Translate

21 July 2020

#Covid-19 #Malaysia l New Cases-15 {Local-11 Imported-4 } | Active-130 | Total-8815 | Discharged-8562 | Deaths-123



Image

Image

Kenyataan Akhbar KPK 21 Julai 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat tujuh (7) kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,562 kes (97.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

WhatsApp Image 2020-07-21 at 4.09.44 PM

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 21 Julai 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 15 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,815 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 130 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada 15 kes baharu yang dilaporkan, empat (4) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga (3) warganegara Malaysia dan satu (1) bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja. Empat (4) kes import tersebut adalah dari negara:

  • Belanda (1 kes);
  • Arab Saudi (1 kes);
  • United Kingdom (1 kes); dan
  • Indonesia (1 kes).

Daripada 11 kes penularan di dalam negara, 10 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia dan satu (1) kes adalah bukan warganegara iaitu kes saringan kemasukan baharu ke Depot Tahanan Imigresen (DTI) Semuja, Sarawak.

Perincian baki kes penularan COVID-19 dalam negara di kalangan warganegara Malaysia (10 kes) adalah :

  • Sarawak –  lapan (8) kes:
  • Lima (5) kes daripada Kluster Sentosa. Kluster ini akan diperincikan di bawah;
  • Satu (1) kes daripada Kluster Pusat Perubatan Kuching;
  • Satu (1) kes daripada Kluster Stutong;
  • Satu (1) kes saringan kendiri (beliau merupakan penjaga kepada pesakit yang dirawat di sebuah pusat perubatan). Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak;
  • Selangor: satu (1) kes saringan Severe Acute Respiratory Infection (SARI), dimasukkan ke Hospital Ampang dan kemudian dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh;
  • Sabah: satu (1) kes saringan Influenza Like Illness (ILI), dimasukkan ke Hospital Tawau.

Sehingga kini, hanya empat (4) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Satu (1) kes  memerlukan bantuan pernafasan.

Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 123 kes (1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

GRAF-NEW-White-Update-case-number-covid-19-01 (13)

KLUSTER SENTOSA

KKM ingin memaklumkan sebuah kluster baharu yang melibatkan sebuah hospital di Kuching, Sarawak. Kes pertama kluster ini (iaitu kes ke-8773) merupakan seorang petugas kesihatan yang telah mengalami gejala saluran pernafasan pada 13 Julai 2020 dan dikesan positif COVID-19 pada 19 Julai 2020. Susulan itu, siasatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (active case detection) telah dijalankan.

115990103_10157238677306237_5070584741228102195_o

Sehingga 21 Julai 2020 jam 12 tengah hari, 61 orang telah disaring, iaitu terdiri daripada:

  • Lima (5) kes positif COVID-19; dan
  • 56 adalah negatif.

Ini menjadikan kluster ini mempunyai enam (6) kes, iaitu lima (5) petugas kesihatan dan satu (1) pekerja syarikat pembersihan. Kesemua kes ini sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak.

Perkhidmatan hospital tersebut masih diteruskan. Namun demikian, hospital tersebut tidak menerima pesakit dalam manakala pesakit luar pula akan dirujuk ke hospital berdekatan yang ditetapkan untuk rawatan buat sementara waktu. Langkah pembendungan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar sedang dijalankan. Punca jangkitan kluster masih di dalam siasatan.

PERKEMBANGAN SEMASA COVID-19 MEMBIMBANGKAN

Situasi COVID-19 kebelakangan ini didapati membimbangkan kerana jumlah kes harian yang dilaporkan didapati terus meningkat, terutamanya kes penularan di dalam negara. Sebelum ini, jumlah kes aktif telah menurun kepada 63 kes, iaitu pada 9 Julai 2020. Namun ia mula meningkat dan jumlah kes aktif kembali melebihi 100 kes pada 19 Julai 2020 dan kini ianya mencecah 130 kes.

Sehingga 21 Julai 2020, jumlah kluster yang aktif adalah 19 kluster, di mana terdapat 13 kluster baharu yang diumumkan dalam tempoh 10 hari kebelakangan ini. Tiga (3) daripada 13 kluster ini adalah berkaitan dengan penularan tempatan kes COVID-19 daripada kes import iaitu Kluster PUI Novgorod, PUI Shirala dan PUI Pitakwa. Kluster Jupiter tidak mengakibatkan penularan tempatan memandangkan ianya melibatkan kluster terpencil (isolated) di dalam sebuah kapal yang sedang berlabuh.

Oleh itu, KKM menyambut baik keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP yang telah diumumkan oleh YB Menteri Kanan (Keselamatan) sebentar tadi, iaitu mewajibkan prosedur Kuarantin Wajib 14 hari kepada mana-mana warga asing atau rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara di Stesen Kuarantin yang ditetapkan oleh Kerajaan, berkuatkuasa 24 Julai 2020. Ini diharap dapat mengelakkan daripada berlaku lagi kluster seperti ini.

Namun begitu, harus diingat bahawa terdapat juga 9 kluster lain yang merupakan penularan berkaitan kes tempatan di dalam negara, dan tidak berkaitan dengan kes import. Ini menunjukkan masyarakat sememangnya telah mulai alpa dan leka, lalu mula tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

LINDUNGI WARGA EMAS DARIPADA JANGKITAN COVID-19

Sehingga 21 Julai 2020 jam 12 tengah hari, 69.1 peratus daripada jumlah kematian COVID-19 di Malaysia adalah dalam kalangan golongan warga emas. Tambahan pula, baru-baru ini telah dilaporkan satu lagi kes kematian COVID-19 melibatkan warga emas iaitu dalam Kluster Rumah Warga Emas Kluang. Setakat ini, kluster tersebut telah melaporkan sejumlah 11 orang warga emas yang dikesan positif COVID-19.

KKM amat bimbang bahawa orang ramai mulai tidak memberi perhatian kepada kepentingan melindungi warga emas daripada jangkitan COVID-19. Orang ramai sewajarnya mengamalkan langkah pencegahan jangkitan terutamanya memakai alat pelitup separuh muka, amalan kebersihan tangan yang tinggi dan penjarakan sosial yang selamat apabila berada di kalangan golongan ini.

Bagi ahli keluarga atau penjaga yang duduk serumah bersama warga emas, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan golongan warga emas sentiasa terjaga dan dilindungi daripada jangkitan COVID-19. Begitu juga setiap individu perlu memainkan peranan dan mengambil tanggungjawab terhadap keluarga, komuniti dan negara demi menjaga keselamatan dan kesihatan golongan warga emas.

PEMAKAIAN ALAT PELITUP SEPARUH MUKA (FACEMASK)

Pemakaian alat pelitup separuh muka (facemask) merupakan satu kaedah pencegahan yang penting bagi mengelakkan penyebaran penyakit saluran pernafasan yang tersebar melalui virus, termasuk COVID-19. Facemask boleh digunakan sama ada untuk melindungi orang yang sihat daripada dijangkiti, atau untuk mencegah orang yang dijangkiti daripada menjangkiti orang lain.

Penggunaan facemask boleh dibahagikan kepada penggunaan bagi tujuan perubatan dan penggunaan bukan perubatan (non-medical):

  1. Penggunaan facemask bagi tujuan perubatan:
    • Petugas kesihatan perlu menggunakan perlindungan seperti disarankan dalam Guidelines on COVID-19 Management in Malaysia
    • Orang awam yang mempunyai gejala saluran pernafasan – perlu menggunakan surgical 3 ply mask
    • Orang awam golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas (iaitu mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas) dan mereka yang mempunyai latar belakang penyakit-penyakit kronik, terutama di kawasan di mana jangkitan COVID-19 berlaku serta penjarakan sosial sukar diamalkan. Jenis pemakaian facemask yang digalakkan adalah surgical 3 ply.
  1. Penggunaan pelitup separuh muka bagi tujuan bukan perubatan adalah disyorkan untuk mereka yang tidak mengalami gejala namun berada di tempat-tempat di mana COVID-19 tersebar luas dan penjarakan sosial sukar diamalkan, misalnya:
    • Golongan pekerja misalnya, pekerja sosial, juruwang, pelayan serta yang lain-lain;
    • Orang awam sihat yang berada tempat awam seperti dalam pengangkutan awam, tempat kerja, kedai runcit dan persekitaran yang sesak.

