SUBANG JAYA, 21 Disember - Usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencegah dan membanteras jenayah telah dilaksanakan secara berterusan demi menjaga kesejahteraan masyarakat. Malam tadi PDRM melalui Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah telah melancarkan Ops Cantas Khas di Selangor dan juga Kuala Lumpur. Operasi yang bermula jam sebelas malam itu dianggotai seramai 242 pegawai dan anggota polis itu telah diadakan di Plaza Tol Sunway. Operasi ini juga melibatkan bantuan keanggotaan daripada Pasukan Gerakan Am(PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan juga bantuan dari Cawangan Trafik, Jabatan Siasatan Jenayah serta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.
Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah PDRM, DCP Dato' Rosli b. Ahmad dalam sidang media di Plaza Tol Sunway berkata Ops Cantas Khas yang dijalankan ini adalah bagi mengesan penjenayah yang dikehendaki serta kesalahan melibatkan dadah serta lain-lain kesalahan jenayah dan lalu lintas. Tambahnya lagi operasi ini akan diadakan secara berterusan di semua negeri dan Kontinjen Selangor dan Kuala Lumpur adalah sebagai permulaan. Turut serta dalam operasi tersebut adalah Ketua Polis Daerah Subang Jaya serta pegawai kanan dari Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah PDRM Bukit Aman.