Translate

19 August 2024

Akibat penyiaran haram, syarikat rangkaian restoran nasi kandar Thaqwa bayar pampasan RM221,000 kepada Astro



Akibat penyiaran haram, syarikat rangkaian restoran nasi kandar bayar pampasan RM221,000 kepada Astro



Kenyataan Media
19/08/2024 13:40 MYT

Astro komited memerangi cetak rompak digital dan dengan mengambil tindakan undang-undang yang tegas bagi melindungi hak harta intelek, Astro membantu memastikan para pencipta dan artis mendapat ganjaran yang adil.

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat rangkaian restoran nasi kandar yang terkenal terpaksa menanggung padah berjumlah ratusan ribuan ringgit gara-gara menyiarkan kandungan dan pengisian Astro secara haram.

Dalam penyelesaian yang dibuat menerusi penghakiman persetujuan, Thaqwa (Malaysia) Sdn Bhd bersetuju untuk membayar RM221,773.20 kepada Measat Broadcast Systems Sdn Bhd — iaitu anak syarikat Astro Malaysia Holdings Berhad — kerana melanggar syarat langganan dengan menyiarkan siaran Astro secara tidak sah di beberapa cawangan restoran milik syarikat terbabit.

Thaqwa hanya mempunyai langganan sah untuk dua premis sahaja, namun begitu ia telah menyiarkan siaran Astro di lapan lagi restoran miliknya tanpa kebenaran dengan menggunakan peranti-peranti seperti kad pintar dan dekoder Astro bagi tujuan tersebut.

Selain daripada pembayaran pampasan, Thaqwa turut bersetuju untuk memastikan langganan Astro miliknya hanya digunakan di lokasi yang dibenarkan bagi menghormati hak cipta dan harta intelek Astro.

Ketua Jualan dan Pemasaran Astro, Tai Kam Leong berkata: "Astro sangat komited dalam usaha memerangi cetak rompak digital kerana kami tahu betapa besar kesannya kepada industri media dan kreatif.

"Dengan mengambil tindakan undang-undang yang tegas dan melindungi hak harta intelek, Astro membantu memastikan para pencipta dan artis mendapat ganjaran yang adil.

"Usaha ini penting untuk memastikan industri ini terus hidup dan berkembang, membuka ruang untuk idea dan pengisian baharu."

Di Malaysia, adalah menjadi satu kesalahan kepada mana-mana premis komersial untuk menayangkan penyiaran kepada orang awam jika pengisian tersebut diambil secara tidak sah. Ini termasuklah penyiaran rancangan Astro tanpa lesen komersial yang sahih.

Kes Thaqwa ini adalah salah satu daripada kebanyakan kes yang sedang dikendalikan oleh Astro bagi melindungi hak harta intelek miliknya.

Sebelum ini, di Ipoh, seorang individu berusia 22 tahun didenda RM10,000 pada Februari lalu selepas mengaku bersalah menjual kotak Android yang telah dimuatkan dengan pengisian Astro secara haram. Peranti itu ditemui dalam satu serbuan pada Oktober 2023.

Pada Julai tahun yang sama, dua individu di Seremban turut berdepan tuduhan yang serupa. Seorang daripadanya ditahan kerana menjual kotak TV haram di sebuah kedai.

Suspek mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan RM7,000 sementara menunggu perbicaraan pada bulan September akan datang, manakala individu yang kedua mengaku bersalah dan dikenakan denda sebanyak RM10,000, dengan bayaran serta-merta.

Kes-kes ini mencerminkan usaha keras Astro dalam memerangi cetak rompak digital dan memastikan pematuhan syarat-syarat langganan pengisian Astro.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED