Translate

25 December 2024

Dua Tekong Warga Myanmar Menyeludup PATI Diberkas









Che Ta Nafi Dakwaan Tidak Pernah Bayar Pinjaman Mara









16 ahli 'Geng Pacific Siva' didakwa kes SOSMA









Perhimpunan Di Hadapan Menara Kinabalu









Rupanya Mat Motor Tiga Orang Tu PoIis









Man Kulim MeninggaI Dunia









PM ucap selamat hari Krismas, seru perkukuh keharmonian

 







Kerajaan mulakan kajian semula antilambakan ke atas import besi



Kerajaan mulakan kajian semula antilambakan ke atas import besi

Bernama

25/12/2024


MITI berkata penentuan muktamad bagi kajian semula pentadbiran akan dibuat dalam tempoh 180 hari.


KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memulakan kajian semula pentadbiran terhadap duti anti lambakan yang dikenakan terhadap import besi atau keluli bukan aloi gegelung gulungan sejuk, dengan kelebaran melebihi 1300mm, berasal atau dieksport dari China, Jepun, Korea Selatan dan Vietnam.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan hari ini berkata pemulaan kajian semula pentadbiran ini adalah berdasarkan permohonan daripada Mycron Steel CRC Sdn. Bhd. atas alasan bahawa penamatan duti antilambakan berkemungkinan menyebabkan lambakan dan kemudaratan akan berterusan atau berulang kepada pengeluar tempatan.

"Kerajaan telah mempertimbangkan permohonan dan maklumat yang dikemukakan, dan memutuskan untuk memulakan kajian semula pentadbiran duti antilambakan itu selaras dengan subseksyen 28(6) Akta Duti Timbal Balas dan AntiLambakan 1993 (Akta 504) dan peraturan 34 Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 (Peraturan)," kata kementerian itu.

MITI berkata selaras dengan peruntukan di bawah Akta 504 dan Peraturan, penentuan muktamad bagi kajian semula pentadbiran akan dibuat dalam tempoh 180 hari daripada tarikh pemulaan dan soal selidik dan dokumen akan diedarkan kepada pihak berkepentingan yang berkenaan.

Semua pihak berkepentingan berkenaan yang berhasrat untuk memohon soal selidik hendaklah berbuat demikian tidak lewat dari 8 Januari 2025. Mereka juga dijemput untuk menghantar pandangan secara bertulis, menjawab soal seldik dan mengemukakan maklumat sokongan kepada MITI tidak lewat dari 23 Januari 2025.

Sekiranya pihak berkepentingan yang berkenaan tidak mengemukakan maklumat yang perlu atau maklumat dan pandangan itu tidak diterima dalam bentuk yang memadai dalam had masa yang dinyatakan, Kerajaan boleh membuat penentuan muktamad berdasarkan kepada fakta-fakta yang sedia ada.

-- BERNAMA

Malaysia kekal teguh perjuang gencatan senjata di Gaza



Malaysia kekal teguh perjuang gencatan senjata di Gaza

Bernama

25/12/2024


Perhimpunan solidariti turut diadakan pelbagai organisasi termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kerajaan Persekutuan dan negeri di seluruh negara. - Foto fail/BERNAMA


KUALA LUMPUR: Setahun berlalu sejak Israel melancarkan kekejaman menerusi serangan ketenteraan namun pembunuhan dan kemusnahan terus mencengkam Gaza. Di sebalik pelbagai usaha sudah dilaksana oleh masyarakat antarabangsa namun gencatan senjata yang berkekalan masih sukar dicapai.

Tatkala konflik yang membinasakan ini berterusan, sebuah negara kekal utuh untuk menamatkan keganasan yakni Malaysia.

Sejak sekian lama Malaysia lantang memperjuangkan hak Palestin dan serangan tragis Israel pada 7 Okt 2023 menandakan satu titik perubahan penting dalam respons diplomatik dan kemanusiaan.

Situasi itu menuntut usaha yang bukan sekadar kata-kata - kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas, mendesak agar penderitaan dihentikan melalui pelbagai platform global, menggerakkan sokongan untuk Palestin selain menghulurkan pelbagai bantuan kepada mereka yang terjejas.

Pada 2024, komitmen Malaysia terhadap Palestin kian teguh. Bermula di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sehingga ke Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) seterusnya di peringkat Liga Arab sehingga ke Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), diketuai dan diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar, Malaysia menggunakan setiap saluran yang ada untuk menyeru agar pertumpahan darah segera dihentikan.

Pada 17 Jan Perdana Menteri bersama ahli Kabinet menandatangani poskad khas untuk dihantar kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres bagi mendesak badan dunia itu mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dan menamatkan kekejaman Israel.

Beberapa hari kemudian iaitu pada 23 Jan, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan kembali pendirian Malaysia ketika Debat Terbuka Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berhubung situasi di Timur Tengah dan menyentuh mengenai keperluan untuk Israel menamatkan pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa.

Pada 23 Feb, semasa perdengaran awam di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Mohamad mengecam pencabulan berterusan Israel, menyeru kebertanggungjawaban dan menuntut tindakan itu dihentikan segera. Mesej ini bukan sekadar memberikan kesan dalam kalangan diplomatik tetapi turut menyentuh hati mereka yang mengikuti perkembangan konflik berkenaan.

Pada 1 Mei, Anwar berkata Malaysia akan memanfaatkan hubungan baik dengan semua negara untuk secara kolektif membantu menghentikan penindasan rejim Israel terhadap rakyat di Gaza.

Semasa debat pada 26 Sept, Malaysia merayu mengehadkan kuasa veto dalam UNSC sambil menegaskan bahawa penggunaan veto tanpa kawalan telah menghambat usaha damai, khususnya berkait isu Palestin.

Di pentas debat di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) yang berlangsung pada 29 Sept lepas, Malaysia mendesak pengembalian semula Jawatankuasa Khas PBB Menentang Apartheid dan mengulangi keperluan untuk memperbaharu usaha global bagi memerangi ketidakadilan.

Pada 4 Nov, Anwar berkata Malaysia telah menyediakan draf resolusi Perhimpunan Agung PBB, antara lain mencadangkan penyingkiran Israel sebagai anggota badan dunia itu sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, peraturan dan keputusan dalam isu membabitkan Palestin.

Sepanjang 2024, Anwar memperlihatkan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap Palestin semasa pertemuan dengan para pemimpin dunia.

Antara pemimpin itu termasuk Perdana Menteri Australia Anthony Albanese, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi, Canselor Jerman Olaf Scholz, bekas Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, Perdana Menteri Jordan Bisher Hani Al-Khasawneh, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif , Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken.

Anwar juga mengadakan pertemuan dengan Allahyarham Ismail Haniyeh, bekas pemimpin politik Hamas di Qatar pada 14 Mei, menyaksikan beliau menegaskan komitmen Malaysia untuk memainkan peranan aktif di peringkat antarabangsa dalam menghentikan kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin.

Beliau mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel sehingga menyebabkan kematian Haniyeh di Tehran pada 31 Julai dan menegaskan ia pembunuhan paling keji.

Perdana Menteri turut berduka atas pemergian Yahya Sinwar yang menggantikan Haniyeh sebagai Ketua Biro Politik Hamas sambil menyatakan beliau telah dibunuh dengan kejam oleh rejim Zionis pada 16 Okt.

Namun, bukan hanya diplomasi yang menjadi pendekatan Malaysia malah turut memperlihatkan solidariti tidak berbelah bahagi dengan rakyat Palestin melalui bantuan kemanusiaan.

Pada 16 Ogos, Malaysia membawa 41 rakyat Palestin yang cedera ke negara ini untuk mendapatkan rawatan perubatan, memberikan sinar harapan kepada mereka yang terperangkap dalam keganasan itu. Pesakit dan 86 ahli keluarga mereka diterbangkan menggunakan dua pesawat Airbus A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia.

Lebih 5,000 tan bantuan kemanusiaan dihantar melalui sempadan Rafah, dan sumbangan berjumlah RM45 juta juga dihantar ke Gaza melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

Perhimpunan solidariti turut diadakan pelbagai organisasi termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kerajaan Persekutuan dan negeri di seluruh negara untuk menyatakan sokongan padu rakyat Malaysia terhadap Palestin.

Perhimpunan terbesar anjuran Kerajaan MADANI telah diadakan pada 4 Ogos yang menyaksikan lebih 15,000 rakyat daripada pelbagai latar belakang, agama dan kaum berkumpul di Arena Axiata di Bukit Jalil untuk memperjuangkan pembebasan Palestin.

Dikenali sebagai 'Himpunan Pembebasan Palestin', perhimpunan yang dihadiri Perdana Menteri, menteri Kabinet dan wakil asing itu bertujuan menghantar mesej kepada dunia bahawa Malaysia mengecam pembunuhan Haniyeh dan kekejaman rejim Zionis.

Rakyat Malaysia juga memboikot produk dan syarikat yang mempunyai kaitan dengan Israel sebagai simbol solidariti sejajar dengan gerakan global Boikot, Penjualan, Sekatan (BDS).

