Translate

03 March 2020

Fadiah Nadwa Fikri disoal siasat di Bukit Aman mengenai protes anti-Muhyiddin



Selesai di Bukit Aman, esok di IPD Dang Wangi


HARIAN METRO
Amir Abd Hamid dan Faliqah Alia Radin Mohd
am@hmetro.com.my


“TIDAK letih ke berdemonstrasi? Tidak ada perkataan letih untuk orang yang percaya kepada kebenaran, kebebasan dan keadilan.

“Tidak timbul perkara letih. Kawan-kawan di sini bertahun-tahun lamanya mereka sudah berdemonstrasi untuk kebaikan rakyat Malaysia, untuk negara yang adil...tidak letih (sebaliknya) kita marah ya, kita akan teruskan untuk berjuang,” kata peguam yang juga aktivis Fadiah Nadwa Fikri, 35.


Fadiah, 35, berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai memberikan keterangan lebih sejam kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) di Bukit Aman hari ini.


Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan dia hadir di Bukit Aman 11 pagi tadi bagi memberi keterangan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan iaitu kecenderungan menghasut serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Penyokongnya termasuk aktivis Datin Paduka Marina Mahathir, Cynthia Gabriel dan Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Sevan Doraisamy turut berkumpul menunjukkan solidariti kepadanya di hadapan pintu pagar utama Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu.

Mengulas lanjut, kata Fadiah, esok jam 1 tengah hari dia dipanggil memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersama empat aktivis lain iaitu Nik Azura Nik Narson, Liew Liang Hong, A Sivarajan dan Wong Yan Ke berhubung protes di Dataran Merdeka, 27 Februari lalu.

Fadiah diiringi peguamnya Ragunath Kesavan berkata demikian selepas keluar dari pintu pagar utama Bukit Aman jam 12.18 tengah hari tadi.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya akan melakukan siasatan berhubung perhimpunan itu kerana tiada notis makluman.

“Kami tidak ada menerima sebarang notis makluman penganjuran perhimpunan itu. Namun, penugasan pemantauan tetap dilakukan bagi memastikan tidak berlaku sebarang kekecohan.

“Kami akan membuka siasatan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 kerana tiada notis makluman daripada penganjur,” katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 1:43 PM

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/03/550639/selesai-di-bukit-aman-esok-di-ipd-dang-wangi

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED