Curi wang penumpang pesawat, dua usahawan China didenda
Bernama
04/12/2024
Majistret memutuskan He Da Peng didenda RM2,000 dan Xin Min, RM3,700 serta penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit. - Foto BERNAMA
BALIK PULAU: Dua lelaki warganegara China mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri wang milik dua penumpang pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bulan lepas.
Majistret Chia Huey Ting memutuskan He Da Peng, 51, didenda RM2,000 dan Xin Min, 61, RM3,700 serta penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit. Pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam bahasa Mandarin.
He didakwa mencuri wang tunai berjumlah RM2,000 milik seorang penumpang pesawat antara 8.20 pagi hingga 8.40 pagi, 21 Nov lepas manakala Xin Min dituduh mencuri wang tunai NT$24,000 (New Taiwan Dollar) dan RM200 milik penumpang lain antara 10.20 pagi hingga 10.30 pagi pada 24 Nov.
Kedua-dua mereka yang merupakan usahawan didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya R. Lushini manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Md Yusuf Md Idris.
Terdahulu, Md Yusof memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan berbentuk denda memandangkan kes itu ialah kesalahan pertama kedua-dua anak guamnya dan mereka memberikan kerjasama dengan memulangkan barang curi.
Lushini meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran kepada tertuduh agar mereka tidak mengulangi perbuatan terbabit.
-- BERNAMA