Tatkala Malaysia tanpa mengenal erti jemu memperkukuh usaha bantuan diplomatik dan kemanusiaan, negara terus memperlihatkan kepada dunia bahawa keadilan serta kebebasan rakyat Palestin kekal menjadi agenda utama dalam dasar luarnya.

-- BERNAMA

Program Jualan Tengah Malam bakal diperluas ke Pantai Timur - Tourism Malaysia



Program Jualan Tengah Malam bakal diperluas ke Pantai Timur - Tourism Malaysia

Bernama

25/12/2024


Antara matlamat utama penganjuran bertujuan menggalakkan pelancong antarabangsa, khususnya yang bersempadan Malaysia.


KOTA BHARU: Tourism Malaysia bercadang memperluas Program Jualan Tengah Malam (Midnight Sale) menerusi lebih banyak pasar Raya di seluruh negeri Pantai Timur dalam usaha menjadikan program itu sebagai acara tahunan pelancongan sempena Kempen Malaysia Year End Sale (MYES).

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur Mohd Azizul Arif Yahaya berkata secara keseluruhan, sebanyak tujuh program diadakan di seluruh negara dengan dua daripadanya di Kelantan dan Terengganu.

Beliau berkata antara matlamat utama penganjuran bertujuan menggalakkan pelancong antarabangsa, khususnya yang bersempadan Malaysia seperti Singapura, Thailand dan Brunei mengambil peluang bukan sahaja berbelanja tetapi bermalam di Malaysia.

"Inisiatif ini memfokuskan kepada pelancong dari Singapura dan Thailand, menjadi harapan Tourism Malaysia pelancong dapat memanjangkan tempoh keberadaan di negara ini termasuk bermalam di hotel di sekitar Johor Bahru dan Kota Bharu.

"Acara jualan bermula pada 10 malam hingga 12 tengah malam selama sehari ... sekali gus menyumbang kepada ekonomi tempatan," katanya kepada pemberita selepas perasmian program itu di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Datuk Kamarudin Md Noor yang merasmikan program berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata selain alam semula jadi, 'adventure', ekopelancongan, sukan dan lain-lain segmen membeli-belah menjadi komponen penting bagi industri pelancongan Malaysia.

"Berdasarkan data Tourism Malaysia bermula Januari hingga September 2024, jumlah perbelanjaan pelancong mencecah hingga RM26.98 bilion iaitu peningkatan ketara sebanyak 63 peratus berbanding RM16.56 bilion untuk tempoh sama pada 2023.

"Segmen itu menjadi penyumbang utama pendapatan pelancongan negara iaitu mewakili 36.8 peratus daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM73.2 bilion yang direkodkan bagi tempoh ini," katanya.

Angka itu diyakini terus meningkat bagi tahun mendatang sekali gus memperkukuh lagi perkembangan segmen berkenaan, lebih-lebih lagi selepas Tourism Malaysia menganjurkan semula kempen Malaysia Mega Sale 2024.

-- BERNAMA

Agong, Permaisuri ucap Selamat Hari Krismas



Agong, Permaisuri ucap Selamat Hari Krismas

Bernama

25/12/2024


Baginda turut bertitah masyarakat Malaysia yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum, agama dan budaya menjadi tunjang perpaduan negara. - Foto Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Krismas kepada masyarakat beragama Kristian di Malaysia.

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan itu menerusi satu hantaran berserta poster yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

"Semoga perayaan ini membawa kemakmuran dan kebahagiaan kepada mereka yang menyambut Hari Natal," titah baginda.

Baginda turut bertitah masyarakat Malaysia yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum, agama dan budaya menjadi tunjang perpaduan negara.

Hari Krismas disambut pada 25 Dis setiap tahun oleh penganut Kristian.

-- BERNAMA

TDM tahan dua warga India cuba seberang Sungai Golok



TDM tahan dua warga India cuba seberang Sungai Golok

Bernama

24/12/2024


Dua lelaki ditahan itu mendakwa ingin pulang ke negara asal, India melalui Thailand dan telah diaturkan oleh lelaki yang melarikan diri dipercayai ejen mengatur perjalanan mereka. - Gambar FB Markas Divisyen Ke 2 Infantri Malaysia


KOTA BHARU: Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) menahan dua warga India yang cuba menyeberangi Sungai Golok menuju ke Thailand, pada Ahad lepas.

Menurut kenyataan 2 Divisyen hari ini, kejadian berlaku pada 10.15 malam ketika pasukan operasi sedang melakukan rondaan di kawasan Sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd).

"Pasukan yang melaksanakan rondaan telah mengesan tiga lelaki berada di tebing Sungai Golok di sebelah Malaysia yang cuba menyeberangi sungai tersebut menuju ke arah Thailand.

"Seorang daripada lelaki tersebut berjaya melarikan diri dengan menyeberangi sungai tersebut manakala dua lagi tidak sempat melarikan diri kerana bersama-sama mereka terdapat beg pakaian serta beberapa barangan milik peribadi," menurut kenyataan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, dua lelaki ditahan itu mendakwa ingin pulang ke negara asal, India melalui Thailand dan telah diaturkan oleh lelaki yang melarikan diri dipercayai ejen mengatur perjalanan mereka.

Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua mereka memiliki pasport antarabangsa India yang masih sah hingga 2028 dan memasuki Malaysia pada 2022 melalui pintu masuk yang sah menggunakan visa pelancong.

"Turut ditemui beberapa telefon bimbit serta jam tangan pelbagai jenama, beberapa keping mata wang India dan Malaysia dengan jumlah keseluruhan barang rampasan RM4,746 dan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

Bangunan berhampiran stesen kereta api Saint-Lazare di Paris terbakar



Bangunan berhampiran stesen kereta api Saint-Lazare di Paris terbakar

Bernama

25/12/2024


Kebakaran berlaku di tingkat atas bangunan itu yang sedang dalam proses pembinaan. - Foto X/Adriano


PARIS: Sebuah bangunan berhampiran stesen kereta api Saint-Lazare di daerah pentadbiran atau arondisemen kelapan Paris terbakar, lapor Xinhua yang memetik media Perancis.

Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Laporan media Perancis menyebut, kebakaran berlaku di tingkat atas bangunan itu yang sedang dalam proses pembinaan.

Lebih 80 anggota bomba dengan 20 jentera dikerahkan ke lokasi kejadian. Penduduk di kawasan berhampiran turut dipindahkan.

Bomba berusaha memadamkan api sejak 9 pagi (0800 GMT) dan datuk bandar arondisemen kelapan turut berada di lokasi kejadian.

-- BERNAMA

Kes selesema burung menular di seluruh England









Tiga eksekutif jualan didakwa pukul peguam









Kronologi Nahas Babit 5 Kenderaan Di Ayer Keroh









Dua Lelaki Ditahan, Suspek Lain Masih Diburu








Jangan guna soket dengan kelengkapan elektrik berlebihan - Suruhanjaya Tenaga



Jangan guna soket dengan kelengkapan elektrik berlebihan - Suruhanjaya Tenaga

Bernama

24/12/2024


Kesedaran yang cukup mengenai pengendalian perkakasan dan soket elektrik dapat menghindarkan insiden yang tidak diingini. - Gambar hiasan/Adobe Stock


PUTRAJAYA: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan soket dengan kelengkapan elektrik yang berlebihan atau beban yang tinggi serta elak menggunakan telefon bimbit semasa ia sedang dicas.

Itu antara tip keselamatan penggunaan elektrik dan gas di musim perayaan yang dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga (ST) hari ini sempena sambutan hari Natal.

"Orang ramai dinasihatkan memastikan suis dan kelengkapan elektrik yang tidak digunakan di rumah dimatikan sekiranya anda pulang ke kampung atau bercuti," menurut ST dalam satu kenyataan hari ini.

Suruhanjaya itu memaklumkan orang ramai juga perlu menggunakan perkakas dapur gas yang mempunyai label keselamatan ST-SIRIM.

"Jangan membawa peralatan atau kelengkapan yang boleh mencetuskan penyalaan atau "spark" berhampiran kawasan dapur memasak," katanya.


-- BERNAMA

Keindahan 'rumah tular' tarik pengunjung pelbagai kaum



Keindahan 'rumah tular' tarik pengunjung pelbagai kaum

Bernama

24/12/2024


D.Charles menghiasi rumahnya sempena perayaan Hari Natal yang akan disambut esok. - Gambar Bernama


BUTTERWORTH: Kebiasaannya orang ramai hanya berpeluang untuk melihat dekorasi sempena perayaan Krismas di pusat membeli-belah.

Namun senarionya berbeza apabila rumah milik sepasang suami isteri di Taman Teluk Molek di sini yang dihias indah sempena sambutan itu tular di media sosial sekali gus menarik kehadiran pengunjung pelbagai kaum.

D.Charles, 52, dan isterinya S.Christe, 47, menggunakan pelbagai jenis hiasan seperti lampu berwarna-warni, pokok Krismas, patung-patung Santa Claus dan pelbagai elemen dekorasi lain yang mencerminkan semangat perayaan.

Ia mencuri perhatian bukan sahaja jiran tetapi juga orang ramai yang melalui kawasan tersebut.

Charles yang merupakan seorang kontraktor berkata beliau dan isteri memilih untuk menghias rumah mereka sempena Krismas tahun ini kerana baru berpindah semula ke kediaman tersebut Ogos lepas selepas selesai pengubahsuaian.

Beliau berkata mereka membelanjakan kira-kira RM12,000 untuk mencantikkan bahagian luar dan dalaman rumah dengan hiasan yang menarik dan besar, seperti rangkaian lampu yang dipasang di sepanjang pagar, pokok-pokok di taman dan memasang replika Santa serta 'orang salji'.

"Pada mulanya kami hanya dekorasi untuk seronok-seronok dan mencantikkan rumah sahaja sempena Krismas tahun ini kerana setiap tahun kami meraikan perayaan itu di luar negara, namun tahun ini memilih untuk raya di rumah yang baharu yang baru siap diubah suai.

"Namun seorang daripada jiran kami telah datang untuk melihat dekorasi dan dia juga mengambil video suasana tersebut sebelum muat naik di aplikasi TikTok dan menjadi tular sejak 10 Dis lepas, selepas itu setiap hari kami menerima kunjungan sehingga 200 orang dari pelbagai kaum untuk melihatnya," katanya kepada Bernama hari ini.

Lebih manis, katanya ada yang datang ke rumah mereka dengan membawa hadiah, makanan atau hamper untuk keluarganya bagi sambutan Hari Krismas esok.

Charles berkata berikutan kehadiran pengunjung yang semakin ramai sejak minggu lepas, beliau telah membeli mesin untuk menghasilkan salji tiruan dan memasangnya pada waktu malam bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai suasana Krismas seperti di luar negara.

"Suasana menjadi lebih meriah dan menarik apabila ada kawan-kawan saya yang berkongsi rezeki dengan menyumbang air pelbagai perisa kepada pengunjung yang hadir, macam semalam sebanyak 300 cawan air diberikan kepada mereka yang datang ke rumah kami," katanya yang teruja dan gembira setiap kali melihat orang ramai ke rumah mereka.

Sementara itu, Christe berkata orang ramai sanggup datang dari jauh semata-mata untuk melihat kediaman mereka selain mengabadikan kenangan menerusi gambar dan video serta memuat naik ke aplikasi media sosial sehingga meraih tontonan yang tinggi.

Beliau yang bekerja sebagai akauntan berkata lampu hiasan dibuka dari 6 petang hingga 1 pagi setiap hari sehingga sambutan Tahun Baharu 2025 dan beliau juga menyediakan beg cenderahati serta belon pelbagai bentuk sempena Hari Krismas untuk kanak-kanak yang datang.

"Kami gembira dan berbesar hati dengan kehadiran mereka yang datang jauh, ada datang dari Kelantan, Johor, Perak, Kedah dan setakat ini paling jauh dari Singapura, setiap hari lebih 200 beg dan esok sempena Krismas kami sediakan 400 beg," katanya yang mempunyai seorang anak lelaki S.Dohnaven, 20.

Beliau memberitahu semua dekorasi dan hiasan itu dibuat sendiri oleh beliau dan suaminya dengan menggunakan barang-barang yang dibeli dari luar negara.

"Rakyat Malaysia sebenarnya unik kerana walaupun tidak mengenali, tetapi sifat saling menghormati bagi setiap perayaan amat tinggi dan ia mengeratkan perpaduan antara satu sama lain," katanya.

-- BERNAMA

45 rakyat Malaysia didakwa diperas ugut di konsert DWP Jakarta - Polis Indonesia



45 rakyat Malaysia didakwa diperas ugut di konsert DWP Jakarta - Polis Indonesia

Bernama

25/12/2024


Kes di konsert DWP itu dipantau rapi oleh badan luar seperti Suruhanjaya Polis Negara (Kompolnas) bagi memastikan ketelusan dan keadilan dalam siasatan.


JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia melaporkan bahawa 45 warga Malaysia menjadi mangsa dakwaan peras ugut anggota polis semasa konsert Djakarta Warehouse Project (DWP).

Ketua Bahagian Profesion dan Keselamatan (Propam) Polis Negara Inspektor Jeneral Abdul Karim menyatakan bahawa bukti yang dirampas bernilai IDR 2.5 bilion (AS$160,000).

"Dua aduan rasmi telah difailkan oleh warga Malaysia," katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung oleh Metro TV, sambil menambah bahawa identiti mereka akan dilindungi sepanjang siasatan.

Tegasnya, kes itu dipantau rapi oleh badan luar seperti Suruhanjaya Polis Negara (Kompolnas) bagi memastikan ketelusan dan keadilan dalam siasatan.

"Kami, kepimpinan Polis Negara, serius untuk menangani sebarang bentuk pelanggaran yang dilakukan oleh pegawai polis kami dan kami akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja, tanpa mengira siapa mangsa, " tambahnya.

Pada Sabtu, polis Indonesia menahan 18 anggota kerana didakwa memeras ugut warga Malaysia pada konsert DWP selama tiga hari di Kemayoran, Jakarta Utara, yang berakhir pada 15 Disember.

Susulan penahanan itu, Menteri Pelancongan Indonesia Widiyanti Putri Wardhana memuji polis atas tindakan pantas mereka menyiasat dakwaan peras ugut pelancong semasa konsert itu.

Kementerian telah menyelaraskan dengan penganjur acara dan polis untuk menangani isu itu sejak kebimbangan pelancong didedahkan kepada umum.

"Kementerian Pelancongan memohon maaf atas kesulitan dan kesan yang disebabkan oleh kejadian ini," katanya.

-- BERNAMA

Menara Eiffel dikosongkan akibat litar pintas pada rel kuasa lif



Menara Eiffel dikosongkan akibat litar pintas pada rel kuasa lif

Bernama

24/12/2024


Masalah teknikal berlaku antara tingkat dua dan puncak menara, lantas mencetuskan penggera kebakaran. - Gambar fail


ANKARA: Menara ikonik Paris, Menara Eiffel dikosongkan pada Selasa ekoran ancaman keselamatan akibat kecemasan elektrik, lapor Agensi Anadolu (AA) yang memetik media tempatan.

Menurut stesen penyiar BFMTV yang memetik sumber syarikat pengendali menara SETE, satu daripada rel kuasa dalam lif menara itu mengalami litar pintas.

Masalah teknikal berlaku antara tingkat dua dan puncak menara, mencetuskan penggera kebakaran pada 10.50 pagi (0950GMT).

SETE mengosongkan bangunan "selaras dengan prosedur keselamatan" dan tiada pelawat berada dalam bahaya.

Anggota bomba dan unit penyelenggaraan teknikal menara meneliti punca litar pintas. Operasi dijangka disambung secara berperingkat dengan akses ke tingkat dua dibuka semula kemudian, tambah stesen penyiar itu.


-- BERNAMA

24 December 2024

Pengurus inap desa rugi lebih RM60,000 ditipu skim pelaburan bitcoin



Pengurus inap desa rugi lebih RM60,000 ditipu skim pelaburan bitcoin

Bernama

24/12/2024


Azli berkata pada 19 Dis lepas, mangsa seorang lelaki berusia 30 tahun telah menyertai satu kumpulan aplikasi Telegram yang menawarkan pelaburan bitcoin berasaskan AI. - Gambar fail/Bernama


KUALA TERENGGANU: Seorang pengurus inap desa kerugian lebih RM60,000 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan bitcoin dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 19 Dis lepas, mangsa seorang lelaki berusia 30 tahun telah menyertai satu kumpulan aplikasi Telegram yang menawarkan pelaburan bitcoin berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata mangsa yang berasal dari Chendering di sini, tertarik dengan pelaburan itu dan menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan maklumat lanjut.

"Mangsa menggunakan wang simpanan ibunya untuk membuat pelaburan terbabit dengan melakukan dua transaksi berjumlah RM62,214.59 ke aplikasi pelaburan bitcoin yang dimuat turun terlebih dahulu.

"Mangsa kemudian diberikan kod respons pantas (QR) untuk diimbas atas alasan pengesahan kontrak pelaburan AI," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Azli berkata selepas membuat imbasan, mangsa mendapati pelaburan bitcoin dalam aplikasi miliknya telah dipindahkan ke aplikasi pelaburan bitcoin lain yang tidak dikenali.

"Mangsa yang cemas cuba menghubungi suspek tetapi tidak berjaya. Mangsa kemudian membuat laporan polis Jumaat lepas selepas berasa tertipu," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Azli sehubungan itu menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan sebarang bentuk pelaburan yang tidak pasti dan tidak sah bagi mengelak ditipu.

-- BERNAMA

Pekerja stor mengaku salah rakam video rakan sekerja wanita 'lepas hajat'



Pekerja stor mengaku salah rakam video rakan sekerja wanita 'lepas hajat'

Bernama

24/12/2024


Mahkamah menetapkan 5 Feb 2025 untuk sebutan bagi mendapatkan laporan sosial tertuduh yang merupakan pesalah muda sebelum menjatuhkan hukuman.- Gambar hiasan


KUALA LUMPUR: Seorang pekerja stor sebuah kedai serbaneka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini, kerana mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan merakam video rakan sekerjanya itu yang sedang 'melepas hajat', empat hari lepas.

Lelaki berusia 19 tahun itu didakwa merakam video rakan sekerjanya yang juga merupakan seorang juruwang, di dalam tandas di premis itu di Jalan Ampang Hilir, Hulu Langat di sini pada 8.23 malam, 20 Dis.

Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani mencadangkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah atas alasan menanggung keluarga.

Majistret Amalina Basirah Md Top membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,800 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah juga menetapkan 5 Feb 2025 untuk sebutan bagi mendapatkan laporan sosial tertuduh yang merupakan pesalah muda sebelum menjatuhkan hukuman.

-- BERNAMA

Jepun tingkat keselamatan siber selepas kecurian AS$306 juta dari DMM Bitcoin



Jepun tingkat keselamatan siber selepas kecurian AS$306 juta dari DMM Bitcoin

Bernama

24/12/2024


Polis Jepun mengaitkan kumpulan penggodam Lazarus dengan kejadian kecurian mata wang digital dari DMM Bitcoin yang berpangkalan di Tokyo pada Mei. - Gambar hiasan


TOKYO: Jepun akan meningkatkan langkah keselamatan siber selepas penggodam mencuri 48 bilion yen (AS$306 juta) daripada bursa mata wang kripto Jepun DMM Bitcoin, kata Ketua Setiausaha Kabinet Yoshimasa Hayashi pada Selasa.

"Kami akan terus bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan untuk meningkatkan keupayaan keselamatan siber Jepun," kata Hayashi pada sidang akhbar, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Polis Jepun mengaitkan kumpulan penggodam Lazarus dengan kejadian kecurian mata wang digital dari DMM Bitcoin yang berpangkalan di Tokyo pada Mei. Bursa itu memindahkan akaun pelanggan ke syarikat lain dan mengumumkan bahawa ia akan menutup operasi pada Mac 2025.

Siasatan polis mendapati bahawa penggodam menghantar tawaran kerja palsu kepada pekerja sebuah syarikat yang menguruskan mata wang kripto bagi pihak DMM Bitcoin pada Mac 2024. Pekerja itu membuka mesej itu, yang menyebabkan komputer mereka dijangkiti perisian berniat jahat, memberikan penggodam akses kepada sistem pengurusan.

Kumpulan penggodam itu, yang polis percaya mempunyai kaitan dengan Korea Utara, kemudian memalsukan jumlah transaksi dan butiran akaun untuk mengawal aset berkenaan.

-- BERNAMA

Kerajaan MADANI terus sokong usaha pastikan keselamatan kanak-kanak - Fahmi



Kerajaan MADANI terus sokong usaha pastikan keselamatan kanak-kanak - Fahmi

Bernama

24/12/2024


Fahmi berkata Kementerian Komunikasi sekali lagi menggesa semua penyedia platform dalam talian agar lebih proaktif menyekat sebarang aktiviti tidak bermoral serta menyalahi undang undang. - Gambar fail/Bernama


PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI akan terus menyokong sepenuhnya usaha bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak terpelihara, serta tidak sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk jenayah yang mengancam masa hadapan mereka, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Sehubungan itu Fahmi berkata Kementerian Komunikasi sekali lagi menggesa semua penyedia platform dalam talian agar lebih proaktif menyekat sebarang aktiviti tidak bermoral serta menyalahi undang undang.

Beliau turut menasihati ibu bapa agar memainkan peranan penting dalam mengawal penggunaan media sosial kanak-kanak terutama yang di bawah umur, bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

"Sama-sama kita melindungi generasi muda daripada segala bentuk ancaman dan eksploitasi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas pelaksanaan operasi bersepadu Op Pedo, yang bertujuan menjejaki penjenayah seksual terhadap kanak-kanak di pelbagai platform dalam talian.

Beliau berkata tindakan tegas itu membuktikan komitmen pihak berkuasa dalam membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak, termasuk secara dalam talian.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan 13 lelaki tempatan termasuk seorang warga emas ditangkap dalam serbuan di enam negeri yang disyaki melakukan kesalahan seksual secara dalam talian melibatkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM).

Hasil pemeriksaan terhadap peranti yang digunakan di premis kediaman kesemua suspek yang berumur antara 20 hingga 74 tahun, telah menemukan anggaran 40,000 CSAM dan bahan pornografi.

-- BERNAMA

Ringgit ditutup tinggi mendapat rangsangan daripada kenaikan harga minyak



Ringgit ditutup tinggi mendapat rangsangan daripada kenaikan harga minyak

Bernama

24/12/2024


Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.4845/4900 berbanding dolar AS, meningkat daripada paras penutup 4.4870/4925 pada Isnin. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR: Ringgit mengekalkan trajektori menaiknya untuk ditutup tinggi hari ini berbanding dolar AS dan beberapa mata wang utama lain, mendapat rangsangan terutamanya daripada kenaikan harga minyak.

Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.4845/4900 berbanding dolar AS, meningkat daripada paras penutup 4.4870/4925 pada Isnin.

Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata prestasi ringgit dipacu sebahagiannya oleh pemulihan harga minyak mentah Brent yang meningkat melepasi paras US$73 setong.

Beliau berkata aliran meningkat dalam pasaran minyak itu adalah disebabkan kebimbangan kemungkinan lebihan bekalan dan penurunan permintaan pada tahun depan.

Selain itu, prestasi pasaran ekuiti tempatan yang kukuh susulan pelarasan portfolio akhir tahun juga membantu meningkatkan permintaan terhadap ringgit, katanya.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan permintaan terhadap ringgit menyusut dalam minggu dagangan yang lengang ini apabila ramai peniaga mula bercuti sempena sambutan perayaan Krismas yang diraikan esok dan Tahun Baharu.

"Kami juga menjangkakan permintaan tinggi terhadap saham di Amerika Syarikat minggu ini susulan penjualan besar-besaran minggu lepas, yang boleh mengehadkan minat terhadap ringgit," katanya kepada Bernama.

Ringgit juga mengukuh berbanding beberapa mata wang utama lain

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8547/8586 daripada paras penutup 2.8636/8673 pada Isnin, naik berbanding pound Britain kepada 5.6209/6278 daripada 5.6384/6453 dan menokok berbanding euro kepada 4.6603/6660 daripada 4.6692/6749.

Bagaimanapun ringgit mencatatkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2979/3024 daripada 3.3095/3138 sebelumnya dan meningkat sedikit berbanding peso Filipina kepada 7.66/7.68 daripada 7.67/7.68, tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 276.9/277.4 daripada 276.9/277.5 dan turun berbanding baht Thai kepada 13.1283/1517 daripada 13.1137/1360.

-- BERNAMA

Tiga renjer cedera dalam insiden tembakan, letupan bom di Narathiwat



Tiga renjer cedera dalam insiden tembakan, letupan bom di Narathiwat

Bernama

24/12/2024


Pihak polis menerima laporan mengenai kejadian tembakan melibatkan kira-kira 10 suspek kumpulan bersenjata dengan anggota renjer.


NARATHIWAT: Tiga anggota renjer cedera dalam insiden berbalas tembakan dengan kumpulan bersenjata serta serangan bom buatan sendiri di Daerah Si Sakhon, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Si Sakhon, Kol. Pol. Pakkawat Wansanuk berkata pihak polis menerima laporan mengenai kejadian tembakan melibatkan kira-kira 10 suspek kumpulan bersenjata dengan anggota renjer pada 9.30 pagi waktu tempatan.

"Anggota polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati tiga anggota renjer cedera dan beberapa kelongsong peluru M16 ditemukan di tempat kejadian," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Pakkawat menjelaskan bahawa siasatan polis menemukan lubang sedalam kira-kira dua meter yang dipercayai digunakan oleh kumpulan bersenjata itu untuk menanam bom buatan sendiri seberat 25 kilogram.

Katanya, polis percaya bom itu dipasang dalam tong gas dan diaktifkan menggunakan alat kawalan.

Menurutnya, semasa kejadian enam anggota renjer sedang menjalankan siasatan susulan aduan mengenai letupan bom di kawasan berkenaan.

"Tiga anggota renjer yang cedera kini dirawat di Hospital Narathiwat Rachanakharin dan keadaan mereka dilaporkan stabil," katanya.

Pakkawat berkata pihak polis kini giat memburu individu atau kumpulan yang terlibat dalam serangan itu.

-- BERNAMA

IHPR Malaysia turun 0.4 peratus pada November - Jabatan Perangkaan



IHPR Malaysia turun 0.4 peratus pada November - Jabatan Perangkaan

Bernama

24/12/2024


Dr Mohd Uzir berkata, sektor perlombongan turun 8.3 peratus pada November 2024 berbanding penurunan yang ketara sebanyak 17.3 peratus pada Oktober 2024. - Gambar fail/Bernama


KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia turun 0.4 peratus pada November 2024, lebih perlahan berbanding penurunan 2.4 peratus dicatatkan pada Oktober 2024, ia disebabkan oleh sektor perlombongan yang terus menunjukkan trend penurunan, kata Jabatan Perangkaan (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sektor perlombongan turun 8.3 peratus pada November 2024 berbanding penurunan yang ketara sebanyak 17.3 peratus pada Oktober 2024 disebabkan oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah (-14.8 peratus).

"Sektor pembuatan mencatatkan penurunan lebih kecil, 1.8 peratus berbanding penurunan 2.6 peratus pada Oktober 2024.

"Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh harga lebih rendah dalam indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-16.8 peratus) dan pembuatan bahan kimia dan produk kimia (-5.1 peratus)," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan mencatatkan peningkatan ketara 21.8 peratus berbanding 13.8 peratus pada bulan sebelumnya, ia disokong oleh indeks penanaman tanaman kekal yang melonjak 37.7 peratus, kata Mohd Uzir.

"Pada asas bulanan, IHPR menokok 1.4 peratus pada November 2024 (Oktober 2024: -0.7 peratyus), disokong oleh sektor pertanian. Perhutanan dan perikanan merekodkan peningkatan 8.5 peratus (Oktober 2024: 6.0 peratus), disokong kebanyakannya oleh indeks Penanaman tanaman kekal, meningkat 13.6 peratus. Sektor Perlombongan pula melonjak 5.7 peratus berbanding penurunan 2.7 peratus pada Oktober 2024.

"Indeks Barang siap meningkat 0.4 peratus (Oktober 2024: 1.1 peratus) disebabkan oleh indeks kelengkapan modal (1.3 peratus)," katanya.

Bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya, merosot 2.0 peratus (Oktober 2024: -8.7 peratus), dipengaruhi oleh penurunan indeks bahan bukan makanan (-2.4 peratus), indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen susut 0.2 peratus (Oktober 2024: -1.9 peratus) disebabkan oleh bahan api yang diproses dan pelincir (-4.2 peratus).

Perbandingan antara negara terpilih menunjukkan bahawa IHPR Amerika Syarikat meningkat 3.0 peratus bulan ini berbanding peningkatan 2.6 peratus pada Oktober 2024, disebabkan oleh indeks permintaan akhir.

Dalam pada itu, HPR Jepun meningkat 3.7 peratus berbanding 3.6 peratus pada bulan sebelumnya kebanyakannya disebabkan oleh kos produk pertanian, perhutanan dan perikanan.

Sebaliknya, harga pintu kilang barangan yang dikeluarkan oleh United Kingdom merosot 0.6 peratus pada November 2024, menyederhana daripada penurunan 0.9 peratus pada Oktober 2024, didorong oleh kos lebih rendah bagi bahan kimia manakala China juga mencatatkan penurunan 2.5 peratus pada November 2024 berbanding penurunan 2.9 peratus pada bulan sebelumnya.

Mengenai harga komoditi terpilih semasa Malaysia, Mohd Uzir berkata harga minyak mentah global mengalami turun naik disebabkan faktor seperti keputusan bekalan oleh pengeluar minyak utama dan kebimbangan terhadap permintaan global berdasarkan kepada Laporan Pasaran Minyak Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) November 2024.

"Secara keseluruhan, harga minyak mentah Brent berjulat antara US$71 hingga US$75 setong pada bulan itu. Walaupun harga minyak mentah global menurun disebabkan oleh lebihan bekalan dan kebimbangan ekonomi, harga Malaysia meningkat, disokong oleh kekuatan mata wang dan dinamik permintaan serantau.

"Sementara itu, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), harga minyak sawit mentah Malaysia berlegar sekitar RM5,000 satu tan mentrik bulan ini, disokong oleh ketidaktentuan dalam bekalan eksport dan penurunan dalam pengeluaran," katanya.

-- BERNAMA

Nahas ngeri Ayer Keroh: Siasatan terperinci, audit keselamatan terhadap syarikat kenderaan terlibat - JPJ



Nahas ngeri Ayer Keroh: Siasatan terperinci, audit keselamatan terhadap syarikat kenderaan terlibat - JPJ

Bernama

24/12/2024


Aedy Fadly berkata, pihaknya memandang serius trend kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan sehingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya yang lain. - Gambar fail/Bernama


PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menyiasat secara terperinci serta tindakan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA), bagi meneliti pelbagai aspek keselamatan terutamanya berkaitan teknikal terhadap syarikat kenderaan terlibat dalam kemalangan di KM204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di Melaka semalam, yang mengakibatkan tujuh maut dan 33 cedera.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata pihaknya memandang serius trend kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan sehingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya yang lain dan akan melipatgandakan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan terutamanya berkaitan kesalahan teknikal.

"JPJ akan menambah kerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berkaitan pemeriksaan penyalahgunaan dadah oleh pemandu, serta akan menyemak dan memeriksa prosedur pemeriksaan berkala kenderaan perdagangan yang dilakukan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) atau pusat pemeriksaan kenderaan yang dilantik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Aedy Fadly berkata JPJ akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT), untuk memeriksa dan memantau bengkel yang berdaftar dan juga bengkel haram yang disyaki menyediakan perkhidmatan menyewa peralatan bagi tujuan pemeriksaan di pusat pemeriksaan kenderaan.

JPJ juga akan menilai semula dan menambah baik latihan dan kursus kepada pemandu kenderaan perdagangan dan menambah elemen pematuhan dan pengetahuan teknikal kepada pemandu sebelum sijil dikeluarkan.

Beliau turut mengingatkan semua pemandu kenderaan perdagangan supaya sentiasa bertanggungjawab dalam mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan dari semasa ke semasa.

"Tahun 2025 akan dijadikan tahun penguatkuasaan dengan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang mempunyai cubaan dalam langkah bersubahat melakukan kesalahan teknikal, terutamanya berkaitan kenderaan perdagangan," katanya.

Terdahulu Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan telah mengarahkan JPJ segera menjalankan siasatan berhubung punca kemalangan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap syarikat treler dan bas yang terlibat.

Tujuh termasuk lima sekeluarga maut, manakala 33 cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV).

Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu dan empat penumpang MPV serta pemandu dan penumpang bas berkenaan.

-- BERNAMA

Pejabat KDPB Sultan Pahang dinamakan sebagai Majlis Kesultanan Pahang



Pejabat KDPB Sultan Pahang dinamakan sebagai Majlis Kesultanan Pahang

Bernama

24/12/2024


Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menukar nama Pejabat Kebawah Duli Paduka Baginda (KDPB) Sultan Pahang kepada Majlis Kesultanan Pahang berkuat kuasa 1 Jan ini. -Foto istanapahang.my


KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menukar nama Pejabat Kebawah Duli Paduka Baginda (KDPB) Sultan Pahang kepada Majlis Kesultanan Pahang berkuat kuasa mulai 1 Jan ini.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menukar nama Pejabat Kebawah Duli Paduka Baginda (KDPB) Sultan Pahang kepada Majlis Kesultanan Pahang mulai 1 Jan.

Penukaran nama ini mencatat sejarah bagi institusi tersebut, yang bertanggungjawab dalam semua urusan membabitkan Sultan Pahang.

Majlis Kesultanan Pahang akan menguruskan semua urusan rasmi dan tidak rasmi Istana Pahang, selaras dengan kedudukan Sultan sebagai Raja Pemerintah Negeri Pahang.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Istana Pahang Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata dengan penukaran nama itu, satu lagi sejarah terlakar bagi institusi berkenaan yang berperanan memikul tanggungjawab dalam semua urusan membabitkan Sultan Pahang.

Dalam satu kenyataan hari ini yang dimuat naik di Facebook dan Instagram Kesultanan Pahang, beliau berkata ini termasuk segala urusan keseluruhan institusi Istana Pahang sama ada membabitkan urusan rasmi atau tidak rasmi.
.
"Ia (Majlis Kesultanan Pahang) juga berfungsi bertepatan dengan kedudukan baginda sebagai Sultan dan Raja Pemerintah Negeri Pahang dan jajahan takluknya yang memerintah mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang," katanya

-- BERNAMA

Sebarang usaha tanam bibit pertentangan kaum mesti dielakkan - PM Anwar



Sebarang usaha tanam bibit pertentangan kaum mesti dielakkan - PM Anwar

Bernama

24/12/2024


Anwar berkata semua rakyat Malaysia saling memerlukan dan melengkapi, terutamanya dalam usaha membina identiti negara bangsa yang berjaya dan berketerampilan. - Gambar FB Anwar Ibrahim


KUALA LUMPUR: Sebarang usaha menanam bibit dan gejala memicu pertentangan kaum di negara ini mesti dielakkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini sempena Hari Krismas yang bakal disambut penganut agama Kristian esok, Anwar berkata semua rakyat Malaysia saling memerlukan dan melengkapi, terutamanya dalam usaha membina identiti negara bangsa yang berjaya dan berketerampilan.

Beliau berkata Malaysia tidak seharusnya gagal dan dilumpuhkan hanya kerana kepentingan beberapa kelompok.

"... malah mesti dilonjak nilai dan prinsip keadilan sejagat agar menyemangati hasrat dan harapan besar tokoh dan pendiri bangsa yang mahukan negara ini di baris depan menjulang masa depan dan maruah bangsa.

"Sering saya tekankan betapa perbedaan kaum dan budaya adalah resipi kemakmuran kepada mana-mana negara yang mendambakan kerukunan dan keamanan atas dasar dan prinsip hidup berdamping," kata beliau.

Perdana Menteri dalam hantaran sama turut mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas kepada seluruh penganut Kristian.

"Acara dan perayaan Krismas tanggal 25 Dis saban tahun kembali menjelang dan menceriakan ramai penganut Kristian di serata dunia dan Malaysia tidak terkecuali.

"Selamat menyambut Hari Krismas kepada seluruh penganut Kristian, dengan titipan agar luangkan masa yang secukupnya bersama yang tersayang di hari besar ini dan hidupkan kecintaan antara insan," kata beliau.

Anwar berkata sebagai negara yang beragam dan rencam ras serta budaya, perayaan-perayaan besar seperti Krismas terus menjadi sumber kekuatan dan perpaduan dalam kalangan kaum di Malaysia.

Hari Krismas disambut pada 25 Dis setiap tahun oleh penganut Kristian.

-- BERNAMA

Guna tenaga Bumiputera capai 9.8 juta pada 2023 - DOSM



Guna tenaga Bumiputera capai 9.8 juta pada 2023 - DOSM

Bernama

24/12/2024


Guna tenaga Bumiputera mencapai 9.8 juta pada 2023 dengan kadar penyertaan tenaga buruh sebanyak 67.2 peratus.- Gambar hiasan/BERNAMA


PUTRAJAYA: Guna tenaga Bumiputera mencapai 9.8 juta pada 2023 dengan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) sebanyak 67.2 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata KPTB bagi lelaki Bumiputera kukuh pada 80.8 peratus manakala kadar bagi wanita pada 53.4 peratus.

"Dalam kalangan tenaga buruh Bumiputera, sumbangan tenaga buruh yang berpendidikan menengah dan setaraf adalah 56.2 peratus sementara yang berpendidikan tertiari meningkat kepada 38.2 peratus, berbanding 37.1 peratus pada tahun 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata pada 2023, etnik Bumiputera mencatatkan 363,102 bilangan kelahiran hidup berbanding 344,281 kelahiran hidup pada tahun sebelumnya dengan jumlah kadar kesuburan bagi wanita Bumiputera meningkat sedikit kepada 2.1 ketimbang 2.0 pada 2022, menunjukkan tahap penggantian penduduk yang stabil.

Mengenai statistik siswazah, beliau berkata Malaysia mempunyai 3.7 juta siswazah Bumiputera, dengan 1.6 juta lelaki dan 2.1 juta wanita serta kadar penyertaan tenaga buruh siswazah (KPTBS) pada 85 peratus.

Berhubung bilangan profesional Bumiputera terpilih yang berdaftar dengan badan profesional sehingga 2023, katanya seramai 12,222 direkodkan sebagai akauntan berdaftar, 10,057 orang peguam berdaftar, 7,880 doktor gigi berdaftar, 3,055 juruukur bahan berdaftar, 1,013 arkitek berdaftar dan 359 juruukur tanah berlesen.

"Dari segi pertumbuhan tahunan, bilangan peguam berdaftar Bumiputera, juruukur tanah berlesen Bumiputera dan doktor gigi berdaftar Bumiputera mencatatkan peningkatan pertumbuhan dua digit iaitu masing-masing sebanyak 13.7 peratus, 12.2 peratus dan 11.8 peratus berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Statistik hartanah pula menunjukkan individu Bumiputera menyumbang 34.2 peratus daripada jumlah transaksi hartanah kediaman, dengan nilai pindah milik RM34.5 bilion daripada jumlah keseluruhan RM100.9 bilion.

Sementara dalam segmen hartanah komersial, transaksi Bumiputera meningkat daripada RM2.1 bilion pada 2022 kepada RM2.3 bilion pada 2023, mencerminkan trend kenaikan yang stabil dalam aktiviti perniagaan dan pelaburan dalam kalangan komuniti itu.

-- BERNAMA

Polis Terengganu rampas dadah bernilai lebih RM7 juta



Polis Terengganu rampas dadah bernilai lebih RM7 juta

Bernama

24/12/2024


Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu bernilai RM7.8 juta yang dirampas. - Foto BERNAMA


BANDAR PERMAISURI: Polis Terengganu berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 244 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM7.8 juta dalam operasi trafik di Kilometer 62 Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu dekat Kampung Rahmat di sini pada Ahad.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata dadah itu ditemukan kira-kira 9 pagi di dalam sebuah kereta pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang ditinggalkan seorang lelaki berusia 30-an yang melarikan diri ke dalam ladang kelapa sawit di lokasi berhampiran.

"Sebelum itu suspek dipercayai warga tempatan yang memandu kenderaan MPV itu berhenti secara mengejut dalam keadaan mencurigakan dalam jarak 100 meter di kiri bahu jalan daripada kawasan sepasukan anggota polis trafik sedang melakukan operasi.

"Pasukan trafik telah menghampiri MPV berkenaan dan seorang lelaki keluar dari kenderaan itu lalu terus melarikan diri ke kawasan kebun sawit," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu di sini hari ini.

Mohd Khairi berkata polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah berjaya membuka pintu MPV itu dan hasil pemeriksaan telah menemui guni berisi paket plastik perak dan keemasan berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 244 kg. Ia merupakan rampasan dadah terbesar di Terengganu tahun ini.

Tambah beliau, dalam operasi sama, polis turut mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton dalam keadaan mencurigakan kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian yang dipercayai rakan suspek.

"Semasa pemeriksaan, suspek (pemandu Mitsubishi Triton) cuba merempuh anggota polis sehingga memaksa polis melepaskan tembakan ke arah tayar kenderaan itu.

"Suspek terus memecut kenderaan melarikan diri dan pacuan empat roda itu telah dijumpai di ladang kelapa sawit dalam keadaan berkunci tanpa pemandu dan pemeriksaan di dalam kenderaan menemui plat nombor pendaftaran kenderaan asal Toyota Vellfire berkenaan," katanya.

Mohd Khairi menambah, usaha mengesan kedua-dua suspek turut dibantu oleh Unit Anjing Pengesan Polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA), namun setakat ini suspek masih gagal dikesan.

Bagaimanapun, beliau berkata usaha mengesan suspek dan pemilik kenderaan sedang giat dijalankan dan kenderaan terlibat akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati dadah berkenaan dibawa masuk dari Kelantan untuk pasaran luar Terengganu dan ia boleh digunakan oleh seramai 1.2 juta orang penagih," katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

Pemandu e-hailing didakwa bunuh Nurul Asikin



Pemandu e-hailing didakwa bunuh Nurul Asikin

Bernama

24/12/2024


Zakwan Mokhtar dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh Nurul Asikin Lan yang mayatnya ditemui di dalam longkang di Jalan Setia Raja, Tabuan, pada 14 Dis lalu. -Bernama

KUCHING: Seorang pemandu e-hailing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita, Nurul Asikin Lan, yang mayatnya ditemui di dalam longkang di Jalan Setia Raja, Tabuan, di sini pada 14 Dis lepas.

Zakwan Mokhtar, pemandu e-hailing, dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh Nurul Asikin Lan, yang mayatnya ditemui di dalam longkang di Jalan Setia Raja, Tabuan.

Zakwan didakwa menyebabkan kematian Nurul Asikin pada 6 Disember dan tiada pengakuan direkodkan kerana kes ini di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Di Mahkamah Majistret berasingan, Zakwan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah memberi maklumat palsu kepada polis berkaitan kes tersebut.

Zakwan Mokhtar, 23, yang tidak diwakili peguam, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali namun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Zakwan didakwa menyebabkan kematian Nurul Asikin, 28, pada 6 Dis lepas sebelum mayat wanita berkenaan yang reput serta dalam keadaan menyayat hati, ditemui di dalam longkang di Jalan Setia Raja, Tabuan, di sini pada 9.10 malam, 14 Dis lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati, boleh disebat dengan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Syarifah Fatimah Azura menetapkan 10 Feb tahun depan untuk sebutan semula kes selepas Timbalan Pendakwa Raya Jean Siow Chung Hwei memaklumkan pihaknya sedang menunggu laporan penuh asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat mangsa yang dilaporkan hilang pada 5 Dis lepas.

Di Mahkamah Majistret berasingan, Zakwan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memberi maklumat palsu kepada polis berkaitan kes berkenaan.

Dia membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan yang turut memerintahkan hukuman penjara tersebut berkuat kuasa hari ini.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur pada 8.53 malam,10 Dis lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Zakwan memberi maklumat palsu selepas takut dan risau mengenai kes kehilangan mangsa telah tular di media sosial.

-- BERNAMA

EKSlDEN 5 KENDERAAN DI LEBUHRAYA PLUS BERHAMPIRAN RNR AYER KEROH, MELAKA









WANITA SOUND TIKTOKER FEMES "SCAM" RATUSAN RINGGIT DUIT MODAL









PATI Dicekup Selepas Kenderaan Dinaiki Terbabas









Mahkamah Tolak Permohonan Syed Saddiq

 







FAM gantung Persatuan Bolasepak Kelantan berkuatkuasa serta-merta



FAM gantung Persatuan Bolasepak Kelantan berkuatkuasa serta-merta

Astro Arena

24/12/2024


Penggantungan selepas FAM memutuskan Kongres KAFA kali ke-65 dan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA bagi Sesi 2024-2028 tidak sah.


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) secara majoriti mengambil keputusan untuk menggantung keahlian Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) daripada menjadi Ahli Gabungan FAM berkuatkuasa serta-merta bermula semalam.

Tindakan itu selepas memutuskan Kongres KAFA kali ke-65 dan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA bagi Sesi 2024-2028 yang telah berlangsung pada 19 Disember lalu adalah tidak sah dan telah dimaklumkan kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia.
.
Ia juga disebabkan terdapatnya gabungan yang tidak dibenarkan hadir dan tidak dijemput ke kongres itu selain prosedur dan tatacara pengendalian kongres itu dilakukan secara tidak teratur mengikut prosedur yang ditetapkan oleh FAM.

Malah, tindakan itu diambil berdasarkan Artikel 17 Statut FAM iaitu Jawatankuasa Eksekutif FAM boleh menggantung keahlian mana-mana ahli.

Oleh itu, berdasarkan siaran media yang dikeluarkan hari ini menjelaskan FAM meminta agar KAFA kembali mengadakan kongres dan pemilihan semula secepat mungkin. -- Stadium Astro

MCMC taking immediate action on red IC application scam - Teo



MCMC taking immediate action on red IC application scam - Teo

Bernama

24/12/2024


The Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC) is taking immediate action to address scams relating to MyPR (Red IC) application pages on Facebook, said Deputy Communications Minister Teo Nie Ching. File pic by BERNAMA


KUALA LUMPUR: The Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC) is taking immediate action to address scams relating to MyPR (Red IC) application pages on Facebook, said Deputy Communications Minister Teo Nie Ching.

Teo, in a Facebook post today, said that she has been receiving reports of pages falsely claiming to assist with MyPR (Red IC) applications, some even promising approval within 21 days, and such fraudulent activities will be investigated, with the perpetrators brought to justice.

"I urge everyone to remain vigilant and question the legitimacy of what they encounter online, particularly when it seems too good to be true. Remember, misinformation spreads quickly, and taking a moment to verify claims can save you from falling victim.

"Many of these fraudulent posts are paid advertisements, which raises a critical question: how can platforms like Facebook, or their parent company Meta, allow such content to circulate without proper verification? This is a serious oversight that compromises user safety," she said.

Teo also explained that the process of obtaining permanent residency in Malaysia is complex and lengthy, involving multiple stages and strict protocols under the Home Ministry to ensure national security.

According to her, it is impossible for anyone to bypass these procedures or guarantee expedited approvals.

Teo said this situation shows the importance of the Online Safety Act 2024 and the Social Media Licensing Framework passed in the Dewan Rakyat recently.

She added that the frameworks, which will be enforced on Jan 1 next year, hold platform providers accountable, ensuring they act ethically and responsibly to protect users from harmful content.

"With these frameworks, we can compel platforms like Meta to not only remove misleading advertisements swiftly but also implement stricter measures to verify content before it reaches the public.

"Let's work together to create a safer, more trustworthy online environment for everyone," she added.

-- BERNAMA

Police identify five victims in fatal crash at KM204 PLUS expressway



Police identify five victims in fatal crash at KM204 PLUS expressway

Bernama

24/12/2024


The police have identified five of the seven victims killed in a crash involving five vehicles at KM204 PLUS expressway. - BERNAMA


ALOR GAJAH: The police have identified five of the seven victims killed in a crash involving five vehicles - a bus, car, two lorries and a multi-purpose vehicle (MPV) - at Kilometre 204 of the northbound North-South Expressway (PLUS) here last night.

Alor Gajah district police chief Supt Ashari Abu Samah identified the victims as MPV driver Khairul Ikhwan Mazupi, 32, and his son, two-year-old Muhammad Umar, from Bandar Baru Bangi, Selangor.

The others are two other passengers in the MPV, Fadzlenna Ramli, 32, her father Ramli Ab Wahab, 67, from Pantai Dalam, Kuala Lumpur and bus driver Noorisnien Khamid, 56, (he), (rpt: Noorisnien Khamid) from Skudai, Johor.

The identity of the other two fatalities, a passenger in the MPV and a bus passenger, has yet to be ascertained, he said.

He said the crash was believed to have happened when a dislodged tyre from a lorry, which was heading towards the south, landed in the middle of the road.

The driver of the bus, with 27 passengers, which was coming from the same direction could not avoid hitting the tyre, forcing him to lose control of the wheel. The bus then skidded into the opposite lane before crashing into a car and then the lorry and the MPV, he said in a statement.

He said the impact of the crash caused the car to veer into the left lane and then crash into the road barrier.

"The crash resulted in the death of seven people at the scene involving a driver and four MPV passengers in addition to a bus driver and a bus passenger. The bodies were sent to Melaka Hospital for post-mortem while the case is investigated under Section 41(1) of the Road Transport Act 1987," he said.

-- BERNAMA

Lelaki maut selepas terjun dari jambatan di Klang









PNB umum agihan pendapatan ASB 5.50 sen, bonus 0.25 sen

 







KLCC Holdings akan majukan tanah di Bandar Malaysia



KLCC Holdings akan majukan tanah di Bandar Malaysia

Bernama

24/12/2024




KUALA LUMPUR: KLCC (Holdings) Sdn Bhd (KLCCH) telah bersetuju dengan Bandar Malaysia Sdn Bhd dan Bandar Malaysia Land Sdn Bhd untuk membangunkan tanah seluas 196.67 hektar di Bandar Malaysia.


Ia adalah tapak bekas pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi, di sini.

Perjanjian untuk memperoleh tanah itu dibuat pada 4 Oktober, 2024, kata KLCCH dalam satu kenyataan semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan media mengenai anak syarikatnya, KLCC Property Holdings Bhd (KLCCP) membeli tanah seluas 196.67 hektar di Bandar Malaysia pada harga lebih RM10 bilion.

KLCCP dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata KLCCP bukan pembeli tanah seperti yang dilaporkan oleh portal berita kewangan, The Edge.

"KLCCP mahu memaklumkan bahawa kami bukan pihak yang terlibat dalam urus niaga berkenaan. Kami bukan pembeli tanah seperti yang dilaporkan," katanya.

Bandar Malaysia adalah projek pembangunan berskala besar disasarkan untuk menjadi hab bandar bercampur dengan kemudahan kediaman, komersial dan berorientasikan transit (pembangunan bandar yang memperluas ruang dan jumlah kawasan berpenduduk, perniagaan dan ruang lapang untuk jarak berjalan dengan pengangkutan awam).

KLCCH berkata ia akan melaksanakan pembangunan berdasarkan daya maju komersial dalam tempoh jangka panjang.

"Pembangunan ini dirancang sebagai hab perniagaan antarabangsa dan bandar yang boleh didiami dan inklusif untuk komuniti," katanya.

Dengan dua daripada pembangunan paling ikonik di negara ini, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Putrajaya, KLCCH berkata bahawa ia telah membuktikan visi strategik dalam pembangunan bandar berskala besar, menetapkan standard dalam perancangan induk dan kelestarian.

-- BERNAMA

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pagi ini



Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pagi ini

Bernama

24/12/2024


Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4860/4960 berbanding dolar AS. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS pagi ini, disokong oleh sentimen belian yang lebih baik untuk mata wang tempatan walaupun Indeks Dolar Amerika Syarikat (DXY) lebih kukuh.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4860/4960 berbanding dolar AS daripada 4.4870/4925 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata DXY meningkat 0.45 peratus semalaman, melepasi 108 dan menghampiri paras tertinggi bagi tempoh dua tahun.

"Ini berlaku selepas pasaran terus mencerna mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) minggu lepas, menandakan kadar penurunan kadar faedah yang lebih terukur pada 2025," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Indeks Dolar Asia dibuka lebih tinggi, bagaimanapun Indeks Mata Wang Pasaran Baru Muncul MSCI susut 0.1 peratus, diseret turun oleh kemerosotan dalam mata wang sebenar Brazil dan rand Afrika Selatan.

Dalam pada itu, ringgit didagangkan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 2.8537/8602 daripada 2.8636/8673 ketika ditutup pada Isnin, melonjak berbanding pound Britain kepada 5.6219/6344 daripada 5.6384/6453 dan naik berbanding euro kepada 4.6668/6772 daripada 4.6692/6749.

Berbanding mata wang ASEAN lain, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.3051/3127 daripada 3.3095/3138 sebelumnya dan meningkat berbandingf baht Thailand kepada 13.0772/1186 daripada 13.1137/1360.

Bagaimanapun, ringgit tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 276.9/277.7 daripada 276.9/277.5 dan peso Filipina pada 7.67/7.69 daripada 7.67/7.68.

-- BERNAMA

Tiket hari kedua konsert genKRU laris terjual dalam 45 minit



Tiket hari kedua konsert genKRU laris terjual dalam 45 minit

Bernama

24/12/2024


Tiket konsert genKRU habis dijual dalam tempoh sejam membuatkan ramai peminat hampa. - Foto Instagram/Axiata Arena


KUALA LUMPUR: Konsert genKRU yang dijadualkan pada 3 dan 4 Mei depan nyata menerima sambutan luar biasa apabila tiket untuk hari kedua persembahan habis terjual dalam tempoh 45 minit sahaja selepas jualan dalam talian dibuka pada 3 petang semalam.

Penganjurnya ICON Entertainment menyifatkan sambutan itu sebagai satu fenomena yang mencerminkan penghargaan dan rasa sayang peminat terhadap kumpulan trio adik-beradik tersebut.

"Kami amat terharu dengan sambutan ini, tiket hari pertama (konsert) habis dijual dalam masa sejam dan tiket hari kedua pula hanya dalam 45 minit.

"Sekarang menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan semua genKRU yang telah berjuang mendapatkan tiket hari pertama dan kedua mendapat kepuasan maksimum di kedua-dua hari konsert itu kelak," kata pengasas ICON Entertainment Iman Tang dalam kenyataan hari ini.

Pada 20 Dis lepas, tiket konsert genKRU habis dijual dalam tempoh sejam membuatkan ramai peminat hampa, dan bagi memenuhi permintaan, penganjur mengumumkan penjualan tiket hari kedua konsert.

Selepas enam tahun bubar, KRU yang dianggotai Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim kembali bergabung di pentas industri muzik bagi mengubat kerinduan peminat setia mereka.

Kumpulan adik-beradik itu yang popular dengan lagu-lagu seperti Mengerti, Fanatik, Awas, Generasiku dan Terhangat di Pasaran turut mengalu-alukan artis lain untuk berkongsi pentas dan menambahkan kehangatan persembahan genKRU yang bertemakan era 90-an.

-- BERNAMA

Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini



Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini

Bernama

24/12/2024


Pada pukul 9.07 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.56 mata kepada 1,598.76 daripada 1,596.20 pada Isnin. -Gambar fail/Bernama


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada ini, menjejaki pergerakan positif prestasi semalaman Wall Street, kata seorang penganalisis.

Pada pukul 9.07 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.56 mata kepada 1,598.76 daripada 1,596.20 pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran memulakan hari dengan naik 0.44 mata kepada 1,596.64.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 149 berbanding 131, sebanyak 292 kaunter kekal tidak berubah, 1,851 tidak diniagakan dan sembilan digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 125.63 juta unit bernilai RM70.83 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Ekuiti Amerika Syarikat (AS) ditutup lebih tinggi walaupun dibuka rendah kerana peniaga yakin dengan kenaikan ketika musim perayaan Krismas dalam persekitaran minggu dagangan yang singkat.

Di peringkat tempatan, Thong berpendapat bahawa FBM KLCI membuat percubaan untuk menembusi paras 1,600 semalam tetapi tidak berjaya, berkemungkinan disebabkan aktiviti jualan asing dalam pasaran tempatan.

"Bagaimanapun, tekanan jualan nampaknya berkurangan seperti ditunjukkan menerusi volum dagangan harian rendah iaitu hanya 2.4 bilion saham.

"Untuk hari ini, kami menjangkakan sesi dagangan yang lengang dengan indeks diunjur berlegar antara 1,595 dan 1,605," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, Tenaga Nasional dan IHH Healthcare tidak berubah masing-masing pada RM10.08, RM14 and RM7.03 manakala Public Bank menambah dua sen kepada RM4.54 dan CIMB naik tiga sen kepada RM7.98.

Bagi saham aktif, Winstar Capital melonjak 2.5 sen kepada 63 sen, Datasonic menokok 0.5 sen kepada 42.5 sen manakala Yew Lee turun 0.5 sen kepada 51.5 sen, Aizo tidak berubah pada 12.5 sen sementara Capital A susut satu sen kepada 97 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 13.75 mata kepada 12,262.73, Indeks FBM Emas Shariah naik 3.64 mata kepada 12,216.76, Indeks FBMT 100 menambah 11.15 mata kepada 11,945.86, Indeks FBM ACE menokok 4.26 mata kepada 5,251.53, bagaimanpun Indeks FBM 70 susut 12.56 mata kepada 18,369.13.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 24.19 mata kepada 18,882.48, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.15 mata kepada 170.44, Indeks Tenaga meningkat 1.18 mata kepada 7,488.99 manakala Indeks Perladangan melonjak 1.18 mata kepada 7,488.99.

-- BERNAMA

Empat negeri dijangka hujan, ribut petir pada pagi Krismas



Empat negeri dijangka hujan, ribut petir pada pagi Krismas

Bernama

24/12/2024


Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak dijangka mengalami hujan dan ribut petir pada malam. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR: Empat negeri melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak dijangka mengalami hujan dan ribut petir pada pagi sambutan Krismas, esok.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam hantaran di Facebook memaklumkan Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak akan mengalami cuaca sama pada sebelah petang.

Selain itu, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak dijangka mengalami hujan dan ribut petir pada malam.

MetMalaysia mengingatkan orang ramai untuk merancang perjalanan dan aktiviti, serta muat turun aplikasi myCuaca menerusi Google Play dan App Store untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih di MET Malaysia.

-- BERNAMA

Rusia pertimbang penerbangan terus dengan Brazil, Malaysia, Pakistan



Rusia pertimbang penerbangan terus dengan Brazil, Malaysia, Pakistan

Bernama

23/12/2024


Kementerian Pengangkutan Rusia sedang mengadakan rundingan untuk melancarkan penerbangan terus ke Brazil, Malaysia, dan Pakistan. - Foto hiasan


MOSCOW: Kementerian Pengangkutan Rusia sedang mengadakan rundingan untuk melancarkan penerbangan terus ke Brazil, Malaysia, dan Pakistan, kata menterinya Roman Starovoyt dalam satu temu bual dengan Agensi Berita Rusia (TASS).

"Kami sedang mempertimbangkan Malaysia dan Brazil. Pakistan juga menghubungi kami baru-baru ini dengan permintaan yang sama. Kami turut menganalisis situasi di sana dan terlibat dalam dialog berterusan. Sudah tentu, kami berminat untuk mempunyai wakil perniagaan pelancongan turut mengambil bahagian dalam rundingan ini," katanya.

Beliau menyatakan bahawa Rusia sedang mengadakan rundingan dengan banyak syarikat penerbangan dari negara sahabat.

"Rangkaian laluan kami sentiasa berubah. Kami bersedia untuk bekerja berdasarkan prinsip pariti, saling menghormati dan pematuhan semua peraturan antarabangsa," kata menteri itu.

Menurut Starovoyt, untuk melancarkan perkhidmatan udara dengan mana-mana negara, adalah perlu untuk membincangkan perspektif trafik penumpang dengan syarikat penerbangan terlebih dahulu.

"Saya percaya untuk membangunkan laluan dengan betul, adalah perlu bermula dengan penerbangan sewa supaya penumpang dapat memahami bagaimana infrastruktur pelancongan berfungsi, jika perjalanan boleh dirancang dan bagaimana keselamatan dipastikan.

"Jika terdapat trafik penumpang, maka terdapat pilihan untuk mengubah haluan pesawat tertentu ke destinasi ini," tambahnya.

-- BERNAMA

Peniaga rugi lebih setengah juta diperdaya 'scammer'



Peniaga rugi lebih setengah juta diperdaya 'scammer'

Bernama

23/12/2024


Seorang peniaga kerugian lebih setengah juta ringgit apabila terperdaya dengan individu yang menyamar sebagai wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Sabtu lepas. - Foto hiasan


NILAI: Seorang peniaga kerugian lebih setengah juta ringgit apabila terperdaya dengan individu yang menyamar sebagai wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata pada 11.17 pagi tadi pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun memaklumkan menerima panggilan telefon daripada individu tersebut di premis perniagaannya.

Beliau berkata panggilan itu kemudian disambungkan kononnya ke Bukit Aman dan pengadu dimaklumkan bahawa akaun miliknya digunakan bagi aktiviti penggubahan wang haram.

"Pengadu menyatakan telah memindahkan wang ke 11 akaun diberikan suspek melalui 14 transaksi untuk tujuan pengesahan kewangan berjumlah RM655,000," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kes berasingan, Abdul Malik berkata seorang jururawat kerugian RM304,500 akibat terpedaya skim pelaburan saham.

Beliau berkata pihaknya menerima satu aduan daripada seorang wanita tempatan berusia 49 tahun yang menyatakan telah melihat satu iklan di aplikasi Facebook yang menawarkan skim pelaburan saham pada 4 Nov lepas.

"Pengadu berminat untuk melabur dalam sistem saham tersebut dan telah dihubungi individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil pihak DKCM.

"Mangsa kemudian diterangkan berkenaan skim pelaburan saham tersebut dan bersetuju untuk melabur sebelum memindahkan wang ke dalam lima akaun diberikan untuk tujuan pelaburan saham melalui 13 transaksi," katanya.

Beliau berkata pengadu sedar telah ditipu selepas WhatsApp pengadu disekat pada 3 Dis lepas selain tidak dapat mengeluarkan keuntungan seperti yang dijanjikan.

Abdul Malik berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis (IPD) Nilai telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan serta menangkap suspek bagi kedua-dua kes.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED