Translate

23 October 2024

KPWKM terus beri perhatian isu keganasan rumah tangga - Noraini



KPWKM terus beri perhatian isu keganasan rumah tangga - Noraini

Bernama

23/10/2024


Noraini ketika ditemui pemberita selepas hadir Majlis Konvensyen Pemerkasaan Wanita, Keluarga & Masyarakat Peringkat Negeri Johor 2024 di Kompleks Sukan Educity pada Selasa. - Foto BERNAMA


ISKANDAR PUTERI: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus memberikan fokus terhadap isu keganasan rumah tangga, kata Timbalan Menteri berkaitan Datuk Seri Noraini Ahmad.

Beliau berkata sebanyak 577 kes direkodkan tahun lepas menerusi statistik penderaan membabitkan wanita oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) iaitu peningkatan daripada 422 kes pada 2022 dan untuk tahun ini sehingga Ogos sebanyak 442 kes dilaporkan.

"Walaupun kerajaan telah menguat kuasa Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, namun isu kekerasan dalam rumah tangga masih menjadi masalah serius. Masih ramai mangsa, terutama wanita dan kanak-kanak, menghadapi kesulitan untuk mendapatkan perlindungan dan sokongan.

"Selain itu, beberapa isu lain yang harus juga diberi perhatian bersama seperti isu pengabaian anak, kesihatan mental serta isu-isu berkaitan perkahwinan dan perceraian dalam kalangan pasangan yang secara tidak langsung boleh merapuhkan peranan dan fungsi institusi kekeluargaan di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Pemerkasaan Wanita, Keluarga dan Masyarakat peringkat negeri (Komentar 2024) di Kompleks Sukan Educity di sini, pada Selasa.

Noraini berkata masyarakat memainkan peranan yang sangat penting terutama dalam memberikan bantuan secara langsung bagi kes penderaan atau jenayah melibatkan keganasan keluarga.

Bagi Johor katanya sebanyak 21,074 kes yang merangkumi kategori kanak-kanak, dewasa, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas telah diberikan intervensi krisis oleh Sukarelawan Kaunselor Berdaftar (SKB) meliputi sesi kaunseling individu, pasangan, keluarga dan kelompok kepada komuniti.

"Kami percaya dengan penglibatan lebih ramai ahli komuniti bersama pihak kerajaan, seperti menyertai Skuad Waja di bawah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) boleh membantu lebih ramai rakyat negeriini menempuhi masalah mereka," katanya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED