Translate

04 December 2024

Idrus Harun Pengerusi MyCC baharu



Idrus Harun Pengerusi MyCC baharu

Bernama

04/12/2024


Armizan menyerahkan surat pelantikan Pengerusi MyCC kepada Idrus di pejabatnya hari ini. - Foto Ihsan KPDN


PUTRAJAYA: Tan Sri ldrus Harun dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang baharu untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 25 Nov lepas hingga 24 Nov 2027.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pelantikan itu adalah bagi mengisi kekosongan selepas mantan pengerusi Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berkuat kuasa 3 Julai lepas.

Beliau berkata pelantikan itu dibuat di bawah Seksyen 5(1)(a) Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 [Akta 713].

Armizan berkata beliau yakin pelantikan Idrus akan memastikan kesinambungan usaha pemerkasaan peranan MyCC sebagai salah satu agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berdasarkan pengalaman luas dan kepakaran yang dimiliki.

"Selain itu saya juga berharap beliau dapat membawa hasrat agenda reformasi kerajaan melalui pindaan Akta Persaingan 2010 [Akta 712] untuk memperkasakan lagi kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan MyCC termasuk memperkenalkan rejim penggabungan dan pengambilalihan untuk menghalang pembentukan awal kartel atau monopoli yang bermasalah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

ldrus memiliki ljazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya dan pernah menyandang pelbagai jawatan penting, termasuk sebagai Peguam Negara dengan rekod perkhidmatan selama lebih 40 tahun.

Sepanjang kerjaya beliau, Idrus telah berkhidmat sebagai Pegawai Undang-Undang, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan.

Beliau juga telah dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman mulai 1 Nov lepas.

Armizan turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan pengerusi MyCC, Mohd Hishamudin atas segala jasa dan sumbangan beliau kepada MyCC dan negara sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.


-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED