KUALA LUMPUR: Semua sedia maklum bahawa hubungan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) adalah semakin keruh sejak bekas presiden UMNO itu secara berterusan ‘menyerang’ kepimpinan Najib.
Malah, pada Isnin lalu ahli politik veteran itu bersama Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat lantang mengkritik kepimpinan presiden UMNO itu secara terbuka membabitkan beberapa isu kontroversi pada satu program di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, di sini.
Dengan alasan berlaku kepincangan dalam kepimpinan, selain Najib dikaitkan dengan beberapa isu panas termasuk membabitkan syarikat pelaburan nasional 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tun M dilihat sedaya upaya mengumpul ‘bukti’ dan ‘pengikutnya' untuk menyingkirkan Najib dari memegang jawatan Perdana Menteri.
Namun, adakah kerana isu 1MDB menyebabkan Tun M terlalu marah kepada Najib?
Mengulas mengenai perkara itu, Najib dalam satu wawancara khas bertajuk “Bual Bicara Khas Dengan Presiden UMNO” bersempena dengan Pemilihan Agung UMNO (PAU) 2015 yang berlangsung pada 8 hingga 12 Disember ini menjawabkan persoalan tersebut.
“Tak tahulah… ini tanggapan saya. Boleh tanya kepada Tun Mahathir sendiri mengenai perkara itu (kenapa marah).
“Tetapi pada tanggapan saya, bukan soal 1MDB. Satu ketika dulu dia (Tun Mahathir) pun datang berjumpa dengan saya (dan) berapa banyak dia tidak bersetuju dengan keputusan saya atau ada perkara yang dia nak, saya tak buat.
“Jadi, saya dapat simpulkan bahawa Tun Mahathir ini mahukan seorang Perdana Menteri yang cakap mudahnya, “ikut cakap dia.”
“Kalau ikut cakap dia, saya mungkin Perdana Menteri yang amat baik. Apatah lagi, apabila dicadangkan diwujudkan ‘Council elders’ yang tak pernah dalam sejarah negara kita atau mana-mana negara ada ‘Council elders’,” kata Najib dipetik dalam rakaman temu bual tersebut yang dimuat naik di laman sosialYouTube, Najib Razak semalam.
Bual bicara berdurasi 50 minit itu dikendalikan oleh tiga ahli panel iaitu Pengarang Urusan Berita & Ehwal Semasa TVN Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak; dan Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid.
Antara isu yang turut dibangkitkan dalam bual bicara tersebut termasuklah isu 1MDB.
Jelas Najib, sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat dan parti, beliau tetap komited melakukan apa sahaja demi kebaikan negara dan juga parti.
“Saya bukan tidak hormat dia (Tun Mahathir) sebagai negarawan, tetapi saya berpegang pada prinsip, saya adalah Perdana Menteri yang sah - dipilih oleh rakyat, presiden sah yang dipilih oleh parti dan saya ada hak mentadbir negara dan parti mengikut pandapat saya yang sebaik mungkin untuk negara dan parti.
“Saya bukanlah seorang pemimpin yang tak dengar pandangan, tak dengan nasihat, tetapi pada kesudahannya, saya mesti membuat keputusan atas apa yang saya fikir terbaik untuk negara dan parti,” jelas Najib.
Temu bual penuh bersama presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak boleh ditonton dalam rakaman di bawah:
- Malaysian Digest