Untuk pelitup separuh muka bukan perubatan (non-medical masks), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan jenis fabrik atau kain dengan 3 lapisan yang terdiri daripada:

  • Lapisan paling dalam yang bersifat menyerap air (hidrofilik), misalnya kapas atau campuran kapas;
  • Lapisan paling luar yang diperbuat daripada bahan bersifat menghindar penyerapan air (hidrofobik), misalnya polipropilena, poliester, atau campurannya. Lapisan ini boleh mengehadkan pencemaran dari luar daripada menembus masuk ke hidung dan mulut pemakai; dan
  • Lapisan tengah hidrofobik yang diperbuat daripada bahan bukan tenunan sintetik seperti polipropilena atau lapisan kapas yang boleh meningkatkan penapisan atau menahan titisan cecair.

KKM ingin mengingatkan bahawa pelitup separuh muka bukan perubatan bukanlah satu alat perubatan mahupun alat pelindung diri. Selain itu, pelitup separuh muka bukan perubatan tidak boleh dipakai oleh kanak-kanak yang berumur kurang daripada dua (2) tahun, bagi mereka yang sukar bernafas dan individu yang tidak sedarkan diri, tidak / kurang berupaya, atau tidak dapat menanggalkan pelitup separuh muka tanpa bantuan.

Selain itu, alat pelitup separuh muka perlu dipakai dengan betul dan menutupi ruang hidung sehingga dagu. Pemakaian tidak sempurna dengan membiarkan ianya tergantung di leher, di dahi, atau menutupi hanya sebahagian dari hidung dan mulut adalah tidak bertepatan dan membawa risiko pencemaran atau jangkitan kepada pemakai.

Nasihat KKM adalah, pakailah facemask dengan kaedah yang betul. Dalam pada itu, seperti yang dimaklumkan oleh YAB Perdana Menteri semalam, Kerajaan juga sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam. Perincian mengenainya akan diumumkan apabila peraturan yang berkaitan dimuktamadkan oleh Kerajaan.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM yang ingin menasihatkan orang ramai agar tidak leka dan terus kekal waspada. Pastikan saranan dan nasihat-nasihat kesihatan diamalkan pada setiap masa. Berikut adalah nasihat yang sewajarnya dijadikan satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian seperti:

  • Elakkan 3S / 3C:iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).

WhatsApp Image 2020-06-26 at 3.10.48 PM

  • Amalkan 3W:iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), sangat digalakkan memakai alat pelitup separuh muka (penutup hidung dan mulut – facemask) di tempat awam atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
    • Elakkan bersalaman / bersentuhan;
    • Amalkan etika batuk dan bersin;
    • Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
    • Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
    • Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Selain itu, ingatlah kepada S.O.P, iaitu:

  • S: Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
  • O: Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
  • P: Penjarakan sosial (social distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

21 Julai 2020 @ 5.00 petang.

 

 

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 21 JULAI 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERIBILANGAN KES BAHARU *(    )BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS018
KEDAH0100
PULAU PINANG0121
PERAK0260
SELANGOR2 (1)2,109
NEGERI SEMBILAN01,028
MELAKA0258
JOHOR0716
PAHANG0365
TERENGGANU0114
KELANTAN0158
SABAH1383
SARAWAK11 (2)619
W.P. KUALA LUMPUR1 (1)2,451
W.P. PUTRAJAYA098
W.P. LABUAN017
JUMLAH KESELURUHAN15 (4)8,815

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import



Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED