Translate

21 November 2024

2TM: PDRM tawar pengurangan saman 60 peratus



2TM: PDRM tawar pengurangan saman 60 peratus

Bernama

20/11/2024


PDRM menawarkan diskaun kompaun hingga 60 peratus bersempena dengan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024. - Foto hiasan/X/BERNAMA


KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun kompaun hingga 60 peratus bersempena dengan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini selama tiga hari bermula Jumaat ini.

Setiausaha Bahagian Komunikasi Korporat, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Fairul Nizam Che Rus berkata kadar diskaun tahun ini meningkat berbanding 50 peratus yang ditawarkan pada program tahun lepas.

"Untuk tahun ini, kita juga mendapat kawasan (ruang) yang luas, jadi kita dapat menjayakan 25 kaunter untuk pembayaran saman dari Jumaat hingga Ahad, bermula 9 pagi hingga 6 petang," katanya semasa menjadi tetamu Program Apa Khabar Malaysia di Bernama TV hari ini.

Selain itu, Fairul Nizam berkata KDN menerusi reruai sepanjang program, akan turut mengetengahkan perkhidmatan agensi lain di bawah kementerian itu selain menguar-uarkan kejayaan agensi berkenaan sepanjang dua tahun di bawah Kerajaan MADANI.

Antara pencapaian utama yang akan diketengahkan meliputi aspek keselamatan dan ketenteraman awam, pengurusan warga asing, pengurusan kewarganegaraan dan pengurusan pintu masuk yang menterjemahkan komitmen KDN dalam memastikan negara terus aman dan damai.

"Pada tahun ini, Malaysia menduduki tempat ke-10 bagi Indeks Keamanan Global, jauh dari tangga ke-19 pada 2023 dan kita (KDN) komited untuk terus kekal berada pada (kedudukan) 10 teratas tahun depan," katanya yang menyifatkan aspek keamanan penting untuk terus menarik pelabur ke negara ini.

Selain itu katanya, kejayaan KDN dalam pengurusan warga asing dapat dirumuskan menerusi peningkatan operasi dan penguatkuasaan Jabatan Imigresen terhadap pendatang tanpa izin atau mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan permit atau dokumen perjalanan masuk.

Fairul Nizam berkata turut akan uar-uarkan ialah penambahbaikan yang dilakukan di pintu masuk negara seperti penggunaan kod Respons Pantas (QR) di pintu sempadan Johor-Singapura bagi membantu rakyat terutamanya yang bekerja di negara jiran itu.

"Kita juga banyak membantu penduduk Malaysia yang tidak mempunyai dokumen ... hampir 20,000 (individu) kita berjaya cari dan mendokumenkan mereka untuk mendapat kad pengenalan atau surat beranak. Dalam konteks pindaan kewarganegaraan yang (telah) diluluskan (di Parlimen tahun ini), ia memberi hak kesamarataan kepada ibu.

"Dalam konteks Perlembagaan (Persekutuan) ayah boleh mewariskan (kewarganegaraan), tetapi ibu tidak boleh ... kita buat pindaan ini dan ia satu kejayaan untuk beri kesamarataan dalam konteks kewarganegaraan, untuk boleh diwariskan oleh ibu dan ayah itu sendiri," katanya.

Sementara itu, menerusi Facebook rasmi KDN, pengunjung juga berpeluang menukar al-Quran baharu menerusi program "Jom Exchange Al-Quran (JEQ)" dengan membawa naskah al-Quran lama yang tidak mempunyai perakuan KDN, yang terhad senaskah kepada seorang pengunjung.

Program 2TM dengan tema "MADANI di hati, Rakyat disantuni" akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 pagi, Sabtu.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED