Singapura laksana laluan imigresen guna kod QR untuk penumpang bas mulai 16 Dis
Bernama
11/12/2024
ICA berkata pelaksanaan penuh di kedua-dua pusat pemeriksaan darat (Tuas dan Woodlands) disasarkan selesai menjelang pertengahan Januari 2025. -Gambar fail
SINGAPURA: Laluan imigresen menggunakan kod QR akan dilaksanakan secara berperingkat di semua lorong automatik dan Lorong Bantuan Khas (SAL) di balai bas di pusat pemeriksaan darat Singapura, bermula dengan Pusat Pemeriksaan Tuas pada 16 Dis.
Laluan imigresen menggunakan kod QR akan dilaksanakan secara berperingkat di pusat pemeriksaan darat Singapura, bermula dengan Pusat Pemeriksaan Tuas pada 16 Disember.
Pelaksanaan penuh di kedua-dua pusat pemeriksaan darat (Tuas dan Woodlands) dijangka selesai menjelang pertengahan Januari 2025, melengkapkan inisiatif laluan imigresen tanpa pasport bagi semua jenis pengangkutan.
ICA juga akan meluaskan pelaksanaan laluan tanpa token ke pusat pemeriksaan laut di Marina Bay Cruise Centre Singapore (MBCCS) bermula 16 Disember, membolehkan penduduk Singapura melalui imigresen menggunakan biometrik wajah dan iris tanpa pasport.
Pihak Berkuasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) berkata pelaksanaan penuh di kedua-dua pusat pemeriksaan darat (Tuas dan Woodlands) disasarkan untuk selesai menjelang pertengahan Januari 2025.
“Dengan pelaksanaan penuh laluan imigresen kod QR di balai bas, ICA akan melengkapkan inisiatif laluan imigresen tanpa pasport bagi semua jenis pengangkutan di pusat pemeriksaan darat,” menurut ICA dalam kenyataan pada Rabu.
.
Sehingga 1 Dis, hampir 28 juta pengguna menggunakan kod QR untuk laluan imigresen di pusat pemeriksaan darat, tambahnya.
ICA menyatakan bahawa semua penumpang bas, termasuk pengguna kerusi roda dan kumpulan keluarga sehingga empat orang, boleh menggunakan laluan kod QR di balai bas.
Bagaimanapun, pelawat asing kali pertama dan mereka yang masuk semula ke Singapura menggunakan pasport berbeza daripada perjalanan sebelumnya perlu menunjukkan pasport mereka. Mereka akan dapat menggunakan kod QR untuk perjalanan berikutnya.
“Mereka yang menggunakan kod QR kumpulan perlu memastikan butiran pasport yang disimpan dalam kod QR kumpulan selaras dengan individu yang ingin melalui imigresen,” menurut kenyataan itu.
Pengguna juga digalakkan menggunakan aplikasi mudah alih MyICA untuk memaparkan kod QR mereka, berbanding bergantung kepada salinan bercetak atau tangkapan skrin.
Sementara itu, ICA akan meluaskan pelaksanaan laluan tanpa token ke pusat pemeriksaan laut di Marina Bay Cruise Centre Singapore (MBCCS) bermula 16 Dis.
“Penduduk Singapura (Warganegara, Penduduk Tetap dan Pemegang Pas Jangka Panjang) yang tiba dan berlepas dari MBCCS boleh melalui imigresen hanya menggunakan biometrik wajah dan iris mereka tanpa perlu menunjukkan pasport,” jelas ICA.
Namun, pelawat asing hanya akan menikmati kemudahan sama semasa berlepas dari Singapura.
ICA berkata ia akan melaksanakan laluan tanpa token secara berperingkat di pusat pemeriksaan laut lain.
Laluan tanpa token telah dilaksanakan di semua terminal di Lapangan Terbang Changi sejak 30 Sept, mengurangkan purata masa pemeriksaan daripada 25 saat kepada 10 saat bagi setiap pengembara.
ICA mengingatkan pelawat bahawa mereka masih perlu membawa pasport kerana ia mungkin diperlukan untuk pemeriksaan imigresen di negara destinasi atau pengesahan oleh agensi.
-- BERNAMA