Translate

11 December 2024

Tiada kemungkinan LRT Mutiara dibatalkan - Rafizi



Tiada kemungkinan LRT Mutiara dibatalkan - Rafizi

Bernama

11/12/2024


Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, menghadiri program Sesi MADANI Mendengar bersama Menteri Ekonomi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia SPICE, hari ini. - Foto BERNAMA


GEORGE TOWN: Tiada kemungkinan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang dibatalkan, walaupun terdapat pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan.

Projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang tidak akan dibatalkan walaupun terdapat pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan kerana keputusan penting telah dibuat dan proses tender sedang berjalan.

Kerajaan Persekutuan dijangka kekal sehingga akhir penggal, dan semua pemberian tender akan selesai menjelang akhir penggal, mengurangkan kemungkinan pembatalan projek.

Pembatalan projek selepas pemberian tender adalah sukar kerana ia melibatkan komitmen kepada kontraktor dan boleh menyebabkan kerajaan disaman, dengan risiko utama kini hanya kenaikan kos atau kelewatan siap.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata segala keputusan penting telah dibuat oleh Kerajaan Persekutuan buat masa ini dan segala proses telah dilalui supaya tender boleh diberikan secepat mungkin.

"Kerajaan Persekutuan sekarang, saya rasa akan kekal sehingga akhir penggal. Menjelang akhir penggal, semua pemberian tender akan selesai.

"Oleh itu, saya tidak rasa ada kerajaan yang boleh 'membalikkan' keputusan itu kerana jika dibatalkan, kerajaan perlu membayar pampasan kepada kontraktor. Berdasarkan kemajuan yang ada sekarang, saya rasa itu yang akan berlaku," katanya pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 di sini hari ini.

Tambahnya, sesuatu projek infrastruktur mempunyai proses iaitu bermula dengan kelulusan dasar, bajet, perolehan dan kemudian pemberian tender sebelum kerja-kerja bermula.

Beliau berkata sebelum peringkat pemberian tender berlaku, pihak kerajaan masih boleh membatalkan sesuatu projek tersebut kerana ia masih belum melibatkan komitmen kerajaan kepada pihak swasta atau kontraktor.

"Namun, apabila tender sudah diberikan dan kontraktor telah dilantik, selalunya ia tidak boleh dibatalkan kerana kerajaan boleh disaman.

"Risiko sekarang, hanyalah kenaikan kos ataupun kelewatan siap, tetapi pembatalan tidak semudah itu," katanya.

--BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED