Translate

24 December 2024

Tiket hari kedua konsert genKRU laris terjual dalam 45 minit



Tiket hari kedua konsert genKRU laris terjual dalam 45 minit

Bernama

24/12/2024


Tiket konsert genKRU habis dijual dalam tempoh sejam membuatkan ramai peminat hampa. - Foto Instagram/Axiata Arena


KUALA LUMPUR: Konsert genKRU yang dijadualkan pada 3 dan 4 Mei depan nyata menerima sambutan luar biasa apabila tiket untuk hari kedua persembahan habis terjual dalam tempoh 45 minit sahaja selepas jualan dalam talian dibuka pada 3 petang semalam.

Penganjurnya ICON Entertainment menyifatkan sambutan itu sebagai satu fenomena yang mencerminkan penghargaan dan rasa sayang peminat terhadap kumpulan trio adik-beradik tersebut.

"Kami amat terharu dengan sambutan ini, tiket hari pertama (konsert) habis dijual dalam masa sejam dan tiket hari kedua pula hanya dalam 45 minit.

"Sekarang menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan semua genKRU yang telah berjuang mendapatkan tiket hari pertama dan kedua mendapat kepuasan maksimum di kedua-dua hari konsert itu kelak," kata pengasas ICON Entertainment Iman Tang dalam kenyataan hari ini.

Pada 20 Dis lepas, tiket konsert genKRU habis dijual dalam tempoh sejam membuatkan ramai peminat hampa, dan bagi memenuhi permintaan, penganjur mengumumkan penjualan tiket hari kedua konsert.

Selepas enam tahun bubar, KRU yang dianggotai Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim kembali bergabung di pentas industri muzik bagi mengubat kerinduan peminat setia mereka.

Kumpulan adik-beradik itu yang popular dengan lagu-lagu seperti Mengerti, Fanatik, Awas, Generasiku dan Terhangat di Pasaran turut mengalu-alukan artis lain untuk berkongsi pentas dan menambahkan kehangatan persembahan genKRU yang bertemakan era 90-an.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED