Translate

23 December 2024

KPDN Perak rekod 13 kes tidak patuhi SHMMP sepanjang tahun ini



KPDN Perak rekod 13 kes tidak patuhi SHMMP sepanjang tahun ini

Bernama

23/12/2024


Mohamad Kamarol (kanan) melihat barangan yang ditetapkan pada harga siling ketika membuat pemantauan pada hari pertama pelaksanaan SHMMP sempena sambutan Krismas 2024 di Pasaraya Mydin, Meru hari ini. - Gambar Bernama


IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merekodkan 13 kes pelanggaran di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sepanjang tahun ini, menurun dua kes berbanding 2023.

Timbalan Pengarah KPDN Perak, Mohamad Kamarol Mat Nor, berkata kesalahan tertinggi direkodkan semasa pelaksanaan SHMMP Hari Raya Aidilfitri dengan tujuh kes, diikuti SHMMP Tahun Baharu Cina (lima kes) dan SHMMP Deepavali (satu kes).

"Pemeriksaan dilaksanakan secara berterusan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani, dan pusat beli-belah di seluruh negeri," katanya dalam sidang media selepas Sesi Tinjauan SHMMP Krismas 2024 di Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya, di sini, hari ini.

Beliau turut memaklumkan pihaknya akan melaksanakan pemantauan khusus terhadap sembilan daripada 14 barangan yang disenaraikan di bawah SHMMP Krismas 2024.

"Barangan tersebut termasuk daging kambing biri-biri import bertulang, kubis bulat import, lobak merah, tomato, cili merah, lada benggala hijau, bawang merah besar import, bawang kuning besar, dan ubi kentang import dari China," katanya.

Sebanyak 197 pegawai penguat kuasa dan 74 Pegawai Pemantau Harga (PPH) ditugaskan sepanjang tempoh lima hari SHMMP Krismas 2024, bermula hari ini, bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan harga ditetapkan dengan permintaan terhadap barangan tertentu dijangka meningkat menjelang perayaan ini.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED