Translate

23 October 2024

33,319 unit xEV dicatat setakat 30 Sept - Tengku Zafrul



33,319 unit xEV dicatat setakat 30 Sept - Tengku Zafrul

Bernama

23/10/2024


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, hari ini. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR: Jumlah kenderaan elektrifikasi (xEV) telah mencecah 33,319 unit setakat 30 Sept 2024, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata secara keseluruhannya, jumlah xEV ini mewakili kira-kira lima peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) dalam tempoh yang sama.

"Jumlah xEV ini termasuk kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) kira-kira lebih 15,000," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang ingin tahu pendirian kementerian terhadap kenderaan elektrik hibrid (HEV) dan kenderaan elektrik hibrid pemalam (PHEV) memandangkan kerajaan ingin merancakkan penggunaan BEV.

Tengku Zafrul berkata kerajaan melihat penggunaan HEV dan PHEV masih relevan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan.

Sebelum ini, kerajaan menyasarkan 20 peratus daripada jumlah tahunan kenderaan baharu menjelang 2030 adalah terdiri daripada xEV.

"Penggunaan kenderaan HEV dan PHEV menyokong hasrat negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050," katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata sebanyak 4,984 permohonan bagi Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik atau dikenali MARiiCas telah diluluskan bagi program tersebut.

Melalui rebat itu, rakyat Malaysia berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah akan diberikan subsidi secara rebat tunai sebanyak RM2,400 untuk pembelian motosikal dan RM200 sebulan selama 12 bulan untuk permohonan langganan. Ia akan tamat pada 31 Disember ini.

Ia merupakan skim rebat pembelian atau langganan motosikal elektrik oleh Institut Automotif Robotik Dan IoT Malaysia (MARii) di bawah Belanjawan 2024 bertujuan menggalakkan rakyat beralih kepada kenderaan berasaskan elektrik.

"Sekiranya ia diteruskan, ramai yang akan mendapat manfaat dan peluang untuk menggunakan teknologi kenderaan elektrik dengan harga berpatutan," katanya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED