Translate

07 August 2024

KPJ Healthcare perkenal identiti jenama baharu



KPJ Healthcare perkenal identiti jenama baharu

Bernama

07/08/2024

Dari kiri, Ismail, Norazman, Syed Mohamed dan Chin bergambar selepas majlis penjenamaan semula identiti baharu di ibu pejabat KPJ Healthcare di Kuala Lumpur, 6 Ogos 2024. --fotoBERNAMA




KUALA LUMPUR: KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) pada Selasa memperkenal identiti jenama baharunya sekali gus memperkukuh usaha mengetengahkan keutamaan pesakit sebagai asas kepada pertumbuhan eksponen dan kelebihan daya saing dalam landskap penjagaan kesihatan yang berkembang secara dinamik.

Pengerusinya Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata KPJ Healthcare telah berjaya berkembang menjadi rangkaian hospital terbesar di Malaysia yang mengendalikan 29 hospital ketika ini dengan yang ke-30 iaitu di Kuala Selangor dijadualkan dibuka pada awal tahun depan.

"Pada teras inisiatif penjenamaan semula ini ialah penekanan kami terhadap langkah mengutamakan pesakit dengan memfokus kepada menyediakan perkhidmatan terbaik untuk pesakit kami, memupuk budaya berprestasi tinggi buat petugas, mewujudkan persekitaran dinamik untuk para doktor dan memperjuang tindakan mampan demi kebaikan planet kita," katanya semasa majlis Celebration of Our Care for Life Journey - Pelancaran Penjenamaan Semula KPJ Healthcare di sini semalam.







Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan Datuk Seri Norazman Ayob, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Johor Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim dan Presiden merangkap Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad Chin Keat Chyuan.

Dr Ismail juga berkata KPJ Healthcare akan memperkenal pengalaman digital yang lancar kepada pesakit menerusi laman sesawang dan aplikasi mudah alih yang bakal dilancar dalam masa terdekat.

"Sebagai sebahagian daripada pelancaran penjenamaan semula dan sempena sambutan bulan Merdeka, kami berbesar hati mengumumkan pakej eksklusif iaitu 67 ujian diagnostik pada harga RM67, yang boleh didapati di semua Hospital Pakar KPJ di seluruh negara hingga 30 Sept 2024," katanya.

Syed Mohamed pula berkata logo baharu KPJ adalah simbol kelahiran semula, ikrar yang diperbaharui bagi misi Care for Life dan mewakili dedikasi syarikat itu dalam mengutamakan pesakit dari segala segi.

"Ketika melancarkan logo baharu itu, kami bukan sekadar memperkenal identiti visual yang diberi nafas baharu sebaliknya kami sedang melakar era baharu dalam inovasi dan komitmen.

"Langkah ke arah menjadi penyedia penjagaan kesihatan yang boleh diakses, berdaya tahan, inovatif dan mampan, semuanya demi mengutamakan pesakit, perlu dilakukan sekarang untuk mencapai apa yang dihasratkan oleh KPJ pada 2035.

"Ketika itu, KPJ seharusnya digelar sebagai Gergasi Penjagaan Kesihatan Digital Global yang sedang meningkat dengan pengiktirafan dalam forum industri dan pengamal perubatan paling berprestij," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Chin pula berkata identiti jenama baharu KPJ Healthcare menggunakan gaya lebih kontemporari yang melambangkan keharmonian dan perlindungan, perpaduan, komitmen, kasih sayang serta komuniti.

"Penjenamaan semula ini adalah simbol transformasi dan kemajuan KPJ seiring dengan peningkatan usaha dalam memberikan penjagaan kesihatan yang lebih baik didorong oleh teknologi dan inovasi. Penjenamaan semula ini juga selari dengan penambahbaikan perkhidmatan kami kepada semua pihak berkepentingan," katanya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED