orang ramai daripada dijangkiti COVID-19.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Pihak KKM menyeru agar orang ramai terus kekal waspada dan amalkan nasihat-nasihat kesihatan yang disarankan oleh KKM iaitu:

  • Elakkan 3S / 3C:iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).

  • Amalkan 3W:iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), sangat digalakkan memakai alat pelitup separuh muka (penutup hidung dan mulut – facemask) di tempat awam atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
    • Elakkan bersalaman / bersentuhan;
    • Amalkan etika batuk dan bersin;
    • Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
    • Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
    • Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Selain itu, ingatlah kepada S.O.P, iaitu:

  • S:Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
  • O:Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
  • P:Penjarakan sosial (social distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

15 Julai 2020 @ 5.00 petang.

 

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 15 JULAI 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERIBILANGAN KES BAHARU *(    )BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS018
KEDAH099
PULAU PINANG0121
PERAK0258
SELANGOR12,094
NEGERI SEMBILAN01,027
MELAKA0258
JOHOR0701
PAHANG0365
TERENGGANU0111
KELANTAN0157
SABAH0380
SARAWAK3583
W.P. KUALA LUMPUR1 (1)2,447
W.P. PUTRAJAYA098
W.P. LABUAN017
JUMLAH KESELURUHAN5 (1)8,734

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import


Image

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED