Kenyataan Akhbar KPK 20 Julai 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia
STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat dua (2) kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,555 kes (97.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA
Sehingga 20 Julai 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 21 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,800 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 122 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
Ingin dimaklumkan daripada 21 kes baharu yang dilaporkan, enam (6) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan empat (4) warganegara Malaysia dan dua (2) bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja. Enam (6) kes import tersebut adalah dari negara:
- Filipina (3 kes);
- India (1 kes);
- Rusia (1 kes); dan
- Denmark (1 kes)
Daripada 15 kes penularan di dalam negara, 13 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia dan dua (2) kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia.
Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara di kalangan warganegara Malaysia (13 kes) adalah :
- Johor: 12 kes daripada Kluster Rumah Warga Emas Kluang.
- Negeri Sembilan: satu (1) kes saringan pra pembedahan di sebuah pusat perubatan. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.
Bagi kes jangkitan dalam negara (2 kes) di kalangan bukan warganegara pula adalah seperti berikut:
- Johor – dua (2) kes:
- Satu (1) kes saringan pra pembedahan;
- Satu (1) kes daripada Kluster Rumah Warga Emas Kluang. Kluster ini akan diperincikan di bawah.
Sehingga kini, hanya tiga (3) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Satu (1) kes memerlukan bantuan pernafasan.
Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 123 kes (1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

KLUSTER RUMAH WARGA EMAS KLUANG
KKM ingin memaklumkan sebuah kluster baharu yang telah dikesan di sebuah pusat jagaan warga emas di Kluang, Johor. Kes pertama kluster ini merupakan kes kematian COVID-19 yang telah dilaporkan pada 19 Julai 2020 (iaitu kes ke-8770), di mana ujian saringan COVID-19 didapati positif. Susulan itu, siasatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (active case detection) telah dijalankan.
Sehingga 20 Julai 2020 jam 12 tengah hari, 39 orang telah disaring, iaitu terdiri daripada:
- 14 kes positif COVID-19;
- 18 adalah negatif; dan
- Tujuh (7) masih menunggu keputusan.
Daripada jumlah kes positif ini, 13 kes adalah warganegara Malaysia dan satu (1) warga Indonesia. Kes positif kluster ini melibatkan 11 warga emas (iaitu penghuni rumah jagaan tersebut), satu (1) pekerja dan satu (1) ahli keluarga.
Langkah pembendungan dan kawalan jangkitan telah dijalankan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar di pusat penjagaan tersebut. Punca jangkitan kluster masih di dalam siasatan.
NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19
KKM yang ingin menasihatkan orang ramai agar tidak leka dan terus kekal waspada. Pastikan saranan dan nasihat-nasihat kesihatan diamalkan pada setiap masa. Antara nasihat yang sewajarnya dijadikan satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian adalah:
- Elakkan 3S / 3C:iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).

- Amalkan 3W:iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), sangat digalakkan memakai alat pelitup separuh muka (penutup hidung dan mulut – facemask) di tempat awam atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
- Elakkan bersalaman / bersentuhan;
- Amalkan etika batuk dan bersin;
- Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
- Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
- Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.
Selain itu, ingatlah kepada S.O.P, iaitu:
- S:Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
- O:Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
- P:Penjarakan sosial (social distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
20 Julai 2020 @ 5.00 petang.
BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA
(SEHINGGA 20 JULAI 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)
| NEGERI | BILANGAN KES BAHARU *( ) | BILANGAN KES KUMULATIF |
| PERLIS | 0 | 18 |
| KEDAH | 1 (1) | 100 |
| PULAU PINANG | 0 | 121 |
| PERAK | 0 | 260 |
| SELANGOR | 4 (4) | 2,107 |
| NEGERI SEMBILAN | 1 | 1,028 |
| MELAKA | 0 | 258 |
| JOHOR | 14 | 716 |
| PAHANG | 0 | 365 |
| TERENGGANU | 0 | 114 |
| KELANTAN | 0 | 158 |
| SABAH | 0 | 382 |
| SARAWAK | 1 (1) | 608 |
| W.P. KUALA LUMPUR | 0 | 2,450 |
| W.P. PUTRAJAYA | 0 | 98 |
| W.P. LABUAN | 0 | 17 |
| JUMLAH KESELURUHAN | 21 (6) | 8,800 |
*( ) adalah merujuk kepada kes-kes import
