"Saya akan bersara jika Tun Mahathir tidak serah jawatan kepada Anwar" - Lim Kit Siang
Asyraf Roslan, Astro Awani | Mei 10, 2019 16:52 MYT
Kit Siang yakin Tun Mahathir akan melaksanakan janjinya untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Adun Port Dickson itu apabila tiba masanya. - Gambar fail/BERNAMA
SANDAKAN: Veteran DAP, Lim Kit Siang sanggup mempertaruhkan kerjaya politiknya sekiranya janji Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyerahkan jawatannya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak ditunaikan.
Beliau bagaimanapun yakin Tun Mahathir akan melaksanakan janjinya untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Adun Port Dickson itu apabila tiba masanya.
"Saya yakin bahawa Dr Mahathir akan memberi peluang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memegang jawatan tersebut.
"Saya akan melepaskan jawatan sekiranya jawatan perdana menteri tidak dilepaskan kepada Anwar dan jika ada Pilihan Raya Umum Ke-15 juga saya tidak akan bertanding," kata Kit Siang dalam ucapannya pada ceramah Pilihan Raya Kecil Sandakan DAP di Taman Mesra, Sandakan malam tadi.
Justeru beliau memberi masa dua hari kepada pemangku presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menyahut cabarannya itu agar melakukan perkara yang sama sepertinya sekiranya kalah dalam pertaruhan itu.
Pada ceramah pilihan raya kecil PBS Sandakan malam tadi, Mohamad Hasan berkata Tun Mahathir tidak akan menunaikan janjinya untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selain mendakwa beliau akan membubarkan Parlimen dan membuat pilihan raya baru.