Translate

08 March 2020

Covid-19 Malaysia Update - 6 Kes Baru, Jumlah kes- 99 Telah Discaj- 24

Image


Kenyataan Akhbar KKM 8 Mac 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia




STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa kes ke-41 yang disahkan positif Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) sebelum ini telah pulih dan dibenarkan discaj daripada wad Hospital Kuala Lumpur. Ini menjadikan 24 kes telah pulih sepenuhnya setakat ini dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad.
STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA
Terkini, KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga 8 Mac 2020, jam 12 tengah hari, terdapat enam (6) kes baharu jangkitan COVID-19 telah dilaporkan. Kesemua kes ini telah dikesan dan diasingkan untuk rawatan selanjutnya. Kontak-kontak rapat bagi kes ini juga sedang dikenalpasti untuk siasatan dan pengambilan sampel selanjutnya. Kesemua kes baharu yang dilaporkan pada hari ini terdiri daripada kontak- kontak rapat kluster kes ke-26. Kesemua kes ini telah dikesan semasa aktiviti pengesanan kontak dan telah dimasukkan ke hospital bagi isolasi dan rawatan selanjutnya.  Aktiviti pengesanan kontak rapat masih sedang dijalankan sehingga punca di mana jangkitan ini terjadi dapat dikenalpasti.
Dengan pertambahan enam (6) kes baharu ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 99 kes. Daripada jumlah ini sebanyak 18 kes dikesan dikalangan Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan COVID-19, 79 kes dari kalangan kontak rapat dan dua (2) lagi kes dari Misi Bantuan Kemanusiaan. Daripada jumlah ini, sebanyak dua kes telah dilaporkan memerlukan bantuan pernafasan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi. Kes-kes ini juga telah diberikan rawatan anti-viral.
Untuk makluman semua, kes-kes bagi gelombang kedua yang dilaporkan ini (bermula kes ke-23 sehingga kes ke-99), hanya lima (5) kes sahaja yang dilaporkan dari kalangan PUI dan mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara. Manakala kes-kes lain pula melibatkan kluster yang terdiri daripada kontak-kontak rapat dan mempunyai kaitan antara satu sama lain.
KKM juga telah menjalankan survelan COVID-19 bagi mengesan kes sporadik dan kes tempatan di Malaysia melalui pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara-negara yang terjejas atau kontak dengan kes positif COVID-19. Sehingga 8 Mac 2020, sebanyak 567 sampel telah diuji dan setakat ini tiada sampel dikesan positif jangkitan COVID-19. Berdasarkan maklumat semasa, buat masa ini tiada kes sporadik COVID-19 yang dikesan melalui aktiviti survelan ini.
NASIHAT KESIHATAN
  1. Bagi individu yang telah diarahkan untuk menjalani “home surveillance” pastikan anda mematuhi tatacara Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah yang telah ditetapkan. Untuk makluman, Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah ini merupakan arahan yang termaktub dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
  1. KKM ingin menasihatkan orang ramai agar menangguhkan perjalanan ke luar negara,terutamanya ke wilayah-wilayah atau bandar-bandar yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak COVID-19 di Republik Rakyat China, Republik Korea, Jepun, Itali dan Iran (seperti yang dimaklumkan sebelum ini).
  1. Orang awam juga dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, atau menggunakan hand sanitizer. Segera dapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas.
  1. Orang awam yang bergejala dinasihatkan agar tidak mengunjungi tempat-tempat yang padat dengan orang ramai. Jarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter bila berhadapan dengan individu lain.
  1. Orang awam juga diingatkan untuk tidak menyebarkan berita atau maklumat yang tidak sahih berkaitan kejadian COVID-19 ini seperti tempat-tempat yang dicemari oleh COVID-19.
  1. KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan COVID-19 dari semasa ke semasa dan orang awam akan sentiasa dimaklumkan mengenainya. Maklumat terkini berkenaan perkembangan semasa kejadian COVID-19 boleh didapati daripada laman sesawang KKM; moh.gov.my
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
8 Mac 2020 @ 4:00 petang
Image
Image

Image


Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED